PROLOG

600 11 0
                                    

SESEKALI Ryan membelek telefon bimbit. Membaca dan membalas setiap e-mel yang diterima daripada pelanggannya.

Suasana pagi di Restoran Nadi Kota itu agak sibuk. Ramai pelanggan berpusu-pusu keluar dan masuk untuk bersarapan sebelum memulakan kerja hakiki. Sesekali matanya melilau ke kiri dan kanan memandang ragam setiap pelanggan yang makan di restoran tersebut.

Seketika, suasana di dalam restoran kedengaran hingar-bingar. Ryan tidak kisah pun suasana yang riuh-rendah sebegitu. Sedikit pun tidak mengganggu konsentrasi kerjanya.

Spontan Ryan membuang pandangan ke arah seberang jalan. Kelihatan seorang gadis sedang berjalan berseorangan. Langkah gadis itu longlai dan seperti tiada arah tuju.

Zarina!

Bahu gadis itu terhinggut-hinggut seperti sedang menangis. Pinggan roti canai yang telah kosong ditolak ke tepi. Hatinya bagaikan terpanggil untuk menegur. Pantas dicapai kunci kereta dan telefon bimbit di atas meja.

Segera dia berjalan ke arah kaunter untuk membayar harga makanannya. Sempat dia membeli sebotol air mineral untuk dihulurkan buat gadis itu.

Semakin hampir langkahnya ke arah gadis tersebut, hatinya semakin berdebar tak semena-mena. Sungguh dia tidak mengerti dengan debaran di dada yang kian menggila itu.

Baru saja dia hendak menegur, tiba-tiba telinga menangkap bunyi hon yang bertalu-talu. Sebuah lori ais meluncur laju ke arah Zarina. Pantas Ryan menarik pergelangan tangan gadis tersebut. Berpusing tubuh Zarina dibuatnya.

Zarina hilang keseimbangan hinggakan dia terjatuh lantas tanpa sengaja menghempap tubuh si jejaka. Lelaki itu mengerang kesakitan saat sikunya terseret di atas jalan tar.

Bagaikan tersedar daripada lamunan yang panjang, Zarina segera bangkit lantas duduk bersila. Dia mengerling sekilas pada wajah insan yang telah menyelamatkan nyawanya itu.

"Ryan?"

Berkerut dahi Zarina saat melihat wajah lelaki itu. Seingatnya ibu bapanya pernah mengenalkan dia kepada lelaki tersebut semasa ibunya terlibat di dalam kes ragut. Kerana itulah dia tahu nama si jejaka.

Tapi perhubungan mereka tidaklah terlalu rapat. Kerana setelah pertemuan tanpa sengaja itu, mereka sudah tidak lagi berjumpa. Namun Zarina tahu dalam diam, ibu dan bapanya selalu saja meluang masa bersama lelaki ini.

Balas budi kerana menyelamatkan ibunya. Mungkin.

Ryan memanggung kepala, memandang Zarina. Terasa seakan bermimpi saja dapat melihat wajah itu sedekat ini.

Ryan telah mula terpaut hati terhadap gadis ini setelah diperkenalkan oleh ibu Zarina dengannya. Jujur, dia tidak pernah menyangka dia akan terjatuh cinta tanpa diduga kepada Zarina. Namun dia terpaksa melupakan perasaannya itu.

Kerana saat itu Zarina telah dimiliki dan menjadi tunangan orang.

"Rina, awak okey? Kenapa awak jalan seorang?" tanya Ryan prihatin.

Ryan menggagahkan diri untuk duduk. Badannya sudah terasa sengal-sengal.

Zarina melihat siku Ryan yang mengalir darah likat. Kepalanya terasa berpusing tiba-tiba. Dan tak semena-mena dia rebah di sisi Ryan.

Mujurlah Ryan sempat menyambut tubuh itu. Penutup air botol mineral yang dibeli tadi, Ryan buka dengan cermat. Lantas Ryan merenjis sedikit air ke wajah Zarina.

Bebola mata Zarina kelihatan bergerak-gerak. Tidak lama kemudian, dia mencelikkan matanya. Tangan memicit kepala yang terasa berdenyut-denyut.

Saat tersedar dia berada di dalam dakapan Ryan, segera dia menjauhkan jarak antara mereka. Riak sayu jelas memeta wajah Zarina.

"Kenapa?"

"Kenapa apa?"

"Selamatkan saya? Kenapa awak tak biarkan saja saya tadi? Kenapa awak perlu jadi hero untuk selamatkan saya Ryan?"

"Hargai diri awak Rina. Masih ramai yang sayangkan awak dan perlukan awak. Jangan guna jalan singkat, hanya kerana awak kehilangan seseorang yang awak sayang."

Zarina terkesima. Terkebil-kebil matanya merenung wajah Ryan di sisi. Dia pantas bangun daripada duduknya, diikuti Ryan. Tajam matanya memandang anak mata Ryan sebelum berlalu meninggalkan lelaki itu.

Ryan memandang figura Zarina hingga hilang daripada pandangan. Jantungnya sudah berdetak kencang. Apatah lagi saat melihat jelingan Zarina. Jauh di sudut hati dia berharap agar akan ada lagi pertemuan dan pertemuan antara mereka. 

WANITA TERBAHAGIAWhere stories live. Discover now