BAB 2

87 2 0
                                    



AKHIRNYA kami tiba juga ke rumah banglo setingkat di atas bukit Jalan Bentara. Rumah 4 bilik inilah tempat aku dibesarkan, tempat aku bermain, terutama dengan Mawar. Terasa kedamaian bila berada di sini. Tiada tempat lain yang lebih damai, lebih indah, lebih menenangkan selain daripada tempat kita dibesarkan. Bonda beritahu yang ayahanda sengaja bina rumah setingkat sebab katanya bila sudah tua nanti tiada siapa yang akan naik ke tingkat atas.

Bonda dan Mak Melur sudah sedia menunggu di hadapan pintu dengan senyuman yang sangat manis. Senyuman itulah yang kurindu selama menuntut ilmu di kota yang tidak pernah tidur itu. Agak ketara kedutan di sebalik senyuman di wajah tua itu namun senyuman itulah yang menenangkan hatiku dan Mawar selama ini.

"Assalamualaikum bonda, apa khabar?"

Bonda kupeluk erat. Serasa rinduku menggunung walaupun hanya baru beberapa bulan tidak berjumpa. Bondalah segalanya bagiku. Tiada duanya di hati. Aku tidak punya sesiapa lagi. Sepanjang hayatku, setelah kehilangan ayahanda, aku hanya punya bonda.

"Assalamualaikum Mak Melur, apa khabar?"

Mak Melur kupeluk penuh kasih. Meskipun dia hanyalah orang gaji, tetapi telah kuanggap seperti mak aku sendiri. Mak Melur sentiasa mendahulukan keperluanku daripada keperluan Mawar. Masih aku ingat waktu kecil dulu, sering kali Mawar berkecil hati denganku bila Mak Melur asyik menangkan aku. Tetapi Mak Melur pandai memujuk Mawar. Hinggalah kami berdua menjadi begitu akrab.

"Mari masuk. Bonda dan Mak Melur ada masakkan makanan kegemaran hangpa dua."

Sebut fasal masakan kegemaran aku dan Mawar, tak lain dan tak bukan pastilah kari ikan salmon. Kami memang gila dengan masakan itu. Memang takkan jumpa la kat kedai mamak mana pun, kan. Paling sedap di bahagian lemak tu. Belum sempat simpan beg, makan juga yang didahulukan. Memang menambahlah kalau sudah kena kari ikan salmon. Senyum saja bonda dan Mak Melur tengok kami berdua makan. Tidak berbunyi suara langsung. Mak mertua lalu di belakang pun tak sedar. Habis hilang segala kesopanan dan kesusilaan. Memang kami sengaja tidak makan di lebuh raya tadi semata-mata hendak makan masakan bonda dan Mak Melur. Berbaloi la berlapar tadi.

Usai makan, aku dan Mawar bercerita dengan bonda dan Mak Melur. Banyak la cerita, sudah macam budak kecil saja. Bonda dan Mak Melur lebih banyak mendengar daripada bercakap. Senyuman sentiasa menghiasi wajah kedua-dua kesayanganku ini. Perangai aku tak berubah dari kecil, banyak saja cerita yang mahu aku sampaikan. Mawar memang perangainya sejak azali akan menjadi nasi tambah bagi setiap cerita aku. Satu keserasian yang sudah lama terjalin.

"Macam mana bonda masak kari ikan salmon tu sedap sangat? Teja masak tak sedap macam tu pun."

"Eh, Teja masak juga ka? Ingatkan makan kat kedai ja."

"Alaaa bonda ni.... Nama pun orang perempuan. Mesti la masak, kan Mawar kan?" Aku mengharapkan sokongan seperti biasa.

"Ya la bonda, banyak kali juga Teja cuba masak. Rasa tu okey la, boleh la makan." Mawar menutup mulutnya persis menahan tawa. Macam cuba rendahkan kebolehan aku saja lagaknya. Hatiku mula panas.

"Tapi hang makan sampai licin jugak, kan?"

