Kunci Hati - 15

25.7K 1.1K 7
                                    

"YA ALLAH... Sakitnya, Mak Timah." Dhafira mengaduh apabila tangannya diurut Mak Timah. Airmata yang ditahannya sejak tadi hampir menitis kerana terlampau sakit. Muka tak payah cakaplah, berkerut.

"Tulah kamu, sakit macam ni dibiarkan. Kan dah masuk angin ni. Kalau Mak Timah tak perasan tangan kamu ni bengkak entah bila tangan kamu ni akan sembuh. Entah-entah tambah bengkak lagi macam belon. Seliuh ni kena urut bukan dibiarkan." ujar Mak Timah sambil mengurut perlahan.

Dhafira berdesis sambil ketap gigi.

"Manalah Fira tahu. Fira ingat sikit aje." balas Dhafira sambil menahan sakit. Walaupun Mak Timah hanya mengurut perlahan tapi sakitnya tetap terasa yang teramat sangat.

"Macam mana boleh terseliuh ni?" tanya Mak Timah ingin tahu.

"Jatuh."

"Macam mana kamu jalan sampai jatuh?" Mak Timah menggeleng kepala.

Dhafira gigit bibir. Jam di dinding dipandang. Sudah hampir angka 8 pagi. Tetapi dia masih di rumah.

"Tak payah pergi kerjalah. Rehat aje kat rumah." ujar Mak Timah apabila perasan Dhafira asyik memandang jam sejak tadi. Risaulah tu.

"Mana boleh Mak Timah.. hari ni Fira ada meeting penting." Tak mungkin dia akan cuti hanya kerana tangannya terseliuh. Takut nanti dituduh curi tulang hanya kerana sakit sebesar ini.

"Macam mana kamu nak buat kerja dengan tangan sakit ni?"

"Tangan kanan yang sakit bukannya, tangan kiri."

Hampir Mak Timah terlupa yang Dhafira sebenarnya bertangan kidal. Patutlah tetap nak pergi kerja.

"Nak makan nanti macam mana?" tanya Mak Timah lagi.

"Tangan kiri kan boleh guna untuk makan tapi makan guna sudulah."

Mak Timah hanya mampu menggeleng kepala. Susah juga mahu bercakap apabila Dhafira sudah berdegil.

"Lambat lagi ke, Mak Timah? Fira dah lambat ni." Jam di dinding dipandang lagi. Risau.

"Sikit aje lagi."

Dhafira bersandar sambil mengetap bibir kuat-kuat. Sakit. Nafasnya ditarik dalam dan dihembus perlahan. Tenang, Fira.

Hampir lima belas minit akhirnya tangan Dhafira selesai diurut. Siap Mak Timah balutkan lagi.

"Malam nanti Mak Timah urut lagi." ujar Mak Timah.

"Baik, Mak Timah.. terima kasih." ucap Dhafira seraya melangkah keluar dari bilik Mak Timah.

Dhafira memandu dengan berhati-hati disebabkan hanya tangan kiri yang mengawal streng kereta. Setiba di Teguh Holdings, Dhafira menarik nafas lega. Sudah hampir pukul 9 pagi.

Setelah memarkir kereta, Dhafira terus keluar dari perut kereta dan melangkah ke masuk ke dalam bangunan Teguh Holdings. Langkahnya sedikit tergesa-gesa. Ketika tiba di aras 10, Dhafira terus ke arah bilik pejabatnya namun, langkahnya terhenti apabila Husna menegur.

"Cik Areej.."

"Ya?" Dhafira berhenti di hadapan meja Husna.

"Encik Hadi suruh Cik Areej jumpa dia kat pejabat dia." maklum Husna.

Aduh!

Dhafira terus tepuk dahi. Hal apa pula ni sampai Hadi memanggilnya ke bilik pejabat lelaki itu?

"Sekarang ke?" soal Dhafira.

"Ha’ah." Husna mengangguk bersama senyuman. Kelakar pula melihat Dhafira sedikit menggelabah tadi apabila diri itu dipanggil. Selalunya tenang saja. Tapi, dia hairan bosnya itu masuk lambat hari ni. Pukul 9 baru sampai pejabat.

Kunci Hati (EBOOK)Where stories live. Discover now