BAB 14

2.9K 102 6
                                    

Agak lama sebelum pintu dikuak dari dalam. Ada lelaki yang sedikit berumur di muka pintu. Sebaik terpandangkan wajah Qismina, bibirnya menguntum senyum.

"Waalaikumussalam. Mina kenapa balik tak beritahu ayah dulu." Terpampang riak ceria di wajah Encik Yassin dengan kepulangan Qismina.

"Saja. Ayah sihat?" Tangan bapanya disalami dan dikucup lembut.

"Alhamdulillah."

"Mak mana?" Teruja suara Qismina bertanya.

"Ada dekat dapur. Buat lepat pisang. Macam tahu saja Mina nak balik."

Tersengih, Qismina sudah terbayangkan lepat pisang kegemarannya. Lepat pisang buatan ibunya sememangnya tiada tandingan. Tertoleh ke luar, Qismina memandang Daniel yang sedang terkial-kial menanggalkan kasutnya.

"Siapa tu?" Encik Yassin memandang ke bawah. Kesian pula dia melihat teman anaknya itu kelihatan kekok di bawah.

"Ajak dia masuk." Tanpa menunggu Qismina menjawab, Encik Yassin bersuara.

"Kak Mina. Balik tak bagitahu pun. Patutlah mak asyik sebut-sebut nama kakak dari pagi." Berlari Mia mendapatkan Qismina lalu memeluk kakaknya itu.

Namun pelukan dua beradik itu terlerai apabila Daniel sudah naik dan berdiri di sebelah Qismina.

Terdongak Mia memandang lelaki tinggi lampai itu.

"Mak! Kak Mina bawa balik boyfriend mat salleh." Bergema suara Mia satu rumah.

Kecoh jadinya apabila dua adik Qismina yang lain juga terjengah di balik pintu bilik namu taku- takut mahu menghampiri apabila terpandangkan wajah asing di sebelah si kakak.

"Ni bos kakak lah." Qismina cubit perut Mia.

"Tak apa. Boyfriend pun tak apa." Selamba saja suara Daniel.

Terdongak Qismina memandang Daniel. Tidak percaya itu yang diucap oleh bosnya. Dan dia perasan ada kelainan di wajahnya.

Eh, dia senyumlah.

"Mina. Ya Allah anak mak."

Terus mati pandangan mata Qismina di wajah Daniel. Melihat wajah ibunya yang menghampiri benar-benar buatkan hatinya melonjak rasa bahagia. Tubuh si ibu didakap seeratnya.

Daniel hanya menjadi penonton. Tercuit sedikit hatinya melihat adegan yang terhidang di depan matanya. Ikatan kekeluargaan yang begitu kuat buat hatinya tersentuh.

."Mak sihat?" Bertanya tanpa lepaskan pelukan, Qismina cium kedua-dua pipi ibunya bertalu-talu.

"Alhamdulillah, Mina."

Terlepas pelukan, Puan Rohaya memandang wajah Daniel yang sedang tersenyum kekok.

"Siapa pula ni?" Dia pandang wajah Daniel lama dan beralih pandangan pula pada wajah anaknya. Terangkat kening apabila membaca riak serba tidak kena di wajah Qismina.

"Boyfriend kak Mina."

Terbatuk Qismina. Mata terjegil memandang Mia.

"Boss Mina ni."

"Oh, bos. Mari masuk dalam." Terlambai tangan ke arah Daniel sebagai isyarat untuk maju ke ruang tamu.

Daniel hanya menuruti. Duduk di kerusi, matanya meliar memandang sekeliling. Ruang tamu yang tak besar namun agak selesa dengan perabot yang sangat minimal.

"Kamu berdua memang dari KL ke?" Duduk bertentang dengan Daniel, Encik Yassin bertanya. Qismina, Mia dan ibunya sudah menghilang ke dapur.

"Kami dari Sabah. Dari KLIA tadi terus ke sini."

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now