Bab 10

3K 99 2
                                    

Daniel melangkah ke arah booth yang menjadi tempat stafnya berehat. Lantaran banyak lagi persiapan di saat-saat akhir yang perlu disudahkan, masa bekerja ini berlarutan sehinggakan ke waktu sekarang. Sudah melewati pukul 9 malam. Apabila dia berdiri di meja yang selalu menjadi tempat Qismina melepaskan lelah, tiada kelibat gadis itu di situ. Hanya kelihatan dua orang staf yang sedang duduk bersantai menjamah sajian minum petang yang disediakan. Cup Starbucks di tangan diletak di atas meja, dia mengeluarkan Iphone dari poket seluarnya, matanya menangkap mesej WhatsApp yang tertera di skrin.

Saya balik resort. Sakit kepala.

Mesej itu dihantar 20 minit yang lalu.

Diburu risau, Daniel mendail nombor Qismina namun panggilan itu terus dibawa ke peti pesanan suara. Tak senang duduk, dia menghampiri salah seorang staf yang sedang duduk di tepi booth.

"Qismina balik resort bila? Dengan siapa?"

"Setengah jam dah rasanya. Dia mengadu sakit kepala. Dia balik dengan lelaki booth hujung tu."

"Yang selalu berbual dengan dia tu?" Terus Daniel bertanya. Hanya wajah Ethan yang bermain di fikirannya tika ini.

"Haah, yang chinese look tu."

Berdengus, Daniel ketap rahangnya. Marahkan Qismina yang mudah saja mengikut lelaki pulang ke resort. Tak kisahlah walau hanya mahu menemani sekalipun. Tak pandai nak membatasi hubungan dengan lelaki yang bukan muhrim.

"Dah settle dengan sound system, korang dah boleh balik resort. Tak payah tunggu atau cari saya. Saya ada hal." Laju Daniel atur langkah sebaik memberikan arahan itu. Risau mula menghimpit dada. Entah kenapa hatinya dapat merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku.

Perjalanan 15 minit antara tempat pameran dengan resort dirasakan terlalu lama. Dan makin dekat dengan resort, semakin hatinya diamuk dengan rasa gelisah. Sebaik kereta yang disediakan syarikat sepanjang dia di sini, selamat diparkir. Dia melangkah ke bilik Qismina.

Berdiri di depan bilik, Daniel mengetuk pintu bertalu-talu.

Sesaat, dua saat. Pintu masih belum dibuka.

Daniel mengetuk makin kuat. Dan rasa risaunya makin kuat menyerang dada.

Terbuka saja pintu, bukan Qismina yang berdiri di balik pintu itu. Tapi susuk seorang lelaki yang tidak lengkap berpakaian. Hanya berseluar jeans, mendedahkan bahagian atas tubuhnya.

Satu tumbukan dilepaskan tanpa amaran. Tepat mengena bibir Ethan, membuatkan tubuh itu melayang ke belakang dan terduduk di lantai.

Meluru masuk, jantungnya mahu luruh melihat Qismina terbaring di atas katil dengan hanya memakai bra. Dan tak pasti keadaan di bahagian bawahnya kerana ditutupi dengan selimut.

"Qis." Memanjat katil, Daniel gerakkan tubuh Qismina yang terbaring seperti tidak sedarkan diri.

"Qis, wake up."

"Hey." Menyerang dari belakang, Ethan tarik kolar baju Daniel.

"Berambus kau!" Daniel menepis tangan Ethan. Turun dari katil dengan tangan yang bergumpal dengan buku limanya, dia bila-bila masa saja sudah bersedia melepaskan satu lagi tumbukan.

"Kau yang patut berambus. Mengganggu!" Ethan mula menempelak.

"Kau jangan ingat aku tak tahu siapa kau, Ethan."

Terundur tubuh Ethan ke belakang apabila mendengar namanya meniti di bibir lelaki yang sedang berdepan dengannya itu. Pelik seperti Daniel sangat mengenalinya.

"Nina mesti tak suka dengan apa yang kau buat ni."

Terus terenjat tubuh Daniel mendengar nama Nina. Otaknya cuba memproses segala maklumat, mencari imej Daniel yang mungkin tersimpan di dalam memorinya.

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now