PERJALANAN ke Lapangan Terbang Sultan Ismail agak perlahan kerana jalan keluar dari Kota Bharu sangat sibuk. Tuah minta aku berhenti di stesen minyak berhampiran kerana dia perlu berjumpa seseorang.
"Boleh abang tengok kunci tu?"
Tanpa banyak soal, kunci itu aku serahkan. Tuah membelek dengan teliti kunci itu seolah-olah sangat tertarik dengan reka bentuk lama. Tidak lama kemudian sebuah kereta Mercedes SUV berwarna hitam masuk ke pekarangan stesen minyak dan parkir di hadapan kami.
"Teja, abang minta maaf. Abang terpaksa ambil kunci ini." Tuah bercakap lembut sambil tersenyum manis.
"Eh, apa ni Abang Tuah! Teja mesti bawa balik kunci tu," bantahku bersama rasa terkejut yang bukan kepalang.
Tanpa mengendahkan bantahanku, Tuah terus keluar dari kereta bonda dan berlari ke arah kereta yang sedia menunggu di hadapan. Dengan pantas aku keluar dari kereta dan mengejar Tuah. Aku berjaya mencapai bahu Tuah tetapi dengan pantas Tuah menepis tanganku. Aku hilang keseimbangan badan lantas tersungkur di tepi longkang.
Mawar yang turut keluar dan berlari mengejar Tuah di belakangku, cuba menahan Tuah. Dia juga menerima nasib yang sama, tersungkur juga. Tindakan Tuah sangat kasar walaupun kepada kami kaum wanita. Tuah bukan lagi lelaki yang pernah kukenal sebelum ini. Wataknya sangat kasar dan air mukanya tiba-tiba bertukar menjadi bengis. Apakah ini sisi yang cuba disembunyikan daripada pengetahuanku selama ini?
Entah dari mana, lelaki yang sering mengekoriku beberapa hari ini tiba-tiba muncul.
"Tuah, jangan buat macam ni. Jangan Tuah!"
Tuah berhenti dan berpaling menghadap lelaki itu yang sedang berlari ke arahnya.
"Aku dah kata kau jangan masuk campur. Nanti dengan kau sekali aku bunuh!" jeritnya tanpa menghiraukan pandangan orang ramai yang mula berkerumun.
Ya Allah! Inikah Tuah yang aku kenal?
Lelaki itu terus melompat dan satu kaki cuba menerajang Tuah. Tuah mengelak dan menepis kaki lelaki itu. Lelaki itu turut rebah dan tersungkur di tepi longkang yang sama. Mujur aku dan Mawar sempat bangun dan beralih kedudukan. Kalau tidak, pasti kami dihempap oleh tubuh sasa itu. Nampaknya Tuah amat mahir dalam seni mempertahankan diri.
Lelaki itu bangun lagi. Dia menumbuk tetapi semua tumbukannya dapat ditepis. Satu tumbukan tepat ke muka lelaki itu menyebabkan dia rebah dan berdarah.
Melihatkan pertarungan itu, lelaki yang berada di dalam kereta keluar dan seolah-olah mahu memukul lelaki itu juga tetapi dihalang oleh Tuah.
Dengan susah payah, lelaki itu bangun lagi walaupun darah berlumuran di mukanya. Orang ramai yang berkerumun melihat pergaduhan ini hanya berani melihat. Tiada seorang pun yang cuba membantu. Mungkin kerana takut atau mungkin juga kerana tidak mahu menjadi saksi yang bakal melibatkan banyak tindakan susulan selepas ini.
"Tuah, jangan macam ni.... Kalau kau tak kesah tentang aku, tapi ingatlah pada tok guru."
"Sudahlah! Aku tak mahu dengar lagi."
Sekali lagi lelaki itu berlari dan melompat sambil kakinya lurus menuju dada Tuah. Kali ini tepat mengenai dada Tuah. Tuah tersungkur.
Belum sempat lelaki itu bangun, dia telah dipukul oleh orang yang di dalam kereta tadi. Lelaki itu berjaya loloskan diri sebelum teruk dibelasah.
Tuah tiba-tiba bangun dan berusaha melangkah ke arah kereta hitam tadi. Sebelum masuk, dia memandangku seolah-olah mohon difahami. Kereta itu memecut pergi.
Aku terduduk di sisi kereta bonda. Lemah. Berkali-kali otakku cuba menghadam apa yang telah berlaku tadi. Aku sama sekali tidak menduga bahawa semua ini akan berlaku. Macam dalam filem sahaja. Aku juga tidak menyangka Tuah yang selama ini aku rindu tergamak mengkhianati aku, mengkhianati amanahnya, mengkhianati saudaranya dan yang paling menyedihkan dia mengkhianati agamanya. Hanya air mata yang mampu aku alirkan bagi menjawab semua kekecewaan dan kegagalan yang kudepani. Aku tewas rupanya.
Lelaki itu mengangkatku yang sudah lemah ke kereta. Mawar cuba memujukku namun kekecewaan ini terlalu dalam rupanya. Tiada apa pun yang mampu menenangkanku tika ini. Ramai orang yang datang bertanya kenapa. Apa yang kami boleh jawab pada mereka kerana kami pun tidak pasti apa semuanya ini, terutama aku.
