RANDOM TEASER 1

4K 97 32
                                    

DANIEL memandang Qismina dengan ekor mata saja. Tak berani mahu menegur. Dan begitulah keadaan mereka sejak 15 minit yang lepas. Hanya ada lagu yang terpasang perlahan di radio menjadi peneman mereka.

“Nak singgah mana-mana ke?” Akhirnya Daniel bertanya. Dah nak naik gila dia dibuatnya apabila memandu sebegini. Ada orang di sebelah menemani namun hanya diam membisu seribu bahasa. Dah serupa bawa zombie, tapi jenis yang duduk diam. Behave sangat.

“Singgah mana?” Soalan yang dijawab dengan soalan dan Qismina langsung tidak berpaling memandang Daniel saat soalan itu diaju. Tubuhnya terus keras pada sandar kerusi. Mata tersorot pada jalan di hadapannya.

“Singgah mana-mana je. Sejukkan hati awak tu dulu.” Sinis. Rasa puas pula hatinya dapat menyindir begitu. Nak memujuk memang bukanlah caranya. Dia pun ada egonya sendiri.

“Elok buat cairkan hati beku awak juga.” Berbalas sindiran pula. Qismina jongket hidung sambil buat muka meluat. Geram apabila disindir begitu, serupa mahu letak semua salah di bahunya.

Sedangkan dalam hal ini, semuanya punca dari lelaki yang sedang memandu tenang ini. Macam tak ada apa yang menggusarkan hatinya. Walhal ada perkara yang perlu selesaikan apabila menjejak kaki ke Kuala Lumpur nanti.

“Nasib baik saya sayang awak, Qismi. Kalau tak, dah lama saya tinggal awak tepi jalan. Biar berpeluh ketiak balik KL jalan kaki.”

Terus darah terasa menyerbu ke wajah apabila telinga menangkap perkataan ‘sayang’ yang meniti di bibir Daniel. Qismina cuba tenangkan perasaannya. Namun, semakin dia cuba bertenang, semakin kering rasa tekaknya. Dia terbatuk kecil.

Daniel sudah sungging senyum kecil.

“Terharu dengar confession saya sampai terbatuk ke?” Dia mengusik.

Akhirnya berjaya juga dia tarik perhatian Qismina. Tapi memang benar, kata-katanya itu lahir dari hatinya, bukan sekadar kata-kata yang bermain di bibir. Bukan mudah untuk dia ungkap kata sayang jika hanya sekadar untuk mempermainkan hati perempuan.

“Mudah sangat sebut sayang.” Qismina mengomel sendiri, tak sedar kata-katanya itu jelas didengari Daniel.

Itulah yang bermain di fikirannya sejak lelaki ini suarakan hasrat hati untuk menikahinya. Semuanya nampak mudah. Kenal pun tak lama mana dan yang pastinya mereka bukanlah pasangan bercinta.

Namun, dia akui ada perasaan yang mula hidup subur di hatinya untuk lelaki bernama Daniel ini. Cumanya dia tidak pasti sama ada mereka sedang berkongsi rasa yang sama atau tidak. Dia tidak dapat membaca isi hati Daniel.

Sangat pelik apabila dengan semudah itu Daniel mahu jadikan dia sebagai suri hidupnya. Mahu sehidup semati. Mahu dia menjaga makan minumnya. Sudah berfikir sehabis baik ke? Atau ada sebabnya lelaki ini berbuat begitu?

“Lepas nikah nanti, saya panggil awak sayang. Awak boleh panggil saya abang. Awak suka kan. kalau panggil saya abang?” Daniel angkat kening kirinya. Riak wajahnya biasa saja sambil mata melirik ke arah Qismina.

Qismina buat-buat macam nak muntah. Tercebik bibirnya. Geli pula mendengar panggilan itu menyinggahi pendengarannya.

Macam tak ada panggilan lain. Dah serupa bercinta dengan abang sendiri.

“Hah, mengandung? Eloklah tu. Makin cepat boleh panggil saya abang.” Tersungging lagi senyum di hujung bibir Daniel.

Terus laju Qismina menoleh. Cerun saja pandangan matanya. Sedangkan dalam hatinya sudah bergelodak dengan rasa was-was. Dan kata-kata sumpahan juga sudah berbakul tersumbat di dadanya.

“Awak jangan nak cakap macam-macam. Tak ada apa jadi antara kita, celah mana nak mengandungnya?” Tertahan-tahan suara Qismina menahan geram. Baru nak reda rasa marah, sudah ditambah pula dengan topik yang bikin hatinya menyirap kembali.

“Mana awak tahu tak ada apa-apa yang jadi? Saya saja yang tahu apa yang jadi malam tu.” Daniel sudah leret senyum simpul. Sengaja mahu menambah api di dada Qismina yang kian marak. Suka pula melihat gadis di sebelahnya dalam keadaan begini. Bertambah comel pula dia rasa.

“Awak yang cakap tak ada apa-apa yang berlaku. Awak jangan nak pusing-pusing ayat.” Qismina mengingatkan hal itu lagi. Dan dia sememangnya mati-mati percaya saja yang diberitahu Daniel.

Baginya, mustahil hal sebegitu akan diputar-belitkan oleh lelaki di sebelahnya ini. Tapi, bukan mustahil juga kalau sememangnya apa yang diberitahu padanya hanya dusta. Hanya rekaan semata-mata untuk menyedapkan hatinya.

Qismina cuba bertenang. Dia teguk liur laju. Mula rasa cuak. Akalnya sudah tidak tahu yang mana harus dia percayai. Dia menyandar ke belakang kerusi, mata memandang di hadapan, takut mahu memandang Daniel.

“Sebab tu saya ajak awak kahwin cepat-cepat.”

”

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now