BAB 11

72 0 0
                                    

JAM 9.00 pagi kami sudah pun bersiap untuk bergerak ke Kelantan. Untuk perjalanan jauh sebegini, kami telah siap-siap bersarapan di hotel. Leceh pula kalau mahu berhenti di mana-mana nanti. Membazir masa. Tambahan pula kami bukannya pergi berdua, Tuah akan bersama kami. Rasa segan pula mahu bersarapan sekali. Maklum, aku jenis yang tidak suka berlakon ayu depan orang. Dapat pula orang itu ialah Tuah, mahu berlapar aku sepanjang perjalanan nanti.

Tuah telah siap menunggu di ruang lobi. Entah di mana dia tidur semalam pun aku tidak tahu. Aku pun tidak bertanya. Bukan urusanku. Tiada apa yang harus dirisaukan kerana dia lelaki. Tahulah dia menguruskan diri sendiri.

Dengan Audi Q7 bonda, kami bergerak menuju ke Kelantan. Kami bertiga sahaja – aku, Mawar dan Tuah. Ini bukan kali pertama aku memandu sejauh ini. Aku sudah biasa memandu dari KL ke Kelantan. Selalunya akulah pemandu kepada bonda bila aku cuti semester. Apa urusan bonda di Kelantan aku tidak pernah tahu dan tidak mahu ambil tahu. Bertanya pada bonda juga tidak pernah. Bagiku, itu hal peribadi bonda yang tidak harus kuketahui, lainlah kalau bonda sendiri bercerita padaku. Biasanya bila sampai sahaja di hotel di Kelantan, aku akan tidur menghilangkan lelah. Dan bonda akan pergi untuk urusannya. Ada orang yang akan datang menjemput bonda di hotel.

Kami melewati kawasan Bentong. Banyak pula durian waktu ini. Eh, dah musim ke? Macam mana ni? Aku dan Mawar memang hantu durian. Rancangan awalnya tadi, kami tidak akan singgah di mana-mana kecuali apabila sampai di Terengganu nanti untuk makan tengah hari. Tetapi, durian ini sudah mengganggu rancanganku. Baunya sudah mengecurkan air liur. Aku perasan Mawar di sebelah sudah memandangku dengan pandangan menggodanya. Hisy!

"Abang Tuah nak makan durian tak?" Mawar yang terlebih suka bertanya, mendahului aku yang sedang mencongak-congak sama ada mahu berhenti ataupun tidak.

"Okey je."

Kami berhenti di salah sebuah gerai yang terdapat di tepi jalan. Sepasang suami isteri tua berbangsa Cina begitu ramah melayan kami. Mereka mengaku bahawa kesemua durian yang dijual adalah daripada pokok mereka sendiri. Sekilo RM50.00. Kami berpandangan antara satu sama lain. Aku sendiri tidak kesah durian jenis apa yang disuakan padaku. Musang King, D24, Udang Merah dan entah jenis apa lagi entah... semuanya sedap di tekakku. Bagi aku yang hantu durian, ah, apa kesah dengan harga. Makan saja la. Harga nombor dua. Janji sedap.

Tiga biji sudah cukup untuk kami bertiga. Kalau makan banyak sangat, bahaya dalam kereta nanti. Sekali sendawa mau meletup kereta.

Apek itu turut memberi petua, kalau tidak mahu kereta berbau durian jika durian ada dalam kereta, letakkan tangkai durian di pendingin hawa kereta. Bau itu akan hilang. Memandangkan kami tidak beli untuk bekal, jadi tak la cuba. Mungkin cuba lain kali saja.

Macam biasa, untuk hilangkan bau durian di mulut, tangan dan untuk sejukkan badan, aku minum air yang diletakkan dalam pangsa durian dan cuci tangan dengan air itu juga. Nampaknya memang berkesan.

Jam 5.00 petang, kami tiba di Kota Bharu. Hotel Perdana menjadi pilihan kami kerana agak selesa dan lokasinya juga sesuai. Di tengah-tengah bandar. Pagi esok kami akan berpatah balik ke Nilam Puri untuk ke Masjid Kampung Laut. Sementara itu kami akan berehat dulu. Cadangnya selepas isyak saja nanti baru turun untuk makan malam.

Aku dapat rasakan yang aku diekori. Gerak-geriku diperhatikan. Aku rasa dia sengaja mahu aku tahu yang dia mengekoriku. Pelik ni! Kalau dia mahu cederakan aku, boleh sahaja dari dulu. Ruang untuk dia berbuat begitu amat besar. Kalau dia juga berminat hendak dapatkan kotak itu, kenapa dia perlu mengekori aku? Kotak itu bukannya ada dengan aku.

