BONDA...!!!" Aku menjerit.
"Kenapa ni Teja?"
"Bonda, Mawar... bonda dalam bahaya. Call bonda!"
Dalam keadaan kelam-kabut aku sudah tidak tahu di mana aku letakkan telefon bimbitku. Rasa hatiku kuat mengatakan yang bonda dan Mak Melur dalam bahaya. Aku cuba berkomunikasi dengan bonda secara batin tetapi tidak berjaya. Tidak pernah lagi berlaku seperti ini.
"Telefon bonda off." Mawar memaklumkan.
"Mak Melur, call Mak Melur."
Aku semakin gelisah
"Pun off." Mawar memandangku dengan telefon bimbit masih di tangan.
"Kita balik sekarang," putusku.
Waktu sekarang baru pukul 6.30 pagi dan kami masih di hotel. Cadangannya semalam, dalam pukul 10.00 pagi baru kami bergerak pulang. Nampaknya kami harus menyegerakan kepulangan kami ke Kulim.
"Helo Teja, ni Jebat." Suara lelaki itu memenuhi gegendang telingaku.
"Ya Jebat, ada apa tu? Kami dah check-out untuk balik ke Kulim. Bonda dalam bahaya." Beritahuku senafas.
"Kenapa? Apa dah jadi?" Suara Jebat juga kedengaran cemas.
"Tak tahu, call tak dapat."
"Okey, Teja tenang dulu. Nanti cuba call lagi. Saya call nak beritahu saya dah tahu di mana Tuah. Saya akan dapatkan balik kunci tu. Teja jangan risau. Kita jumpa di Kulim nanti bila saya dah dapatkan kunci tu."
"Okey, terima kasih Jebat."
Aku sudah tidak merisaukan lagi tentang sakit badanku yang jatuh disebabkan Tuah semalam. Juga tidak kuhiraukan beban amanah yang gagal kugalas dengan sempurna. Aku juga tidak mahu melayan kekecewaan dan kehampaan hatiku kerana cinta yang dikhianati. Apa yang ada dalam fikiranku sekarang ini ialah keselamatan bonda dan Mak Melur. Itu yang lebih utama kini.
Sejak petang semalam tiada apa makanan pun yang masuk ke perutku, begitu juga minuman. Aku bagai terlupa dengan keperluan yang satu itu.
Kereta terus kupandu laju menuju ke utara. Mujur hari ini hari Jumaat, Kelantan cuti. Kalau tidak mesti jalan sesak untuk keluar dari Kota Bharu.
"Teja, ibu telefon." Suara Mawar kedengaran cemas.
"Ibu, ibu di mana? Ada apa-apa yang berlaku ka?"
"Ibu okey. Teja mana? Ibu cuba call dia tak dapat."
"Teja ada ja di sebelah ni. Kami on the way nak balik. Ada apa ibu? Teja kata ada sesuatu berlaku. Apa dia?"
"Kami diserang oleh puak musuh. Mereka nakkan kotak tu. Tapi jangan risau, kotak selamat."
"Bonda macam mana?"
"Aaaaaa bonda dah selamat sekarang. Tak pa lah, kamu berdua balik ja. Hati-hati memandu tu, pesan pada Teja."
"Baik, ibu."
"Alhamdulillah lega aku. Dia orang okey, Teja." Mawar memberitahuku.
"Tapi kenapa aku masih risau ni?"
Ya, kenapa aku masih cemas dan risau? Masih ada yang belum beres ke?
"Apa-apa hal pun, hang pandu cermat ya. Yang penting semua okey." Mawar cuba menenangkan aku.
Jarak Kota Bharu ke Kulim lebih kurang 350km dan mengambil masa 6 jam perjalanan. Ditambah dengan berhenti solat, mungkin 7 jam baru sampai. Kami berhenti di Hentian Titiwangsa setelah 3 jam memandu. Cuaca agak sejuk dan lembap, mungkin disebabkan hujan semalam.
Aku duduk di tepi cerun sambil melihat kehijauan Banjaran Titiwangsa yang diselaputi kabus walaupun sudah pukul 10.00 pagi. Suasana sungguh tenang dan mendamaikan, namun kenapa hatiku tidak setenang suasana banjaran ini? Fikiranku buntu. Harapan untuk mendapatkan kembali kunci kuletakkan sepenuhnya kepada Jebat.
Ya, memang tidak adil pula aku membebankan Jebat hasil daripada kesilapan dan kecuaianku, tetapi apa pilihan yang aku ada sekarang?
Mawar datang dengan 2 cawan kopi panas.
"Sudahlah tu, Teja. Jangan sedih lagi. Kita dah berusaha, kan? Balik nanti kita bincang dengan bonda. Aku yakin kita boleh dapatkan kunci tu semula. Lagipun Jebat tengah dok usaha dapatkan. Dah, jangan risau." Pujuk Mawar buat ke sekian kalinya.
"Entah la Mawar. Macam-macam dalam fikiran aku ni. Aku sangat kecewa. Hang tau kan berapa lama aku rindu pada Tuah. Tiba-tiba ja dia khianat. Sakit dikhianati lebih sakit daripada sakit merindu. Pedih sungguh rasa hati aku." Aku cuba meluahkan apa yang aku rasa sejak semalam. Apakah Mawar akan faham?
"Ya la Teja, aku faham. Walaupun aku tak pernah alami tapi aku faham. Apa-apa pun kita akan hadapi bersama."
"Terima kasih Mawar. Hang la saudara aku. Hang tak akan khianat aku, kan?"
"Apa hang cakap ni. Ni nampak?" Penumbuk Mawar tunjukkan pada aku.
Kami meneruskan perjalanan merentasi Banjaran Titiwangsa. Jalan di sini agak sempit dan bengkang-bengkok. Kalau ada treler di depan, memang masak la. Nasib baik banyak tempat memotong.
Selepas 30 minit memandu, kami sampai di Tasik Banding. Cantik pemandangan di sini. Jambatan yang merentasi tasik sungguh cantik.
"Teja, berhenti kejap. Aku nak ke tandas."
"Laaa tadi tak mau pi."
"Tadi tak rasa lagi. Ni baru nak rasa. Nak buat macam mana."
Sementara Mawar ke tandas, aku meninjau kawasan sekeliling. Banyak juga rumah rakit untuk disewa. Boleh buat untuk "fishing trip". Macam menarik. Boleh la aku ajak bonda dan Mak Melur datang nanti. Siap boleh tidur di rumah rakit lagi. Harganya masih berpatutan. Boleh diusahakan ni!
Perjalanan diteruskan sebaik sahaja Mawar masuk ke dalam kereta. Lebih kurang 3 jam lagi kami akan sampai.
YOU ARE READING
MUTIARA HITAM
FantasyCaramu berbicara, kalimatmu, kata-katamu, aku masih ingat setiap perkataan darinya. Kau kata aku adalah masa depanmu jadi aku memberikan segalanya, namun kini aku adalah masa lalumu- TEJA Setelah menghabiskan waktu denganmu, seperti yang dijangka ak...