BAB 8

2.5K 110 4
                                    

Sejak insiden pagi tadi, kerap Daniel menghilang. Waktu tengah hari pun ada masanya dia muncul sekejap, dan kemudian menghilang berjam-jam. Sedangkan staf yang lain sibuk uruskan persiapan menjelang pameran yang akan dirasmikan tiga hari lagi. Dan Daniel seperti tidak endah dengan semua ini.

Qismina sekejap-sekejap membelek telefonnya. Manalah tahu, ada WhatsApp dari Daniel mengajaknya makan. Tapi, malangnya tiada satu pun mesej yang diterimanya. Segera dia masukkan semula telefon bimbitnya ke dalam beg.

Cup Starbucks di atas meja yang sudah kosong isinya, direnung. Riak wajah Daniel ketika menghulur minuman itu masih jelas di ruang matanya.

Cemburu dengan Ethan?

Qismina menggeleng.

Mustahil yang sangat mustahil. Dia bukan siapa-siapa di hati Daniel. Tambahan pula hati lelaki itu sudah terisi dengan wanita lain. Si tunang yang serba sempurna. Apalah ada padanya dibandingkan dengan Cik Nina.

Entah-entah si singa tu tengah bergaduh dengan tunang dia. Lepas hilang mood, orang lain yang jadi mangsa dia pula.

Qismina capai cup kosong itu, dibelek sekelilingnya. Ada namanya di situ tapi dengan ejaan, 'Kiss Me'.

Senyuman terukir tanpa sedar. Dada berombak dengan seribu rasa. Berdeham kecil. Dia cuba hakis rasa yang mula menyinggahi hati. Takut menjadi luka yang dalam. Hakikat si bosnya itu tunangan orang. Berdosa mengganggu kebahagiaan orang lain. Berdosa meruntuhkan masjid yang bakal dibina.

"Qis."

Qismina menoleh ke arah suara itu. Staf bernama Ray berjalan ke arahnya. Terdongak berserta senyuman lebar. Dia angkat kening bertanya, 'kenapa'.

"Jom balik resort. Bos dah WhatsApp suruh rehat dulu."

Mendengar kata-kata Ray itu, kalut dia mencari telefon di dalam tas tangannya. Skrin dibuka. Tiada mesej yang disangka ada diterimanya. Dia hampa. Mengharapkan ada WhatsApp dari Daniel umpama harapan kosong yang menghempas dada.

"Bos mana?" Qismina bingkas bangun sambil bertanya.

"Dah balik resort. Bos tak sihat."

Berderau darah Qismina mendengar. Cup kosong Starbucks dicapai. Dia mengekori Ray dan staf yang lain.

"Bos kenapa?" Sambil berjalan dia bertanya. Dia jadi risau. Patutnya asyik menghilang seharian ni.

Terjongket bahu Ray tanda tak tahu.

Sampai saja di resort. Dia dah tak sabar mahu sampai ke biliknya. Entah kenapa dia risaukan kesihatan Daniel. Risau yang melampau walaupun selama ini lelaki itu hanya menyakitkan hatinya.

Masuk ke dalam bilik. Laju langkah kakinya diatur ke balkoni. Langsir ditolak perlahan, sliding door dibuka luas. Dia terjengah ke sebelah.

Sliding door bilik Daniel tertutup rapat tapi langsirnya terbuka luas. Terjengket lagi kaki Qismina. Hanya kepala katil yang dapat ditangkap kornea matanya.

Sebaik mahu mengatur langkah masuk semula ke dalam bilik, langkah kakinya mati. Entah dari mana, Daniel yang bertshirt hitam dan berseluar pendek elok saja berdiri di balik sliding door itu. Mata tepat memandangnya.

Dia sudah urut-urut dada. Si singa ni memang dah serupa hantu. Suka muncul secara tiba-tiba. Sudahlah muka masam mencuka.

"Nak apa?" Itu soalan yang ditanya sebaik Daniel menolak sliding door. Seperti selalu, nada suaranya cukup menjengkelkan.

Qismina geleng.

"Saya belum mati lagi." Tajam sindiran dilempar Daniel.

Naik pandangan mata Qismina memandang Daniel. Panas rasa dadanya. Menyesal apabila memikirkan betapa dia risaukan si singa ni tadi.

