BAB 2: Daniel Huzair

3.1K 125 8
                                    

Perut sudah berbunyi, mata sudah menjamah deretan lauk pauk yang terhidang di kaunter makanan. Apabila matanya menangkap lauk kegemarannya sambal paru, dia sudah telan liur.

"Makan tak Qis?" Aini cuit lengan apabila melihat Qismina masih tercegat memandang deretan lauk pauk.

"Makan. Lapar ni." Qismina sudah usap perutnya. Pagi tadi dia hanya mengalas perut dengan sekeping roti putih. Langsung tak sempat nak bersarapan gara-gara kertas kerja yang perlu dihantar pagi tadi.

Pinggan diambil, dan baru saja dia hendak mencedok nasi kedengaran satu suara menerjah gegendang telinga.

"Qismi."

Hampir mahu melurut pinggan di tangan. Dan dia tahu siapa yang memanggil. Tak ada siapa yang memanggilnya sebegitu kecuali pak singa sorang tu.

Lily di belakang sudah siku pinggang Qismina, kepala terhala menunjuk satu arah.

Qismina ketap gigi memandang Encik Tak Mesra Alam mengangkat tangan ke arahnya.

Apalah dia nak ni?

"Tu bos panggil." Lily siku perut Qismina lagi.

"Ish dia nak apa ni. Aku dahlah tengah lapar. Kang dengan dia-dia aku makan sekali." Omel Qismina. Pinggan sudah diletak kembali. Kakinya terhayun dalam paksa ke arah Daniel yang masih tak lepas memandangnya.

"Ya, bos." Qismina hadiahkan senyuman paling manis. Walau dalam hati dah menyumpah seranah. Perut sudah berbunyi, sambal paru sudah melambai-lambai.

"Duduk." Arah si muka ketat.

"Saya nak makan bos. Sekarang ni kan waktu lunch hour." Demi sambal paru, Qismina berani bersuara. Dipaling ke arah Lily dan Aini yang tertoleh-toleh memandangnya. Dua-dua buat muka simpati.

"Duduk." Naik setakuk lantunan suara lelaki itu.

Laju Qismina tarik kerusi dan terus duduk. Tak berani membantah lagi. Walau perut sudah berbunyi minta diisi.

"Teman saya makan."

Jadah apa ni?

Qismina pandang tajam berserta kerutan di dahi.

"Saya kalau makan kena orang teman."

Qismina terbatuk.

Macam tak percaya dengan apa yang dia dengar. Dia pandang lama wajah yang tak pernah senyum itu. Dalam garang macam singa, bila bab makan kena teman pula.

"Share dengan saya kalau awak nak. Kalau tak duduk situ diam-diam teman saya." Daniel tolak sikit pinggannya. Hanya ada dua keping sandwich. Dan juga semangkuk sup cendawan.

Terjongket bibirnya, Qismina hela nafas berat.

Nanti share boleh terjangkit penyakit singa dia dekat aku.

Qismina kerling pinggan yang ditolak sebentar tadi. Dah tinggal sekeping sandwich. Si muka ketat sibuk mengunyah sandwich sambil leka dengan Iphone di tangannya.

Baik tak payah teman.

Qismina usap perut yang dah berdendang sayang. Mata kerling pandang Lily dan Aini yang sengaja duduk di meja sebelah.

Bergerak-gerak bibirnya.

"Save me." Qismina buat muka sedih.

"I can read your lips."

Terpaling semula memandang Daniel yang sudah memanah dengan pandangan tajamnya. Terus dia kemam bibirnya.

"Awak bangun, tak payah teman saya. Dah ada orang lain nak teman."

What the...

Kalaulah dia boleh menyumpah, dah lama dia buat. Tapi dia takut hilang kerja. Hanya mampu memandang si bos tanpa kata yang mampu terluah.

"Awak dengar kan apa saya cakap? Bangun sebelum dia datang." Keras suara yang terlontar. Pakej dengan mata yang cerlung memandang.

Qismina segera bangun. Melangkah ke meja rakannya di sebelah dengan perasaan yang bercampur baur.

Tarik kerusi, dia hela nafas panjang.

"Dia nak apa?" Lily laju bertanya.

"Salah guna kuasa." Mata masih sempat menjeling Daniel yang masih dengan IPhone di tangannya. Mati terus seleranya. Mendidih dadanya, dengan segala rasa yang meletus.

"Wey... Kenapa ni?" Aini di sebelah sudah tak sabar nak tahu.

"Malas nak cakap." Qismina sedang tahan diri. Gelas minuman di hadapan Aini ditarik dan dia menyedut selamba.

"Girls. Tengok tu sapa datang."

Sambil menyedut minuman Aini, kepala Qismina berpaling sedikit. Matanya menangkap seorang gadis bertudung dengan berkebaya biru sedang berjalan ke arah Daniel.

"Betul lah rumor tu."

Qismina berhenti menyedut minuman. Dia berpaling pula pada Lily. Tertanya dengan maksud kata-kata temannya itu.

"Rumor yang mana?" Aini jongket kening.

"Bos kita tu dah bertunang dengan Nina."

Qismina toleh semula ke arah meja sebelah. Nina yang dimaksudkan Lily, anak kepada bos besar Dato' Dahlan. Yang memang mereka sudah kenal. Seorang yang cantik, sopan dan tak pernah menyombong dengan pekerja bawahan.

Terlirik lagi matanya memandang Daniel. Dan sebaik Nina duduk, ada senyuman terbit di hujung bibir lelaki yang tak pernah senyum itu.

Terpaku seketika. Jantung berdegup kencang hanya kerana senyuman yang bukan untuknya itu. Walau senyuman itu terhadiah untuk gadis lain entah kenapa dia yang jadi tak senang duduk.

Dan apabila mata Daniel naik memandangnya di kejauhan, Qismina jadi lemah lutut.

Sesaat, dua saat. Mata bertentang. Qismina telan liur.

Hai hati, jangan nak buat onar!

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now