Setelah melihat aku tenang sedikit, lelaki itu mengajak aku dan Mawar ke warung makan di sebelah stesen minyak. Aku tiada pilihan lain selain akur. Mungkin dengan cara itu semangat dan keadaanku akan pulih. Mawar menghulurkan tisu kepada lelaki itu yang digunakan untuk mengesat darah di mukanya sebelum membantu memapahku ke warung tersebut.
"Sabarlah Teja, kita cuba lain kali untuk mendapatkannya semula." Lelaki yang tidak kukenali itu memujukku.
"Awak ni siapa?" Mawar bertanya. Dapat kulihat keinginan yang meluap-luap di wajah Mawar untuk mengetahui siapa gerangan lelaki yang telah membantu kami itu.
"Saya Jebat, saudara Tuah." Dia menjawab dengan nada yang sangat sedih.
"Apa sebenarnya semua ini?" Dalam kesedihan berbaur rasa terkejut yang berbaur, aku cuba mendapatkan kepastian.
"Saya minta maaf, banyak kali saya cuba untuk memberi amaran pada Teja tapi saya tak tahu bagaimana." Jebat mula bercerita dengan nada sedih.
"Tuah dah berubah, dia dah belot dan berpihak kepada musuh. Saya sendiri tak tahu kenapa dia berubah. Rahsia dia berubah saya dapat kesan apabila satu hari saya membaca pesanan WhatsApp daripada golongan musuh. Saya pernah menasihati dia malah pernah bertarung dengannya. Tetapi saya bukan lawannya. Saya tak beritahu kepada sesiapa dengan harapan saya dapat kembalikan Tuah. Itu kesilapan saya yang paling besar. Apa yang saya dapat maklumat, habuan untuk dia sangat lumayan. Mungkin itu sebabnya. Mungkin dia sudah bosan hidup susah sejak kecil."
Aku mendengar cerita Jebat dengan hati yang luluh. 10 tahun aku merinduinya. Menanggung resah rasanya rindu tetapi setelah hanya beberapa hari mengenalinya, mencintainya, aku dikhianati dengan cara yang paling kejam. Malah lebih menyedihkan, aku gagal menjalankan amanah yang sangat penting dan kegagalan aku di tangan orang yang aku sayangi. Ia sekali gus memberi impak yang sangat besar kepada banyak pihak serta mencalarkan reputasi dan maruahku. Maruah bonda khususnya.
Kami mula bergerak ke hotel semula. Aku dan Mawar perlu berehat. Jebat menawarkan diri mengikutiku untuk melindungiku kalau-kalau masih ada lagi musuh yang datang. Sampai di hotel, aku terus sahaja ke bilik.
"Teja jangan risau. Saya janji akan dapatkan semula kunci tu," janji Jebat.
Aku sudah tidak dapat berkata apa-apa lagi. Bukan saja berkata, malah berfikir pun aku tak upaya. Semua yang berlaku ini terlalu pantas bagai tayangan slaid di projektor. Segalanya diuruskan oleh Mawar dengan bantuan Jebat.
Aku rebah di katil. Air mata mengalir lagi. Apa yang harus aku ceritakan kepada bonda? Fikiranku seolah-olah kosong. Jiwaku meratap sedih. Hatiku seolah-olah ditusuk sembilu. Tuah yang aku rindui selama ini mengkhianati aku. Mengkhianati cintaku. Bertahun-tahun lamanya aku menanggung seksa rindu padanya, akhirnya ini yang aku dapat.
"Tuah tetap Tuah. Tak pernah setia pada cinta. Selalu gagal dalam mempertahankan cinta, gagal kerana kemewahan." Aku bermonolog sendiri.
Dari dulu Tuah lebih memilih nama dan pangkat daripada menerima cinta Teja. Beratus tahun berlalu namun Tuah tetap sama. Tidak pernah setia pada cintanya. Cinta Teja padanya tidak pernah dihargai.
Aku terlena dalam tangisan sampai entah pukul berapa. Mawar hanya membiarkan aku sendiri. Dia sudah cukup masak dengan perangaiku. Tidak suka diganggu jika dalam masalah.
Pada subuh yang sunyi aku bangun menghadap Ilahi. Tiada lagi kekuatan melainkan kekuatan dari-Nya. Aku merasakan diriku sangat kerdil di sisi-Nya. Aku terlalu lemah. Aku gagal dalam menjalankan amanah. Bagaimana aku mampu menjadi seperti bonda yang berpuluh tahun mempertahankan amanahnya? Bagaimana aku mampu menjadi seperti Pok Leh yang walaupun hidup penuh sederhana tetapi mampu mempertahankan prinsip hidup?
"Ya Allah Ya Tuhanku, tiada kekuatan melainkan dari-Mu jua. Kuserahkan segalanya kepada-Mu, Ya Allah. Bimbinglah aku mencari kekuatan dalam kehidupan. Lemahnya aku bila meletakkan rindu pada insan melebihi rindu pada-Mu dan Rasul-Mu. Ampunkanlah aku, Ya Allah."
YOU ARE READING
MUTIARA HITAM
FantasyCaramu berbicara, kalimatmu, kata-katamu, aku masih ingat setiap perkataan darinya. Kau kata aku adalah masa depanmu jadi aku memberikan segalanya, namun kini aku adalah masa lalumu- TEJA Setelah menghabiskan waktu denganmu, seperti yang dijangka ak...