BAB 15

2.9K 108 4
                                    

Sejak tadi Qismina mengelak daripada bertembung dengan Daniel. Kata-kata lelaki itu malam tadi masih terngiang di telinganya. Perihal bibirnya yang bengkak dan lebam. Malu apabila hal itu terus bermain di fikiran.

Selesai sediakan sarapan pagi, dia hanya berkurung di dalam bilik walaupun, perut sudah berkerut minta diisi. Sudah beberapa kali ibunya memanggil untuk bersarapan bersama namun dia hanya batukan diri. Tak tahu bagaimana dia mahu berhadapan dengan Daniel. Hakikat yang dia mencabul seseorang walaupun jelas dia tidak ingat akan kejadian itu. Dan yang dicabul pula bosnya pula, si singa beku.

Tak akan dia nak nikah sebab aku cabul dia?

Qismina kerut dahi cuba berfikir secara logikal.

Betul ke hanya bibir dia yang aku gigit malam tu? Atau ada benda lain juga yang jadi mangsa mulut aku?

Qismina cepat-cepat geleng kepala. Ngeri mahu memikirkannya. Dan mulalah kepalanya jauh berfikir dan jauh membayangkan.

"Qismi."

Keras tubuh mendengar suara itu. Rasa nak pengsan atau perlu ke dia buat-buat pengsan saja?

"Qismi." Panggil Daniel lagi. Diketuk pula pintu bilik bertalu-talu. Dah serupa nak roboh pintu kayu itu.

Qismina bangun dan bergerak ke arah pintu. Tercengat di balik pintu sambil berkira sama ada mahu membuka pintu atau terus membiarkan Daniel mengetuk pintu tanpa henti.

"Qismi."

Sah tak reti bahasa si singa ni. Qismina rengus perlahan.

"Nak apa?" Qismina buka kecil saja daun pintu. Muat-muat saja untuk matanya mengintai. Mata pandang atas bawah tubuh Daniel.

"Sarapan. Mak ajak sarapan." Mendatar saja balasan Daniel. Muka pun tiada senyuman. Tenang saja riak wajahnya.

Qismina tidak menjawab, sebaliknya matanya memandang bibir Daniel. Lama matanya tertumpu pada dua ulas bibir pink itu.

Kenapa? Nak gigit bibir saya lagi ke? Sinis Daniel menyindir. Tersungging senyum di hujung bibirnya.

Terbuntang mata Qismina. Cepat-cepat dia tutup pintu semula. Malu sendiri. Inilah akibatnya kalau mata jenis derhaka dengan tuan sendiri.

"Baik awak keluar sarapan. Saya takut, kalau saya berdua dengan mak nanti saya terlepas cakap." Daniel sengaja mahu menyakat. Tahan diri daripada menghambur ketawa yang boleh didengari Qismina.

Pintu terkuak sedikit. Muka Qismina masam mencuka.

"Ugut ke?" Qismina ketap gigi.

Mana ada ugut, saya Cuma cakap yang saya takut terlepas cakap. Daniel tayang muka bersahaja.

"Samalah tu." Qismina sudah berdengus geram. Mahu tak mahu dia melangkah keluar. Laju mengaturkan kakinya ke arah dapur.

Qismina ambil tempat di sebelah ibunya di meja makan. Hanya ada ibunya di situ. Bapanya pagi-pagi sudah ke kedai mencari ikan buat lauk makan tengah hari nanti. Dua adik-beradik lelakinya sudah ke sekolah dan Mia pula ke kelas jahitan di kampung sebelah. Capai cekodok di depannya, mata mengerling Daniel yang sudah duduk bertentangan.

"Mak panggil berkali-kali ajak sarapan sama. Kalau nak lepat pisang ada dalam pengukus. Panas lagi tu."

Qismina sengih pandang ibunya. Rasa bersalah pula. Dia bukan apa. Hanya mahu mengelak daripada bertemu Daniel. Kalau tidak, sudah pagi-pagi lagi dia sudah tercongok di dapur, menjamu selera dengan sarapan yang dimasak ibunya. Tambahan pula ada lepat pisang kegemarannya. Sukar untuk mencari lepat pisang seperti buatan ibunya. Kebanyakan lepat pisang yang dijual di pasar pagi, berinti kosong, tidak seperti lepat pisang ibunya yang berintikan kelapa putih. Sedap. Lengkap rasa lemak, manis dan sedikit rasa masin pada inti kelapa itu.

