BAB 1: KISS ME

6.6K 162 15
                                    

Dia terjengah pada kubikel di sebelah. Ada bisik-bisik yang menarik perhatiannya. Kelihatan dua orang rakan sekerja sedang berbual dalam nada perlahan.

"Ada hot story ke?" Qismina bertanya ingin tahu. Dua rakannya itu sudah berhenti berbual, keduanya tertoleh memandangnya.

"Ada bos baru." Lily berambut panjang bertocang kemas menjawab dengan cebikan di bibir.

"Ganti Encik Bahar ke?" Qismina makin teruja ingin tahu. Sebelum dia bercuti tempoh hari dia sudah mendengar ura-ura hal ini dan tak sangka pula secepat ini sudah ada pengganti. Kes Encik Bahar pecah amanah duit syarikat berpuluh ribu jadi berita hangat di kalangan pekerja sejak dua minggu lepas.

"Muda lagi." Yang sorang lagi menjawab pula. Namun tiada riak teruja pada wajah Aini sedangkan kalau tak dia lah yang pantang dengar kalau ada staf muda baru masuk. Mungkin sebab level bos kot.

"That's a good thing." Qismina senyum lebar. Barulah ada feel kerja dengan bos muda. Kalau dengan Encik Bahar, kelam rasa jiwa.

"Tak ada bagusnya. Dua hari dia baru masuk ni, semua dah kena hamun. Dia punya garang tak boleh bawa bincang." Mendatar suara Lily, macam benci sangat pun ada.

"Yeke." Qismina sudah telan liur. Jadi cuak pula. Sudahlah kerja dia yang paling banyak berurusan dengan bos kelak. Fikiran sudah cuba membentuk wajah garang bos yang diperkatakan.

"Kau jaga-jagalah, Qis." Lily umpama beri amaran. Supaya temannya itu beringat kelak. Tak nak jadi mangsa seperti rakan kerja yang lain.

"Janganlah bagi aku cuak." Terjongket bibir Qismina.

"First day dia masuk, semua dah tak betul." Aini menyampuk. Terjuih-juih bibirnya. Nampak sangat meluat dia dengan bos baru yang menjadi topik mereka berdua.

"Hensem tak?" Qismina tanya soalan yang tak patut ditanya, tapi mulut masih laju bertanya. Kalau hensem boleh juga jamu mata.

"Bolehlah." Lily mencebik panjang.

"Hensem sangat."

Kata-kata Aini tarik perhatian Qismina. Kata-kata seperti memuji tapi bibir menjuih keluar. Namun dia tak peduli yang pasti dia sangat teruja dengan fakta yang satu itu. Garang pun tak apa, janji hensem.

Dan kini.

Qismina seperti mahu tarik kata-katanya sebentar tadi. Berdiri kaku di hadapan lelaki bergelar bos ini buat lututnya lemah. Apabila melihat tiada riak langsung di wajah bos sambil membelek kertas kerja yang dihulurkan, bertambah buat dia kecut perut.

Dia belek wajah di hadapannya itu. Memang hensem. Kulit putih bersih, entah produk apa dia pakai. Hidung mancung terletak, kata Lily si bos ni berdarah kacukan tapi, wajah dia lebih kepada lelaki Asia. Rambut hitam tersisir rapi. Tapi satu saja yang kurang. Muka tak mesra alam. Sejak dia masuk ke bilik ini, tiada segaris pun senyuman di bibir bosnya ini.

Terangkat saja wajah di hadapannya itu, terus terhenti pandangan matanya.

"Kamu tak ada better idea ke untuk event kita? Dah berapa lama kerja sini?" Kertas di tangan dilempar dan jatuh melayang ke lantai. Mata tajam memandang.

Terkebil-kebil mata Qismina hanya mampu melihat kertas kerjanya jatuh mendarat di lantai. Itu hasil kerjanya selama seminggu sebelum dia bercuti dan kini, elok saja landing di atas lantai.

"Dah berapa lama kerja sini?" Suara dah macam petir menyambar, panahan mata tepat memandang wajah polos di hadapannya itu. Tangan sudah naik memeluk tubuh sebaik dia menyandarkan tubuhnya di kerusi.

"Dua tahun." Tergagap sedikit suara Qismina.

