" Apa?!"
Hazzar terus bangkit sebaik saja Dato Megat Muazzam menghabiskan ayat. Sungguh dia terkejut. Matanya tidak lepas dari memandang wajah si bapa.
" Apa abang ni? Dah gila ke nak jodohkan anak kita." Datin Salwa tanpa sedar dia sudah berbahasa kasar. Jangankan Hazzar saja yang terkejut, malah dia turut sama terkejut.
" Kena jadi gila dulu ke baru boleh abang jodohkan Haz?" Soal Dato Megat Muazzam yang hanya tenang. Kata-kata si isteri langsung dia tidak ambil hati kerana tahu anak-anak serta isterinya terkejut dengan keputusannya.
Datin Salwa mendengus lalu berpeluk tubuh. Tidak sangka suaminya ini ada niat mahu menjodohkan Hazzar dengan anak angkat rakan sendiri.
Sedikit sebanyak Datin Salwa tahu tentang gadis bernama Areej Dhafira itu kerana dia juga berteman baik dengan Puan Sri Alma. Namun, seperti Puan Sri Alma, dia juga tidak tahu asal usul Dhafira. Yang dia tahu Dhafira dijadikan anak angkat oleh Tan Sri Basir walaupun Puan Sri Alma tidak pernah menyetujuinya.
" Apa ni, pa? Nak jodohkan Haz dengan Areej? Sejak bila papa jadi kolot ni? Jodoh menjodoh ni dah ditelan zaman, pa.. sekarang dah moden dan semua dah ada pilihan sendiri termasuk Haz. Haz bukannya tak laku sampai papa nak jodohkan Haz dengan perempuan tu. Lagipun Haz masih muda." Hazzar terus membangkang.
Kepalanya digeleng laju, tanda tidak setuju. Jika dia mengahwini Areej Dhafira.. bagaimana pula dengan kekasih hatinya, Nabila? Dimana dia mahu campak Nabila? Macam mana pula dia nak beritahu Nabila tentang perkara ini?
" Abang.. budak tu kita tak tahu asal usul dia dari mana. Sanggup abang nak kahwinkan Haz dengan perempuan yang tak ada latar belakang yang jelas dan hanya menumpang di rumah orang." Giliran Datin Salwa pula yang membantah. Dia benar-benar tidak berpuas hati.
" Kenapa perlu fikir pasal asal usul sedangkan Dhafira juga manusia macam kita. Perempuan pula tu, satu jenis dengan awak. Dia pun ada hati dan perasaan macam awak juga. Apa salahnya kita bermenantukan Dhafira." Ujar Dato Megat Muazzam. Dia tetap dengan pendiriannya.
Datin Salwa berdecit.
" Abang yang nak kahwinkan Haz dengan budak tu ke atau Basir yang nak kahwinkan anak angkat dia tu dengan Haz? Mungkin budak tu tak laku sebab tulah dia nak Haz kahwin dengan anak angkat dia, kan." Datin Salwa mula buat andaian sendiri. Suaminya tampak begitu bersungguh-sungguh.
" Kan abang dah cakap tadi.. abang yang merisik Dhafira untuk Haz. Abang yang minta izin pada Basir untuk satukan Haz dengan Dhafira. Abang yang mula dulu bukan Basir." Tegas Dato Megat Muazzam.
" Papa ni memang tak fikir pasal Haz, kan? Haz dah ada pilihan hati, pa.. Haz sayang dan cintakan Nabila. Patutnya papa pergi merisik Nabila untuk Haz, bukannya perempuan tu." Hazzar naik geram. Gigi diketap kuat sambil bercakap.
" Papa dah lama berkenan dengan Dhafira." Akui Dato Megat Muazzam.
" Kalau papa berkenan, papa ajelah yang kahwin dengan apa.. Dhafira tu. Kenapa pula Haz?" Pangkah Hazzar seraya menjatuhkan punggungnya ke atas sofa dengan kasar. Tak puas hati.
" Hazzar!" Datin Salwa terus menegur tegas apabila Hazzar memberi cadangan begitu kepada suaminya. Ada ke patut suruh si ayah pula yang kahwin dengan budak yang hendak dijodohkan dengan Haz?
Dato Megat Muazzam menjeling sekilas ke arah si isteri. Dalam hati dia tersenyum melihat isterinya tidak senang duduk dengan cadangan Hazzar.
Hazzar melepaskn nafas dengan kasar. Dia terus bersandar sambil berpeluk tubuh. Papa degil!
" Kenapa papa ni bersungguh sangat nak satukan Haz dengan dia sampai perasaan dan hati anak papa sendiri pun papa tak ambil peduli? Apa istimewanya dia berbanding Nabila?" Soal Hazzar bertalu-talu. Sungguh dia mahu tahu apa sebabnya.
YOU ARE READING
Kunci Hati (EBOOK)
RomantikAreej Dhafira. Wanita muda yang bekerjaya. Tampak sempurna di pandangan mata manusia. Namun, tidak pada hati dan jiwanya. Kerana kisah hidupnya yang tak seindah rupa. Dicerca dihina itu perkara biasa. Disebalik semua terselit cebisan rahsia. Tapi, h...