"WALAU dah berkali-kali awak cakap, tapi tetap nak tanya. Kenapa awak nak kahwin dengan saya Ryan? Awak sebenarnya terpaksa atas desakan papa kan?" soal Zarina bertubi-tubi.
Dia merenung wajah Ryan yang tampak tenang itu. Ketenangan itu membunuh jiwanya. Mengapa? Mengapa dia tidak boleh setenang Ryan? Kenapa hatinya tidak sudah-sudah dicengkam hiba?
Ya Allah, sukarnya untuk menerima hakikat bahawa dia kini sudahpun selamat menjadi isteri kepada lelaki yang tidak dicintai.
"Ryan... jawablah. Awak pekak ke? Saja nak buat saya marah."
Zarina menyoal lagi. Kali ini suaranya dikuatkan sedikit.
Ryan memandang Zarina sekilas. Dia bangkit daripada perbaringan. Matanya baru saja hendak terlelap saat mendengar pertanyaan Zarina. Namun, digagahkan juga dirinya untuk menjawab soalan itu.
"Tak ada siapa yang paksa abang kahwin dengan sayang. Tolong jangan persoalkan keikhlasan hati abang. Abang dah cakap kan. Abang sukakan sayang sejak mama kenalkan sayang pada abang."
Zarina mencebir bibir. Tidak berpuas hati.
"Saya rasa ada perkara yang awak sembunyikan daripada saya," provok Zarina.
Ryan tersenyum nipis. Kepala digeleng beberapa kali.
"Abang tak ada sembunyikan apa-apa pun daripada sayang. Abang hanya percaya pada takdir. Allah temukan kita secara kebetulan hingga terdetik perasaan cinta terhadap sayang."
Zarina melepaskan keluhan entah untuk kali ke berapa. Dia menemui jalan buntu untuk membuat Ryan berputus asa dengan dirinya.
"Sampai sekarang saya masih teringatkan Daniel. Tak mudah untuk saya lepaskan dia daripada relung hati saya. Awak faham kan perasaan saya?"
Ryan tersenyum segaris. Dia tahu, gadis itu sengaja berkata demikian. Tapi sudah prinsipnya, takkan mengalah sebelum berjuang. Dia akan terus mempertahankan rumah tangga yang terbina kerana Allah. Insya-Allah.
"Sayang nak ingat Daniel, ingatlah. Abang tak halang. Tapi abang takkan putus asa. Abang percaya, suatu hari nanti sayang akan sukakan abang. Dan sebenarnya, salah satu sebab abang kahwin dengan sayang kerana sayang adalah jodoh istikharah abang."
Jawapan Ryan itu mengundang tawa Zarina. Terasa lucu dengan ayat lelaki itu.
"Jodoh istikharah? Huh! Karut."
"Abang tak tipu. Dari hari abang selamatkan mama tu, hati abang dah terpaut pada sayang. Tapi sayangnya, abang terlambat. Masa tu sayang dah bertunang. So, abang move on la. Sampailah papa call ajak abang jumpa dan suarakan hasrat untuk abang jadi pengganti arwah Daniel."
Ryan menutup mulut menahan kantuk. Setelah itu, dia kembali meneruskan kata-katanya.
"Masa tu juga abang buat solat istikharah. Dan hampir setiap malam abang dapat petunjuk. Wajah sayang hadir dalam mimpi abang. Terpulanglah sayang nak percaya ke tidak. Abang tidur dulu ya. Mengantuk sangat dah ni. Assalamualaikum bidadariku."
Zarina menjawab salam itu dalam hati. Tergamam apabila perkataan bidadariku diucapkan Ryan. Sukar untuk dia mentafsirkan perasaannya.
Dalam pada tidak suka, entah mengapa terselit perasaan berbunga saat perkataan bidadariku terngiang di halwa telinga. Haisy, dah kenapa pula dengannya?
Zarina melepaskan keluhan berat. Seberat bebanan yang tergalas di bahunya.
Dia cuba mengintai wajah Ryan yang sudah terlena itu. Dalam tidur pun wajah lelaki itu tetap nampak tenang. Dia cuba melelapkan mata. Namun, entah mengapa matanya sukar dipejam. Kata-kata Ryan sebentar tadi terngiang-ngiang di telinga.
"Jodoh istikharah? Betul ke apa yang Ryan cakapkan tadi? Atau dia saja nak mainkan perasaan aku?"
Zarina mengerling Ryan yang sedang menggigil kesejukan. Tidak sampai hati pula dia melihat Ryan tidur tanpa selimut dalam dinginnya pendingin hawa ini. Pantas dia menuruni katil. Perlahan-lahan dia mengatur langkah menuju ke almari.
Dengan penuh berhati-hati dia membuka pintu almari. Dia mencapai comforter berwarna kuning cair lantas dia selubungkan tubuh Ryan dari hujung kaki hingga ke paras dada.
