"SELAMAT pagi mama," sapa Ryan ceria.
Sempat Ryan memandang bahan-bahan yang berada di atas meja. Dengan segera dia mencapai pisau dan papan pemotong. Setelah itu dia menghiris nipis bawang merah dan bawang putih. Kemudian dia memotong pula sayur sawi.
Usai, dia membawa sayur yang telah dipotong ke singki. Tangannya lincah membuat kerja kerana sudah terbiasa memasak semasa duduk di rumah sewa.
Puan Zulaikha tersenyum bangga melihat ketangkasan Ryan dalam membuat kerja dapur. Hendak harapkan anaknya itu, dalam mimpi sajalah. Satu kerja dapur pun Zarina tak tahu buat. Hanya satu kepakaran Zarina iaitu membancuh air kopi.
"Selamat pagi Ryan. Awal kamu bangun. Mana Rina?" soal Puan Zulaikha seraya memanjangkan leher mencari kelibat anaknya.
Ish! Anak dara nan seorang itu memang liat hendak bangun pagi. Tak semenggah sungguh. Haih! Buat malu saja dengan menantunya itu.
Ryan menyimpul senyum. Bukan dia tidak kejutkan Zarina tadi. Sudah berkali-kali dia mengajak Zarina turun ke dapur, namun Zarina tetap membuta. Akhirnya, dia mengalah dengan kedegilan Zarina.
"Ada kat atas tu. Lepas solat subuh tadi dia tidur semula. Ada nak tolong apa-apa lagi tak?"
"Sabar sajalah dengan Rina tu ya Ryan. Dia tu memang susah nak bangun pagi. Kalau bangun pun, sekadar solat. Lepas tu, buat tahi mata semula. Daripada sebelum kahwin, sampai dah jadi bini orang pun sikap dia masih sama. Tak berubah langsung," omel Puan Zulaikha, geram dengan sikap anak tunggalnya itu.
"Tak apalah mama. Ryan kan ada. Ryan pun boleh tolong mama masak," pujuk Ryan lantas melorek senyuman manis.
"Untung mama dapat menantu yang ringan tulang. Bukan macam anak mama tu. Bila suruh masak, macam-macam alasan dia bagi. Pernah satu hari tu Rina masak ayam paprik. Nak tahu apa yang jadi dengan ayam paprik tu?"
"Ermm... mesti sedap kan?"
"Salah! Masakan dia hangit. Langsung tak boleh nak makan. Sudahnya, buang dalam tong sampah."
Puan Zulaikha tertawa di hujung katanya. Kelakar bila diingat kembali masakan Zarina yang tidak menjadi itu. Sampai rentung dibuatnya. Nasiblah dapurnya tidak terbakar.
Ryan tertawa kecil mendengar cerita Puan Zulaikha itu. Nampaknya masih banyak tentang Zarina yang dia tak tahu. Tak apalah, masa masih panjang. Selepas ini dia akan mengorek rahsia Zarina daripada orang-orang terdekat.
Misi memikat hati isteri bermula dari sekarang.
"Soal tu, mama jangan risau. Sebab lepas ni, Ryan sendiri yang akan ajar dia memasak. Ryan ni setakat masak biasa-biasa tu boleh la. Tak adalah pandai sangat. Kita sama-sama ajar dia ya mama. Kalau Rina tak mahu belajar masak dengan Ryan, yalah in case Rina malu nak belajar dengan Ryan, mama pun boleh ajar Rina memasak."
"Dah puas mama membebel dekat Rina. Tapi, masuk angin keluar asap. Rina tu, degilnya ya ampun. Tak boleh dibawa berbincang. Keras kepala sangat-sangat," adu Puan Zulaikha.
Sesekali dia menoleh ke belakang. Manalah tahu perbualannya itu didengar oleh si anak. Sudahlah Zarina cepat terasa. Selain sikapnya yang degil, dia juga sangat cepat sentap. Kata orang sekarang. Haih!
"Rina tu sebenarnya kalau kena dengan cara, dia akan dengar nasihat kita. Dia tak adalah degil mana pun mama."
"Mama dah tak tahu nak cakap apa. Tapi mama harap kamu dapat melenturkan kedegilan dan keegoannya. Kamu belajarlah untuk ambil hati dia ya. Semoga kamu berdua bahagia. Semoga mama cepat dapat timang cucu. Eh, kamu tolong masakkan bihun goreng. Mama nak ke tandas sekejap. Sakit perut pula tiba-tiba."
Ryan mula mengambil alih tugas Puan Zulaikha. Dengan penuh semangat, dia memulakan tugas yang diamanahkan ibu mentuanya.