"Mina tertidur mak. Sakit kepala sangat." Qismina urut-urut dahinya, untuk menampakkan lakonan untuk lebih nampak meyakinkan.

"Sakit kepala kenapa?" Puan Rohaya bertanya. Risau pula dia mendengarnya.

"Tak cukup tidur agaknya, mak. Banyak benda Mina fikir malam tadi." Kata-kata yang berbaur sindiran, lengkap dengan pakej jelingan ke arah Daniel yang tak sedar dirinya sedang disindir.

"Nanti lepas sarapan ni, makan ubat. Rehat sekejap. Nanti melarat sakitnya. Mak bukan tak tahu kakak tu kalau sakit kepala melarat sampai berhari-hari." Balas Puan Rohaya, dia cukup arif dengan kesihatan anak-anak. Dan cukup prihatin juga.

Qismina hanya mengangguk. Diangkat sedikit wajahnya memandang Daniel. Elok saja mata lelaki itu sedang menjamah wajahnya. Langsung tidak berkelip matanya.

"Apa tengok-tengok?" Hanya gerakan mulut tanpa suara Qismina ajukan soalan itu. Dia sedut nafas sedalam-dalamnya. Geram melihat senyum sumbing di bibir Daniel.

"Nanti saya bawa pergi klinik kalau sakit tu melarat." Daniel beri cadangan. Tak tahulah dia benar-benar ikhlas atau sengaja mahu menyindir.

"Eloklah tu." Puan Rohaya pula yang menjawab.

Qismina tarik muka lagi.

Daniel mencapai seketul cekodok dan sengaja mengunyah cekodok dalam gerakan perlahan. Sengaja diherotkan bibirnya untuk menarik perhatian Qismina.

Qismina pandang mulut Daniel yang sedang mengunyah itu. Jatuh pada hujung bibir yang sudah makin surut bengkaknya. Apabila teringatkan kata-kata lelaki itu malam tadi, makin tak senang duduknya.

Betul ke dia yang menyebabkan bibir itu pecah dan bengkak? Mencabul dan dicabul?

Qismina berdeham sendiri.

"Bibir kamu tu kenapa, Daniel. Makcik tengok teruk sangat." Puan Rohaya bertanya.

Ahh... sudah!

Terbatuk Qismina, dia toleh memandang ibunya di sebelah. Keras rasa tubuh menanti jawapan Daniel. Soalan yang memang mengundang sangat. Rasa nak lari masuk bilik semula.

Daniel orak senyum nipis. Mata tak putus memandang Qismina yang makin gelisah memandangnya. Dia sudah ketawa dalam hati.

"Tergigit makcik." Sengaja disentuh bibir dengan hujung jarinya.

Hampir tersembur cekodok di dalam mulut. Qismina pandang tajam muka selamba Daniel. Dahi sudah berpeluh.

"Tergigit ke ada yang gigit?"

Laju Qismina pandang wajah ibunya.

Soalan apa ni mak?

Muka Qismina sudah merah membahang. Tertunduk dia memandang pinggan cekodok. Rasa macam nak menyorok bawah meja pun ada.

"Saya yang tergigit. Siapa pula yang nak gigit saya makcik." Daniel sengih sambil mata memandang Qismina yang sudah gigit-gigit kuku jarinya. Nampak sangat dia mula gelisah takut ada rahsia bakal terbongkar.

"Teruk sangat tergigit sampai macam tu." Puan Rohaya menggeleng.

"Itulah makcik. Terganas sampai tergigit bibir."

Ternaik mata Qismina memandang Daniel. Panahan tajam dilontar tepat ke mata lelaki tu. Geram benar dia mendengar perkataan ganas itu. Memang mengundang sangat. Takut terlepas cakap, boleh masak dia pagi-pagi ni.

"Nanti isi ubat." Puan Rohaya bersuara dalam nada prihatin.

Mata Daniel masih tertancap di wajah cuak Qismina. Dia jongket kening kiri dengan senyum senget.

"Elok sendiri nanti. Lagipun, biar lama sikit dia baik. Kalau tak orang tak tahu." Selamba saja kata-kata itu yang terluncur di bibir Daniel. Dan sah-sah kata-kata itu dituju pada Qismina di hadapannya.

Terjegil mata Qismina dan tak sedar kaki sudah menyepak kaki Daniel di bawah meja.

CINTA BERBUNGA DUSTA (TERBIT) Where stories live. Discover now