BAB 4

2.7K 100 1
                                    

Qismina ketuk sikit dinding kubikel yang memisahkan meja kerjanya dengan meja sebelah. Mendengar bunyi kerusi Lily bergerak, dia sudah menongkat dagu memandang ke arah kirinya.

"Kenapa?" Lily bertanya.

"Cik Nina tu betul ke tunang bos kita?" Persoalan itu menjadi tanda tanya Qismina sejak tengah hari tadi.

Terjuih sedikit bibir Lily. Dia memang anti betul dengan bos singa tu.

"Macam tu lah nampaknya. Tunang tak rasmi kot. Sebab kita tak ada pula dengar Dato' ada buat majlis tunang kan. Tapi, kan bos tu dia punya berlagak tak ingat kan. Belum jadi menantu perangai dah macam hantu."

Qismina ketawa mendengar kata-kata Lily itu. Sempat lagi tu dia nak mengumpat si singa. Buatnya dia datang terjengah, dah tak sempat nak cover mulut tu.

"Qismina!"

Tergelincir terus pipi yang bertongkat dengan tangannya. Masin pula fikirannya hari ini. Pantang tersebut, terus muncul singa ni. Jerit macam tu, boleh jadi satu bangunan boleh dengar. Bangun perlahan, Qismina memandang ke arah Daniel yang berdiri di depan pintu biliknya. Tangan tuding ke arah bilik mesyuarat.

"Meeting."

Daniel sudah bergerak ke bilik mesyuarat, membuatkan Qismina terus terpinga-pinga. Rakan-rakan ofis yang lain sudah terjengah-jengah ke arahnya.

"Dia dengar ke?" Lily tanya dengan suara berbisik-bisik. Cuak pula apabila difikirkan.

"Rasanya serupa telinga lintah macam kau kot. Tau je kita mengumpat dia." Qismina seret senyuman kelat di bibir. Macam dah tahu apa nasib bakal dia hadapi dalam bilik mesyuarat sebentar nanti

Masuk dalam bilik mesyuarat, mata Qismina pandang sekeliling bilik. Tiada siapa. Hanya ada lelaki bernama Daniel Huzair yang duduk di kerusi menghadap pintu masuk.

Kata meeting tapi, mana yang lain?

Qismina serba salah mahu duduk. Penyudahnya dia hanya berdiri tercegat dengan pandangan mata terpusat di wajah Daniel. Dan seperti selalu, tiada garisan senyuman di bibirnya.

Entah kenapalah susah sangat nak senyum. Kalau senyum kena bayar cukai ke?

"Kerusi tu untuk awak duduk. Bukan buat perhiasan bilik ni." Sinis kata-kata yang terlontar. Hanya kerana ada mereka berdua. Suara garau Daniel bagai bergema di sekeliling bilik. Melantun-lantunan gelombang suara itu menembusi telinga Qismina.

Qismina tarik kerusi paling hampir. Baru saja dia hendak melabuhkan punggungnya.

"Duduk sini!"

Daniel menguis kaki kerusi berhampiran dengannya menggunakan kaki. Pandangan matanya tajam semacam. Tak cukup kenyang lagi kut tengah hari tadi makan sandwich.

Qismina tahan diri. Sudahlah insiden di kafe tengah hari tadi buatkan dia mendidih rasa marah. Ini pula, masih melayannya dengan cara begini. Makin lama, makin hilang kesabarannya melayan karenah si singa sorang ni.

"Kenapa? Takut duduk dekat dengan saya?" Soal Daniel apabila melihat Qismina masih tercegat tidak mahu berganjak.

Tak menggeleng, tak juga mengangguk. Hanya mata terkebil memandang Daniel.

"Okey. Duduk situ." Keras suara Daniel. Kerusi yang dikuis dengan kakinya tadi, ditolak kembali masuk ke bawah meja.