Jauh di sudut hati, dia bersyukur dikurniakan mentua yang sangat baik hati. Tidak lokek dengan kasih sayang. Malah, dia dianggap seperti anak sendiri. Tiada istilah anak menantu dalam kamus hidup Encik Yusuf dan Puan Zulaikha.
Sungguh, menikahi Zarina dan menjadi sebahagian daripada keluarga kecil ini mengurniakan seribu rahmat kepadanya. Akhirnya, setelah menempuh hidup bertahun-tahun tanpa ibu bapa, kini dia kembali merasai kasih sayang seorang ibu dan bapa. Lafaz syukur tidak henti-henti beralun dalam hati.
ENCIK YUSUF mengerling Zarina dengan ekor mata. Semenjak dia mengatakan hasrat untuk meneruskan pernikahan Zarina, anaknya terus menunjukkan sikap protes terhadapnya. Malah, Zarina juga turut melancarkan mogok suara.
Hatinya sedih dengan layanan dingin Zarina terhadapnya. Sepatah ditanya, sepatah jugalah anaknya menjawab. Salahkah tindakannya mengahwinkan Zarina dengan Ryan? Keterlaluankah dia untuk melihat wajah bahagia si anak?
Lagipun, dia percayakan Ryan. Dia tahu lelaki itu mampu menjaga Zarina dengan baik. Dapat dia lihat dengan jelas sinar cinta yang terpancar di mata Ryan saat lelaki itu menatap wajah anaknya.
Encik Yusuf melepaskan keluhan berat.
Zarina yang mendengar derap langkah kaki, cepat-cepat menoleh ke belakang. Kejung seketika tubuhnya apabila melihat insan yang berdiri di belakangnya itu. Sedikit kekok dirinya saat dan ketika ini.
Sejujurnya dia sangat merindui papanya. Namun, kerana egonya yang tinggi melangit, dia cekalkan hati. Walhal dalam hati sudah merintih hiba kerana perasaan bersalah atas layanan dinginnya terhadap papa.
Zarina menarik nafas dalam-dalam lantas menarik tangan Encik Yusuf. Encik Yusuf menoleh sekilas ke arah Zarina sebelum melabuhkan punggung di sisi si anak. Buat seketika, mereka berdiam diri. Melayani perasaan masing-masing.
Zarina memandang pokok-pokok bunga mama yang menghiasi laman rumah. Dia menarik nafas lalu dihela perlahan.
"Rina minta maaf."
"Maafkan papa."
Serentak Zarina dan Encik Yusuf bersuara. Setelah itu, mereka tertawa ceria.
Tanpa membuang masa, Zarina mendakap erat tubuh Encik Yusuf. Sesekali dia mengucup pipi kiri dan kanan Encik Yusuf.
"Rina minta maaf sebab abaikan papa. Rina tak ada niat nak derhaka dengan papa. Cuma..."
"Papa faham, sayang. Papa tak sepatutnya paksa kamu terima Ryan. Tapi sayang, percayalah. Papa cuma nak yang terbaik untuk anak papa."
Encik Yusuf mencaras kata-kata Zarina.
Zarina meleraikan pelukan. Tangannya dilekapkan pada wajah Encik Yusuf.
Encik Yusuf mengusap lembut kepala Zarina. Dalam hati dia berharap agar anaknya itu akan membuka pintu hatinya untuk menerima Ryan sebagai suami.
"Rina, apa yang berlaku dalam kehidupan kita dah ditakdirkan oleh-Nya. Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Yang penting, jangan putus bergantung harap kepada Dia. Dan jangan letakkan cinta kamu terhadap manusia melebihi cinta terhadap-Nya. Kelak nanti, kamu yang akan kecewa. Faham kan maksud papa?"
Terkebil-kebil mata Zarina mendengar kata-kata yang berunsur nasihat itu.
Benarlah kata papa. Selama ini dia meletakkan cintanya terhadap Daniel melebihi cintanya terhadap Ilahi. Kerana itu dia merasa cukup tertekan untuk meneruskan hidup tanpa Daniel di sisi.
Astaghfirullah al-azim. Ampunkanlah hamba-Muyang kerdil lagi hina ini ya Rabb.
YOU ARE READING
WANITA TERBAHAGIA
RomanceTajuk: WANITA TERBAHAGIA Penulis: NUREEN AHMAD Harga: RM23 / RM26 Arahan Encik Yusuf yang mahukan dia meneruskan perkahwinan yang telah dirancang, menjerat diri Zarina. Sudah berbuih mulut menolak cadangan papanya, namun satu apa pun tak jalan. "Bi...