"Baguslah tak mati lagi." Qismina dah jeling tajam. Marahnya sampai tak sedar dengan kata-katanya sendiri.

Qismina buka langkah masuk ke biliknya semula.

"Teman saya makan malam nanti."

Mati langkah Qismina mendengar kata-kata itu. Tanpa membalas dan tanpa memandang, dia hanya keraskan hatinya dan meneruskan langkahnya.

Terpandang saja cup Starbucks di atas meja sisi katilnya. Laju dia mencapai dan campakkan ke dalam tong sampah.

Puas hati. Duduklah senyap-senyap dalam tong sampah tu!

Usai selesai mandi, Qismina berbaring di atas katil. Rasa letih seharian berada di tapak pameran sedikit melelahkan. Sudahlah dia langsung tidak menjamah makanan berat sepanjang hari ini. Perut sudah berbunyi minta diisi.

Bangun semula dari baringan, dia capai telefon bimbitnya. Buka skrin telefon lalu dia buka aplikasi WhatsApp. Mesej terakhir Daniel petang semalam dia baca berkali-kali.

Dan apabila melihat Daniel sedang online ketika ini, langsung dia kunci semula telefonnya dan dilempar perlahan di atas katil.

Apalah yang diharapkan dengan lelaki itu. Lagipun dengan status hubungan dia dengan Cik Nina, sepatutnya sudah lama ditanam perasaan yang mula berputik itu.

Dengan kepala berbungkus tuala, Qismina bangun dan melangkah menghala ke balkoni. Hirup udara malam, manalah tahu boleh buat dia kenyang.

Sliding door ditolak perlahan. Dan dia menapak berhati-hati. Tak mahu didengari si singa di sebelah yang mampu merosakkan moodnya tak sampai sesaat.

"Ya Allah."

Qismina pula yang jadi terkejut mendengar suara itu. Baru nak bertenang-tenang, bersenang-senang dan nampaknya mamat singa ni dah umpama sumpahan padanya. Dah macam bayang-bayang yang selalu mengekori. Nasib baik tak muncul masa dia ada di dalam bilik air.

"Berbungkus macam hantu." Tajam suara Daniel. Sah dia terkejut. Bunyi suara macam orang lepaskan geram.

Qismina hela nafas panjang. Setiap bait kata yang keluar dari mulut lelaki itu, tak pernah ada yang menyenangkan hatinya. Semua menjengkelkan. Semuanya menyakitkan hati. Tak sihat pun perangai macam ni. Kalau sihat lagilah rasa nak humban dalam laut.

"Kalau saya betul hantu, dah lama saya cekik bos. Biar sama-sama jadi hantu." Dia kalau dah marah, dia dah tak fikir dengan siapa dia berbalas kata. Bos tak bos kalau dah perangai serupa ini.

"Tak apalah kalau kena cekik hantu cantik."

Perlahan saja balasan kata Daniel namun, dia mendengar dengan jelas. Bukan pujian pun tapi lebih kepada sindiran. Mata yang tadi malas memandang si bos, diangkat perlahan mencari susuk lelaki itu dalam kelam malam.

Qismina macam tercekik air liur apabila matanya menangkap susuk Daniel yang hanya memakai seluar pendek tanpa baju.

Nice bod.

Qismina berdeham beberapa kali. Dilarikan terus pandangan matanya ke arah laut walau bagai ada magnet yang menarik matanya supaya kembali memandang Daniel dan lebih spesifik, badan tegap tak berbaju itu.

Qismina cuba bertenang. Dia undur kakinya ke belakang. Setapak, dua tapak, dia mahu larikan diri. Tak sanggup mahu berlama-lama, takut dia yang demam.

"Nak ke mana?"

Terhenti langkah Qismina, namun mata mengerling lagi, bukan ke wajah Daniel tapi badan yang berotot itu. Dada, perut, bawah lagi dan lagi.

"Nak cuci mata tercemar saya ni dengan clorox." Cepat-cepat Qismina naikkan pandangan matanya, memandang wajah Daniel.

"Awak dah puas cabul badan saya dengan mata awak tu baru nak cuci?" Pedas kata-kata Daniel itu.

Membahang terus wajah Qismina. Dia malu sendiri. Rasa macam nak terjun dari balkoni, berenang balik Semenanjung.

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now