Ah, biarlah dia. Aku juga mahu lihat sejauh mana dia nak ekori aku.

Lepas solat isyak, aku dan Tuah menghala ke Pantai Cahaya Bulan untuk menikmati mi ketam yang sangat tular di media sosial itu. Ingin juga aku tahu macam mana rasanya. Asyik tengok gambar saja, mana boleh jadi, kan? Kali ini ratu makanan, Mawar tidak ikut serta. Aku jadi pelik tiba-tiba. Letih dan mengantuk menjadi alasannya. Puas aku mengajak, namun dia buat bodoh saja. Sudahnya kuheret Tuah untuk menemaniku.

Agak menarik perjalanan ke PCB dengan suasana kampung. Waktu malam pun banyak kenderaan menuju ke PCB. Restoran mi ketam terletak tidak jauh dari pantai. Restoran yang biasa-biasa saja tetapi penuh dengan pelanggan.

Hampir 15 minit menunggu, mi ketam yang dipesan sampai. Memang banyak ketamnya. Siap dengan tukul dan "playar" untuk mengerjakan ketam itu. Sampai merecik habis di tudung dan baju semata-mata hendak dapatkan isi ketam. Seronok juga makan macam ini. Memang hilang kesopanan gadis Melayu kalau makan ketam. Aku sampai terlupa sopan santunku di hadapan Tuah. Satu mangkuk besar untuk 2 orang makan memang puas. Aku siap ambil gambar dan hantar ke Mawar. Nanti mesti dia jerit. Itu la, siapa suruh layan sangat tidur tu, kan dah tak merasa!

Usai makan, sengaja aku berlama-lamaan di situ semata-mata untuk berbual dengan lebih lama lagi bersama Tuah. Hai, jejaka pujaan hati dinda sejak lama kut! Hesy, entah dari mana la muncul urat merenyam ni dalam diri aku. Yang hairannya, bila bersama Tuah saja aku begini. Dengan lelaki lain, tak pernahnya. Menyampah lagi ada.

Dari satu segi, aku amat bersyukur Mawar tidak ikut serta. Jika Mawar turut serta, mungkin keadaan akan berbeza. Bahagia saja aku rasa dapat berdua dengan Tuah. Terasa macam berdating pula. Haha haha...

"Teja, abang nak cakap sesuatu."

"Apa dia?" Entah mengapa jantungku tiba-tiba berdegup kencang.

"Tapi kalau Teja tak setuju abang okey je. Abang faham."

Aku dengar Tuah menarik nafas dalam. Macam penting sangat perkara yang ingin dikhabarkannya padaku.

"Okey, apa dia?" Aduh dia ni... nak cakap, cakap la terus. Nak konar-konar pulak. Lagi aku nervous macam ni....

"Hari tu masa di alam kebatinan, Teja ada bagi tau yang Teja selalu bermimpi yang abang datang pada Teja, kan? Sebenarnya abang pun sama. Abang cuma nak bagi tau yang abang memang sukakan Teja."

Pandangan mata Tuah seolah-olah menembusi kepalaku. Aku tertunduk. Malu rasanya. Namun dalam hatiku seperti berbunga. Paluan jantungku yang kencang, seolah-olah menjawab bisikan hatiku sebelum ini. Aku sudah tidak mampu berkata apa-apa. Wajah Tuah pun tidak mampu aku tatap. Apa yang harus kukatakan lagi? Lidahku kelu. Semua perbendaharaan kataku seolah-olah kosong daripada fikiran. Aku menarik nafas dalam-dalam dan cuba bertenang.

"Teja okey ja."

Apakah? Aku sendiri longo mendengar jawapan yang keluar dari mulutku. Itu saja yang aku mampu? Mahu disambung ayat itu, macam ada batu besar dalam kerongkongku. Dengan perlahan aku mendongak memandang Tuah. Wajahku sudah berbahang panas.

Aku lihat dia pun asyik tersengih saja. Bahagia la tu.

"Segih apa tu?"

"Tak de apalah. Teja setuju, kan? Abang suka la."

Masing-masing diam. Sudah habis lari semua idea. Apasal la jadi macam tu.

Sepanjang perjalanan pulang ke hotel, kami tidak banyak bercakap. Masing-masing hanya melayan perasaan sendiri. Entah mengapa, malam ini aku rasa sangat bahagia. Orang yang pertama perlu tahu ialah Mawar. Dia mesti terkejut beruk ni. 

MUTIARA HITAMWhere stories live. Discover now