BAB 13

54 0 0
                                    


SELESAI makan, Pok Leh mengeluarkan kotak kunci.

"Kotak ni special. Kunci kotak ni akan terbuka sendiri jika darah keturunan Tun Teja yang dititiskan. Pok Leh dah cuba dengan darah Pok Leh, tak buka."

Semua orang ketawa mendengar cerita Pok Leh. Hai... macam-macam la Pok Leh ni.

"Bukan Pok Leh nak curi, Pok Leh rasa kagum la kalau orang zaman dulu boleh buat teknologi macam ni. Tu yang Pok Leh try tu. Ha ha ha..."

Pok Leh ketawa sendiri. Kami yang mendengar turut ketawa sudahnya.

"Dah sepuluh tahun Pok Leh jaga kotak ni. Kalau Pok Leh nak ke mana-mana lama sikit, kotak ni akan Pok Leh bagi pada Pak Ya. Dia tinggal di belakang ni jah. Ada tiga orang kita di sini. Jadi tak ada masalah untuk menjaga. Selama ni kotak ni selamat. Inilah amanah daripada guru Pok Leh. Tiga orang tu juga menuntut dengan guru yang sama. Jadi kami ni adik-beradik seguru. Ikatan adik-beradik seguru ni lebih rapat daripada ikatan saudara sebab kami sanggup mati demi menjaga adik-beradik kami. Kami tak memilih kekayaan sebab kekayaan akan memutuskan perhubungan. Kami bahagia dengan hidup sederhana macam ni."

Kata-kata Pok Leh itu amat berbekas di hatiku. Mungkin begitulah hubungan antara bonda dan Mak Melur dan kini diperturunkan pula kepadaku dan Mawar. Betul, kekayaan itu ada kalanya menjadi musuh manusia yang tamak haloba. Kekayaan punca kepada perpecahan.

"Siapa sorang lagi tu Pok Leh?" tanya Tuah.

"Pak Mat. Dia dan Pak Ya ke Kuala Lumpur. Ada hal katanya."

Pok Leh menghulurkan kotak kunci itu kepadaku. Cantik sungguh ukiran di permukaan kotak. Halus buatannya. Kotak tembaga itu kelihatan masih baharu dan berkilat. Mungkin sentiasa digilap.

Aku sentuh kotak itu, terasa ada tenaga mengalir dari kotak itu ke badanku. Setitis darahku dititiskan di atas kotak. Dengan pantas, kunci kotak terbuka. Pok Leh tersenyum dan matanya bergenang. Terharu dan sayu.

"Sampai sini sajalah Pok Leh jaga kotak ni. Alhamdulillah Pok Leh berjaya menunaikan amanah tok guru. Sedih pulak nak berpisah dengan kotak ni."

Pok Leh mengesat air mata yang cuba mengalir.

"Kotak ini mengingatkan Pok Leh pada tok guru. Bila rindukan tok guru, Pok Leh sedekahkan Al-Fatihah dan usap jah kotak ni. Sebab kotak ni pemberian tok guru. Special untuk Pok Leh dan kami bertiga. Guru ni bukan setakat membimbing kita ilmu silat, tapi juga ilmu akhirat. Penting tu. Orang yang bimbing kita ke jalan akhirat, kita mesti sayang ke dia sampai akhir hayat. Dialah penyelamat kita. Bukan setakat dunia, tapi yang lebih penting akhirat."

Pok Leh berhenti berkata-kata, sebak di dadanya. Mungkin teringatkan arwah tok gurunya yang sudah tiada.

"Al-Fatihah."

Semua membaca Al-Fatihah buat tok guru.

"Jadi dengan ini wahai Teja, hamba serahkan amanah ini kepada Teja. Jagalah ia dengan sebaik mungkin walaupun dengan nyawa Teja sendiri sebab ia adalah amanah demi agama dan rakyat Melayu."

"Teja terima."

Aku tidak pasti apakah susunan ayat yang baik untuk aku lafazkan.

Kotak diserahkan kepadaku. Terasa berat untuk aku menerimanya. Bukan kerana berat isinya, tetapi kerana berat tanggungjawab dan amanah yang harus kupikul dan kulaksanakan. Tetapi sudah tertulis itulah laluan hidupku, itulah perjuanganku. Moga syurga balasannya.

"Jika ada apa-apa masalah, datanglah ke sini. Pok Leh akan bantu, insya-Allah."

"Insya-Allah." Kami menjawab serentak.

"Kami minta diri dulu."

Pok Leh memeluk Tuah sambil berpesan.

"Pertahankan maruah agama, bangsa. Jangan kemewahan dunia menjadikan kita orang yang hilang panduan."

Bahu Tuah ditepuk. Satu pesanan yang sangat sinis yang aku sendiri tidak faham walaupun maksudnya mudah.

Daripada cerita Pok Leh sewaktu makan tadi, aku dapat rasakan yang Pok Leh bukan orang sembarangan. Dia sengaja memilih hidup sederhana sedangkan dia mampu memiliki lebih daripada itu. Dia lebih rela menjadi siak masjid sedangkan ilmu agamanya tinggi walaupun tanpa ijazah. Aku mula tertarik dengan insan yang tidak memilih dunia, meletakkan dunia di tangannya bukan di hatinya.

Kini aku mula sedar siapakah orang yang berada dalam kumpulan ini. Mereka adalah orang yang memilih perjuangan menegakkan agama daripada kesenangan dunia yang sementara. Mereka tidak memilih untuk dikenali kerana mereka meletakkan keikhlasan lebih daripada kemasyhuran. Patutlah Pok Leh sangat menyayangi gurunya bila hatiku mula diketuk untuk menyayangi Pok Leh sebagai guru kerana sifatnya, walaupun aku belum pun berguru dengannya.

Kami perlu pulang semula ke Kota Bharu untuk menghantar Tuah ke lapangan terbang untuk ke Kuala Lumpur, sedangkan aku dan Mawar akan pulang ke Kulim, Kedah. Nampaknya misi aku berjaya tanpa sebarang gangguan. Bonda segera aku khabarkan dan bonda sangat gembira. 

MUTIARA HITAMWhere stories live. Discover now