"Nama siapa?" Pandangan mata masih tajam menikam. Memandang atas bawah tubuh yang bagai terkunci di hadapannya itu.

"Qismina." Perlahan saja suara yang terlontar. Tak pernah dia segerun ini apabila berhadapan dengan pihak atasan. Dan lelaki bergelar bos barunya ini, lain benar garangnya.

"Come again?" Lantunan suara masih keras.

"Qisminaaa..." Meleret suara Qismina menjawab dalam gentar.

"Kiss me now?" Terjongket kening, berlapis kedutan di dahi wajahnya.

Kecil saja mata Qismina memandang.

Orang garang ni memang datang sekali dengan pakej pekak ke?

"Qismina." Dia betulkan sebutan namanya. Suaranya kuat dan jelas.

Tiada reaksi di wajah bos. Namun, apabila jari bosnya tertuding, buat kata Qismina ikut saja arah jari itu. Tertunduk, dia memandang bawah.

Tunjuk apa?

Qismina angkat semula wajahnya. Pandang lama wajah si bos muka bengis.

Bangun dari kerusi, Daniel Huzair dorongkan badannya ke depan. Badge yang tergantung di leher Qismina ditarik membuatkan si pemilik badge turut maju ke depan.

Kalut wajah Qismina. Mata pandang wajah bos dan kemudian jatuh pula pada badge yang ditarik.

"Gambar ni kat depan. Bukan sorok ke belakang. Badge ni gunanya untuk saya tahu nama pekerja. Pakai macam ni, siapa nak tengok? Perut awak? Dada awak? Jangan sampai saya arahkan security halau pekerja yang reti nak pakai badge elok-elok."

Badge dilepaskan, dia duduk semula. Namun mata masih memandang tajam wajah Qismina yang sudah tertunduk ke bawah.

"Event lagi sebulan. No more cuti lepas ni."

Qismina angkat wajahnya dalam takut-takut. Ditaktor ke apa ni?

"Jangan ingat saya tak tahu apa awak fikir." Daniel cerlung memandang. Dari riak wajah Qismina, dia tahu apa yang sedang berlegar di fikiran gadis itu.

Qismina kecut perut. Tekak dah kering telan liur. Rasa nak menangis pun ada. Baru cuti dua hari dah kena hadap perangai bos baru macam ni.

Qismina pandang muka bos lagi.

Muka macam singa agaknya tertelan pak singa waktu datang kerja tadi gamaknya.

"Dah keluar." Jari tertuding ke arah pintu.

Tiada anggukan, Qismina bongkokkan tubuhnya dan kutip helaian kertas di atas lantai. Sebal rasa dada, melihat usahanya selama seminggu disampahkan tanpa penjelasan.

Mata sempat mengerling bos yang sudah mengadap laptopnya, muka memang jenis tak ada perasaan. Kalau dia boleh hilang serta merta dah lama dia buat. Malangnya dia terpaksa heret langkah kakinya untuk keluar dari bilik yang panas membahang ini.

"Qismi."

Tangan yang mahu memulas tombol pintu, terkaku di situ. Mahu menoleh namun serba salah.

Panggil aku ke?

"Qismi."

Sah.

Qismina pusingkan badannya.

"Panggil saya ke?" Dia tuding jari pada diri sendiri. Takut salah dengar. Takut penyakit pekak bos dah berjangkit padanya.

"Habis panggil sapa? Nama awak Qismi kan? Bukan Qisyu."

Qismina tercekik air liur. Apa lain macam sangat sebutan Qisyu tu. Lama mata memandang wajah bos bengis. Macam ada senyuman di hujung bibirnya. Dan dia tak salah pandang.

"Qismina, bos. Kawan panggil saya Qis. Bukan Qismi." Qismina cuba betulkan lagi. Bab nama ni dia memang pantang kalau orang salah sebut.

"Suka hati saya lah nak panggil apa."

Qismina diam tak berbalas. Terkebil mata.

Dia rasa macam nak pergi JPN dan tukar nama serta merta. Buat pertama kali dia benci namanya sendiri. Tambah-tambah pula apabila nama terluncur di bibir si muka singa.

Kiss me, kiss me. Ingat aku ni gula-gula kiss me ke!

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now