"Ya la, dah lapar kan? Makan ja la." Mawar membela diri.

Adoi la Mawar ni! Tak pernahnya nak up aku depan bonda dan Mak Melur.

"Bukan susah pun masak kari ni. Bahan dia simple ja." Bonda mula menurunkan petua memasak.

"Yang penting mesti kena ada bawang kecil dan bawang besar. Bawang besar tu banyak pun tak pa. Tiga biji pun okey. Asam jawa tu guna yang jual kat market yang bungkus bulat tu. Masa tumis tu api biar kecil. Kalau besar dia masak tak sempurna. Tumis bawang dan kari hingga pecah minyak. Biar betul-betul masak dan sentiasa kacau. Bila minyak dah nampak baru letak air asam jawa. Masak sampai mendidih. Lepas tu taruk santan. Daun kari jangan lupa masa tumis tu. Kalau tak dak daun kari mana sedap. Lepas taruk santan boleh la taruk ikan, tomato dan bendi atau terung. Itu ja la. Yang paling penting masak dengan penuh kasih sayang."

"Haaaaa patut la Teja masak tak menjadi, dia masak tak cukup kasih sayang." Mawar mula menyakat.

"Amboi hang...!!!"

"Okey, okey... dah faham. Nanti Teja masak."

Tika waktu maghrib hampir tiba, aku mohon diri untuk mandi, solat dan berehat di bilik. Ralit bercerita dengan bonda dan Mak Melur, aku nyaris terlupa pada waktu. Mujur juga aku dan Mawar sudah solat jamak dan qasar zuhur dan asar di R&R tadi. Kalau tidak, harus cacat bilangan solat aku hari ini.

Dari tingkap bilik, aku melontarkan pandangan sejauh mata memandang. Kelebihan kedudukan rumahku di atas bukit, kugunakan untuk menyelongkar setiap inci pemandangan yang menarik perhatianku. Meja belajar yang terletak di hadapan tingkap menjadi port yang paling aku suka. Di situ aku mendapat ketenangan sambil melihat jauh ke hadapan. Rimbunan hijau dan bumbung rumah lain di bawah bukit mendakap damai di hati. Angin yang bertiup lembut dan sesekali keras, melontar rasa nyaman dan segar. Sesuatu yang tidak mungkin kudapatkan di kota batu sana. Aku tenang dan aman di sini. Tanah leluhurku.

Perasaan rindu menyapa lagi. Beginilah selalu. Setiap kali aku keseorangan, rasa rindu itu akan tetap datang tanpa dijemput. Tanpa jemu. Rindu dan terus rindu pada insan yang aku sendiri tidak tahu siapa dia. Terkadang, jantungku berdenyut kuat kerana terlalu rindu. Aku tidak punya pilihan selain menghadapinya sendiri. Aku juga tidak mampu bercerita kepada sesiapa pun tentang apa yang telah dan sedang aku rasakan. Mawar juga hanya mampu mendengar dengan penuh belas kasihan. Aku pasti tiada seorang doktor pun yang akan percaya jika aku ceritakan hal ini.

"Hai la kekasih ghaib, hang ni tak habis-habis kacau aku."

Azan maghrib sayup-sayup kedengaran berkumandang dari surau. Aku segera mengambil wuduk. 10 minit selepas azan baru aku mula solat. Mengikut yang aku faham, kita perlu tunggu sebentar, lebih kurang 10 minit sebelum solat fardu supaya waktu yang kita solat itu betul-betul telah masuk. Sebelum waktu itu, boleh la solat sunat.

Usai tiap kali solat aku tidak pernah lupa menitipkan doa agar masalah kerinduan yang menyelubungiku ini diselesaikan. Aku berharap sangat. Letih rasanya menanggung rindu. Tambah letih pabila mengingatkan ia hanyalah perbuatan sia-sia. Apatah lagi rindu pada orang yang kita tidak tahu siapa dan di mana.

Hujan mula membasahi bumi. Esok pasti kabus menjelma... 

MUTIARA HITAMWhere stories live. Discover now