Part 9

231 25 3
                                    

“AKAK bersiap macam ni aje ke?” tanya Elia bila melihat penampilan bersahaja Wanira.

Wanira tersenyum. “Ya, El. Simple tu penuh kesederhanaan dan elok dipandang.”

Elia mengangguk. “Okey, tapi El nak akak bermekap juga.”

“Perlu ke? Bukan jumpa bakal mertua pun.” Wanira berseloroh sambil tersengih.

“Kalau bakal mertua pun apa salahnya, kak,” kata Elia.

“Ada-ada aje kau ni, El. Dahlah, jom gerak.” Wanira sudah menapak langkah menuju ke arah pintu. Malas nak layan gurauan Elia. Sampai masuk babak bakal mertua pun menjadi bahan usikannya. Kalau dilayan, sehingga esok pun tak habis.

Elia tersengih. Dia mengejar Wanira yang sudah bergerak ke muka pintu. Sebaik sahaja Elia menarik pintu kereta, Wanira turut melakukan perbuatan yang sama. Elia mempunyai kereta sendiri, jadi tidak susah bagi mereka untuk pergi ke mana-mana.

“Iz tahu ke kita diundang dinner dengan family dia ni, El? Karang tak pasal-pasal kena halau pula?” Wanira bersuara setelah mereka berada di pertengahan lebuhraya.

“Rasanya tak tahu, kak. Kan Mak Long nak kenakan Abang Iz?” jawab Elia sambil tersenyum. “Sanggup ke Abang Iz halau akak?”

“Kita tak tahu hati orang, El. Iz tu bos akak. Akak banyak terhutang budi dengan dia. Akak rasa serba salah bila mak Iz tu nak kenakan Iz. Tak baik tu,” kata Wanira.

“Akak rasa serba salah sebab akak cintakan Abang Iz, kan?” teka Elia.

“Iz tu kawan akak. Memanglah akak serba salah bila tahu mak Iz nak kenakan Iz. Mengarut aje El ni kata cinta bagai. Sampai ke situ pula..” bebel Wanira.

Elia tersengih lagi. Dia pun tak mahu panjangkan cerita pasal Izwan. Padanya, Wanira memang calon yang sesuai untuk menjadi teman wanita Izwan, namun dia tahu Wanira ada hak untuk memilih. Dia doakan Wanira bertemu jodoh dengan seseorang yang sempurna budi pekertinya.

Mereka telah melewati pekarangan rumah mewah keluarga Izwan. Tidak terasa jauhnya perjalanan. Mungkin kerana rancak dengan perbualan tadi.

“Inilah rumah keluarga Abang Iz, kak,” beritahu Elia apabila Elia berjaya memarkirkan kenderaan.

Wanira mengangguk. Dia mengikuti Elia yang sudah mula menuruni perut kereta. Langkah Elia yang mula menapak ke arah pintu rumah mewah keluarga Izwan disusuli. Salam yang bersambut melegakan hati Wanira. Datin Izmah yang muncul dimuka pintu menerima kedatangan mereka.

Setiba di dalam rumah, Izlyn dan Izara pula yang menyambut kedatangan mereka dan Datin Izmah bergegas ke dapur.

“Izlyn.. Kakak Iz.” Tangan dihulurkan ke arah Wanira saat memperkenalkan diri. Senyuman manis terukir di bibir.

Wanira mengangguk sambil tersenyum. “Hari tu dah sempat kenal tapi, ingatkan wife Iz.”

Izlyn tertawa kecil. “Iz tu suka sangat bergurau. Ada la hal yang nak disakatnya tu.”

“Abang Iz mana, kak?” celah Elia.

“Abang Iz keluar bermain golf dengan Pak Long. Petang sikit baru balik,” jawab Izlyn.

Perbualan mereka terhenti seketika kerana masing-masing melabuhkan punggung di atas sofa empuk. Apabila Elia dan Izlyn mula bersembang, Izara melangkah dan duduk bersebelahan dengan Wanira. Wanira tersenyum memandang anak kecil itu.

“Zara dah lama tak jumpa Auntie.” Izara bersuara sambil memaut lengan Wanira.

“Kita dah jumpa juga sekarang ni, kan? Zara cakap, Zara nak Auntie tolong apa dekat Zara?” balas Wanira ramah.

Cinta Style Dia. Where stories live. Discover now