USAI solat isyak, Dhafira melangkah keluar dari bilik. Matanya terpandang Hazzar yang sedang menonton tv di ruang tamu atas. Tanpa menegur suaminya, dia turun ke bawah dan menuju ke dapur.Dua biji mug berisi air milo diletak ke atas dulang. Disebabkan tangan kirinya masih terasa sakit, dia terpaksa mengangkat guna tangan kanan, dan menahan dengan tangan kiri. Langkahnya kembali dibawa ruang keluarga atas. Dulang diletak ke atas meja dengan berhati-hati.
" Awak.. minum." Ujar Dhafira seraya berlabuh sofa single.
Hazzar hanya menjeling sekilas sebelum menonton tv semula.
" Awak pergi mana petang tadi?" Tanya Dhafira.
Hazzar mendengus perlahan. Menyibuk!
" Kau peduli apa."
" Saya cuma tanya aje." Balas Dhafira. Tubuh terus disandar. Entah cerita apa yang ditonton Hazzar.
Suasana bertukar sepi. Tiada bicara yang keluar dari Dhafira lagi. Begitu juga Hazzar yang tidak membalas. Namun, agak lama kemudian Hazzar memandang ke arah Dhafira. Sekilas cuma kerana Dhafira tiba-tiba senyap pula.
" Aku keluar.. jumpa Nabila."
Dhafira tersentak. Lalu, bebola hazelnya mengerling ke arah Hazzar.
" Aku harap kau tak halang hubungan aku dengan dia. Kalau pun kau halang, takkan ubah apa-apa. Sayang dan cinta aku tetap pada dia. Kau kena sedar Nabila datang terlebih dulu dalam hidup aku berbanding kau. Dan, kau juga perlu sedar kita kahwin atas dasar apa.. hanya atas permintaan papa aku aje. Cinta, dan sayang jauh sekali. Aku tak ada apa-apa perasaan pada kau melainkan rasa tanggungjawab seorang suami ke atas isteri." Ujar Hazzar lagi. Tenang dan agak mendatar nadanya.
Dhafira hanya diam. Nampaknya dirinya tidak akan diterima dalam hidup suaminya sendiri. Rasa benci di hati Hazzar tidak akan pudar. Dia sedar di mana letaknya dirinya dalam hidup Hazzar. Hanya isteri di atas kertas. Nak atau tak nak, dia harus menerima dan menelan sebuah hakikat bahawa dirinya akan terus dibenci dan perasaannya juga akan terus dipinggirkan.
Pedih. Perit. Sakit. Itulah yang dia dirasai saat ini. Dia tahu dia sudah merampas hak cinta wanita lain. Tetapi, tiadakah ruang untuknya untuk menggapai sebuah kebahagiaan? Tidak layakkah dia?
" Sejujurnya, aku tak tahu hala tuju perkahwinan ni. Aku tak tahu apa yang perlu aku buat pada kau. Aku juga tak tahu apa kepentingan perkahwinan ni sebab kita tak saling mencintai. Kita kahwin hanya sebab papa. Kau buat keputusan hanya disebabkan papa aku." Hazzar mengeluh. Dia bangun dari pembaringan lalu duduk. Dia memandang Dhafira.
Dhafira menelan liur.
" Aku nak tanya kau satu soalan, Fira.. jawab dengan jujur."
Dhafira terus memandang Hazzar. Saat matanya memandang sepasang mata hitam milik suaminya itu, jantungnya terus rasa berdebar. Namun, dia kuatkan hati untuk terus bertenang.
" Apa dia?"
" Kau tak ada impian ke?" Hazzar benar-benar ingin tahu.
" Impian apa maksud awak?" Soal Dhafira kembali.
" Impian untuk hidup dengan seseorang yang kau cintai. Kau mencintai dan dicintai. Tak ada ke?" Tanya Hazzar lagi.
Lidah Dhafira kelu seketika. Sukar untuk dia menjawab pertanyaan itu walaupun kedengaran ianya mudah.
" Kau tak ada kekasih ke? Someone yang special di hati kau?" Hazzar terus menyoal. Dia ingin tahu hati Dhafira. Baginya, Dhafira seorang wanita yang misteri. Susah untuk dia meneka apa yang sedang difikir isterinya itu. Raut wajah itu terlalu tenang sehingga dia tidak mampu mentafsir.
YOU ARE READING
Kunci Hati (EBOOK)
RomanceAreej Dhafira. Wanita muda yang bekerjaya. Tampak sempurna di pandangan mata manusia. Namun, tidak pada hati dan jiwanya. Kerana kisah hidupnya yang tak seindah rupa. Dicerca dihina itu perkara biasa. Disebalik semua terselit cebisan rahsia. Tapi, h...