JAM 9.00 pagi aku dan Mawar menunggu Tuah di lobi hotel. Agak lewat pula Tuah hari ini. Sarapan nasi kerabu kambing bakar di kafe hotel tadi terlebih sedap. Menambah pula kami. Sudahnya aku mula disapa kantuk. Perjalanan belum pun bermula, aku sudah begini.
Aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di tepi kolam bagi menghilangkan mengantuk. Mawar awal-awal lagi sudah menolak pelawaanku untuk berjalan di sekitar kolam. Dia lebih suka membaca akhbar di lobi.
Cantik sungguh reka bentuk kawasan kolam ini. Siap boleh makan di tepi kolam lagi. Landskapnya amat menenangkan. Ruginya semalam tidak meninjau kawasan ini. Uh, nak tinjau apanya kalau masuk bilik saja terus terbongkang!
Sedang aku asyik menikmati keindahan persekitaran, tertangkap oleh retinaku nun di hujung kolam sana aku nampak Tuah sedang bercakap dengan seseorang. Daripada gayanya, bukan bercakap... tetapi lebih kepada bertengkar.
Aku segera berselindung di belakang tiang wakaf yang berhampiran. Dari tempat aku berlindung ini, aku dapat lihat dengan jelas siapa lawan bercakap Tuah itu. Oh tidak! Bukankah lelaki itu yang selalu mengekoriku sejak dari Kelang Lama lagi? Apa sebenarnya semua ini? Nampaknya lelaki itu memang ada kaitan dengan Tuah.
Pertengkaran semakin hebat. Tidak ada tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat ini. Aku juga tidak betah lagi berada di sebalik tiang ini dengan hanya menyaksikan pertengkaran mereka tanpa aku tahu hujung pangkalnya. Aku mesti mendapatkan kepastian.
"Abang Tuah, kenapa ni? Siapa dia ni?"
Tuah seperti terkejut dengan kehadiranku. Riak wajahnya sukar kugambarkan.
"Eh, tak de apa-apa, Teja. Teja pergi ke lobby dulu, nanti abang datang."
Melihat keenggananku, Tuah lantas menarik tanganku jauh dari lelaki itu.
"Teja, jangan percayakan dia, jangan!" Lelaki itu menjerit.
"Kau diam kalau kau nak selamat." Tuah semakin berang. Dia berpaling lantas tanpa amaran, satu tumbukan hinggap tepat di muka lelaki itu. Lelaki yang masih belum kuketahui identitinya itu tersungkur. Belum sempat dia bangun, Tuah telah memulas tangannya dan menekannya ke lantai. Darah keluar dari mulutnya. Ngeri.
"Baik kau jangan campur tangan dengan urusan aku kalau kau nak selamat. Kalau tidak, dengan keluarga kau sekali aku kerjakan." Tuah memberi amaran.
Dengan perbuatan dan amaran itu, hatiku berdetik sesuatu yang tidak dapat kufahami. Aku melihat satu sisi lain dalam diri Tuah.
"Teja, jom!"
"Kenapa ni abang, siapa dia tu?" tanyaku. Aku tidak puas hati selagi persoalan yang mengasak dalam fikiranku ini tidak berjawab.
"Nanti abang cerita. Kita kena segera pergi." Ada nada keengganan dalam nada suara Tuah.
SEPANJANG perjalanan kami hanya diam. Dari kerlinganku kepada Mawar di belakangku melalui cermin sisi, yang tidak tahu apa-apa cerita di sebalik 'tembok sepi' kami, raut kelirunya jelas terakam di mataku. Dia yang selalunya ada sahaja modal untuk berbual, turut membangunkan daerah sepi bersama aku dan Tuah. Wajah risaunya membuatkan aku jatuh kasihan.
"Abang tak nak cerita ka kenapa tadi?" Setelah sekian lama suasana dibiarkan bisu dan sepi, aku melontarkan persoalan yang sejak tadi mengganggu fikiran. Aku perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku. Ia ada kaitan dengan diriku juga.
"Bila selesai urusan ni, abang akan ceritakan. Terlalu rumit untuk abang ceritakan. Teja percayakan abang, kan?"
"Ya, Teja percayakan abang."
YOU ARE READING
MUTIARA HITAM
FantasyCaramu berbicara, kalimatmu, kata-katamu, aku masih ingat setiap perkataan darinya. Kau kata aku adalah masa depanmu jadi aku memberikan segalanya, namun kini aku adalah masa lalumu- TEJA Setelah menghabiskan waktu denganmu, seperti yang dijangka ak...