Setelah itu dia kembali membaringkan tubuh di atas katil. Matanya tidak lepas daripada memandang Ryan yang sedang tidur sambil beralaskan toto di atas lantai.
Maafkan saya, Ryan. Saya perlukan masa untuk terima semua perkara yang berlaku sekarang ni, desis Zarina dalam hati. Dia mengiring ke kanan. Memandang wajah Ryan dan berharap agar ini semua hanyalah mimpi.
"ARGHHH!" jerit Zarina dengan sekuat hatinya.
Pantas dia menyelak comforter yang membaluti tubuhnya dan Ryan.
Fuh! Nafas lega dilepaskan saat pakaian masih melekat elok di tubuh.
Berkerut keningnya memikirkan bagaimana dia boleh tidur bersama Ryan di atas lantai. Sedangkan sebelum terlelap semalam, dia berada di atas katil. Musykil ni.
Ryan memisat-misatkan mata apabila mendengar suara jeritan. Tangannya terasa lenguh kerana menjadi alas kepala Zarina.
Melihat Ryan yang sudah mula bergerak, Zarina segera bangkit daripada perbaringan. Wajah Ryan dipandang tajam.
"Apa awak buat dekat saya? Awak nak cabul saya eh?" selar Zarina geram.
"What? Merepek apa ni? Sayang yang turun dari katil dan tidur sebelah abang. Sekarang sayang tuduh abang nak cabul sayang? Kelakarlah sayang ni. Ni... tangan abang ni sampai lenguh sebab jadi bantal sayang tahu?" tutur Ryan lantas menunjukkan tangan kanannya.
Dia menggeliat membetulkan urat belikat.
Zarina menggeleng kepala tanda tidak percaya.
"Tipulah. Macam mana saya boleh tidur dengan awak pula? Sedangkan semalam..."
"Semalam apa? Tak baik tuduh abang bukan-bukan tahu. Sekarang ni bukan abang yang cabul sayang. Sayang yang cabul abang adalah. Siap peluk abang kuat-kuat macam tak nak lepas pula tu," usik Ryan sambil tersenyum nakal.
Membulat besar mata Zarina. Ish! Ryan ni sesuka hati tuduh dia mengambil kesempatan. Aku? Nak cabul dia? Memang taklah, kutuk Zarina dalam hati.
"Apa awak cakap ni? Mana ada sa... saya peluk awak. Baik awak cakap dekat saya, awak ada buat apa-apa ke pada saya semalam? Awak ada ambil kesempatan ke atas saya ke? Hah? Jawab!"
"Tak ada apa-apa pun yang berlaku semalam. Jangan risaulah. Abang takkan buat sesuatu yang sayang tak suka. Sayang tidur dengan abang semalam, sebab sayang kata takut dengan bunyi guruh. Semalam hujan lebat sangat. Sayang lupa ke?"
Melopong mulut Zarina mendengar jawapan Ryan itu.
Guruh? Ish! Betul ke apa yang Ryan cakap? Tapi, tak mungkinlah Ryan mereka cerita pula kan?
Zarina memang fobia dengan bunyi guruh. Ketika dia mengikuti aktiviti hiking di Bukit Seladang di daerah Jerantut, dia tertinggal jauh ke belakang dan terpisah daripada team hiking.
Dia tersesat di dalam hutan dan berseorangan selama beberapa jam. Ketika itu, hujan lebat disertai kilat dan guruh. Kerana itulah dia menjadi takut saat mendengar bunyi guruh. Dia akan kembali teringatkan peristiwa tersebut.
"Sayang, are you okay?"
Ryan bangkit daripada perbaringan, lantas bersila menghadap Zarina.
"Ha? Err... saya nak pergi mandi. Nak solat."
"Okey."
Ryan memandang figura Zarina sehingga hilang daripada pandangan. Segera dia mengemas tempat tidur. Toto dilipat kemas lantas dia menyimpannya kembali di dalam almari.
Dia tersenyum saat mengingatkan Zarina yang menyelimutkan dirinya dengan comforter. Daripada tingkah laku Zarina semalam, dia membuat satu kesimpulan. Hati Zarina tidaklah sekeras yang dia selalu dengar daripada ayah mentuanya.
Semoga ada sinar bahagia buat dirinya dan Zarina. Hanya itu satu-satunya permintaan Ryan.
YOU ARE READING
WANITA TERBAHAGIA
RomanceTajuk: WANITA TERBAHAGIA Penulis: NUREEN AHMAD Harga: RM23 / RM26 Arahan Encik Yusuf yang mahukan dia meneruskan perkahwinan yang telah dirancang, menjerat diri Zarina. Sudah berbuih mulut menolak cadangan papanya, namun satu apa pun tak jalan. "Bi...