"Duduk! Jangan buang masa saya!" Makin tinggi suara Daniel. Pen yang dipegangnya tadi sudah dihempas ke meja.

Qismina cepat-cepat tarik kerusi dan langsung duduk.

Bunga-bunga yang berkembang tatkala terpandangkan senyuman di bibir Daniel di kafeteria tadi, mula gugur perlahan-lahan. Begitu juga hal yang berlaku di dalam pantri tadi turut lebur dalam fikirannya. Semua layu umpama kena racun apabila terpandangkan wajah garang lelaki itu.

Buang masa sungguh dia melayan hatinya tadi.

"Next week, awak ikut saya ke Sabah."

"Hah?" Terlopong mulut Qismina. Mata sudah membulat memandang Daniel.

"Buat apa?" Mata masih tak berkelip memandang.

"Kerja la. Tak kan pergi nikah."

Gulp.

Sungguh lelaki singa ni benar-benar menduga hatinya. Mata terus pandang wajah Daniel. Terlekat lama di wajah kacak itu. Tertelan liur, Qismina tundukkan pandangannya.

Hey hati, kalau kau curang lagi memang aku humban dalam lombong!

"Tapi kenapa pula saya kena ikut sampai ke Sabah. Sebelum ni saya tak pernah ikut kalau ada event." Angkat semula dagunya, dia hantar pandangan ke arah Daniel yang juga sedang memandangnya.

"Saya nak awak yang uruskan event ni. Belajar uruskan acara. Bukan hanya siapkan kertas kerja. Exhibition ni akan jadi penutup kepada event besar kita tahun ni."

Lama Qismina pandang Daniel.

"Tapi bukan skop kerja saya." Hati masih membantah. Dia tak sanggup hendak membayangkan macam mana keadaannya semasa di Sabah nanti. Siang malam terpaksa hadap muka bapak singa ni.

"Saya nak awak ada venue experience." Daniel masih bertegas.

"Tapi, bos..."

"Lagipun, tak ada siapa teman saya makan dekat sana nanti.

Tersentap dada.

Mati terus pandangan mata Qismina.

Main-main ke apa ni? Tapi muka sikit punya serius.

"Cik Nina boleh teman bos makan." Sesaat kemudian, Qismina merasa menyesal dengan kata-katanya sendiri.

Mulut kau memang nak kena cili kejap lagi.

"Nina bukan muhrim saya." Tenang saja wajah Daniel menjawab.

"Habis saya ni? Bukan muhrim juga."

"Awak pekerja saya, sebab tu saya bawa. Kalau tunang saya, memang saya simpan dalam rumah." Nada suara dah ternaik. Daniel hantar pandangan tak puas hati. Tajam saja mata memanah wajah polos Qismina.

"Dah keluar, nanti saya bagi tarikh."

Qismina sudah berdengus. Benci betul bila si singa ni suka hati saja menghalaunya pergi. Sama macam insiden di kafe. Jenis tak beradab. Bukan tak boleh cakap elok-elok.

You may go now. Kan lebih sopan walau maksudnya sama saja dalam bahasa melayu.

Tolak kerusi, Qismina segera bangun. Baru melangkah, suara Daniel mematikan niatnya.

"Jangan nak buat muka belakang saya."

Terus terketap bibir Qismina. Dia memandang sekeliling. Takut ada cermin yang memantulkan wajahnya yang memang sedang buat mimik wajah yang menjengkelkan.

"Mana ada saya buat muka, bos." Qismina berpaling dan melemparkan senyuman kekok. Dan cepat-cepat dia matikan senyuman itu apabila melihat riak wajah ketat Daniel.

"Don't you know how to smile, bos singa?"

Kata-kata itu hanya melintas di fikirannya. Memang sah lah dia tak berani berkata begitu secara depan-depan. Memang cari nahas.

"Keluarlah kalau tak ada apa."

Qismina pandang Daniel tak berkelip.

Sabar, Qismina. Sabar.

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now