BERKERUT dahi Zarina apabila melihat Ryan membantu Puan Zulaikha bercucuk tanam. Lelaki itu masih tidak perasan dengan kehadirannya di situ. Zarina mengambil kesempatan itu untuk memerhatikan wajah Ryan.
Entah mengapa, hatinya bergetar hebat tatkala merenung wajah Ryan yang dibasahi peluh itu. Meskipun lelaki itu sudah berpeluh sakan, namun tetap saja terserlah kekacakannya.
Ya Allah, jauhnya pemikiran aku. Kenapa aku rasa macam ni ya? Aku dah mula sukakan Ryan ke?
Ah! Karut. Tak mungkin aku sukakan Ryan. Aku masih sayangkan Daniel. Only him! Hati Zarina saling bertingkah.
Bayangan wajah Ryan dan Daniel terlayar di ruang matanya silih berganti. Sungguh Zarina tidak mengerti mengapa dia berperasaan begini.
Kerana Ryan, dia bermasam muka dengan papa. Nasib baik sekarang dia dan Encik Yusuf sudah berdamai. Kalau tidak, semakin dinginlah dia dengan lelaki itu.
Namun dalam kata dia membenci, mengapa hadir debaran setiap kali dia memandang wajah Ryan?
Ah! Sungguh dia tidak faham dengan dirinya sendiri.
Ryan yang terasa seperti diperhatikan segera menoleh ke belakang. Dia mengukir senyuman mesra lantas mengayun langkah ke arah Zarina.
Gadis itu kelihatan sedang termenung jauh. Entah apa yang mengganggu fikiran isterinya itu sehingga berkerut-kerut keningnya.
"Jauh termenung. Ingatkan siapa? Abang ada depan mata sayang pun nak termenung juga eh?" sakat Ryan, ketawa kecil apabila Zarina menjegilkan mata kepadanya.
"Rajin betul awak layan kerenah mama. Kalau saya, malas nak tanam bunga bagai ni. Leceh."
Ryan tersenyum lebar. Tadi Puan Zulaikha ada juga merungut tentang Zarina yang berat tulang untuk membantunya bercucuk tanam. Usah kata hendak membantu, nak minta tolong siramkan pokok bunga pun, ada saja alasannya.
Katanya tak minatlah, apalah. Namun apabila diugut tidak mahu memasak, barulah Zarina meringankan tulang membantu. Kalau tidak, jangan mimpilah Zarina hendak menurut kata.
"Bukan sebab rajin, sayang. Tapi ini soal tanggungjawab. Walaupun abang ni hanyalah menantu, tapi ini juga salah satu tanggungjawab abang untuk membahagiakan keluarga. Sebenarnya, aktiviti macam nilah yang boleh mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak."
Terkulat-kulat Zarina mendengar kata-kata Ryan. Dia ni nak perli aku ke? bisiknya dalam hati.
"Mama cerita apa dekat awak? Mesti mama ada kutuk saya kan?"
Ryan tersenyum seraya menggeleng kepala.
"Mana ada. Tak baik buruk sangka tau. Dah lama ke sayang duduk dekat sini sambil perhatikan abang? Tu air untuk abang ke? Tiba-tiba pula tekak rasa haus. Panas-panas ni best juga kalau dapat minum air. Lagi-lagi air sejuk," tutur Ryan saat terlihat dua cawan muk di atas lantai gazebo.
"Eh dia ni, perasan betul. Bila masa entah saya pandang awak. Ermm, air ni memang untuk awak dengan mama. Tapi saya nak minta maaflah sebab awak terpaksa kahwin dengan perempuan macam saya. Nak masak tak pandai. Masak mi segera pun tak pas. Yang saya reti, cuma bancuh air kopi saja. Ni ada biskut. Awak makan la biskut cicah air kopi ya. Nak buat kuih-muih, bukan kepakaran saya."
"Kenapa cakap macam tu? Abang tak pernah rasa terpaksa pun. Soal tak pandai masak tu tolak tepi dulu. Benda boleh belajar kan? Buat apa pening kepala nak fikir? Sekarang ni abang nak rasa air kopi yang sayang bancuh. Mesti sedap kan?"
Zarina mencemik. Tanpa pamitan, dia berlalu masuk ke dalam rumah.
Zarina mengintai reaksi Ryan dari sebalik langsir. Jantungnya berdebar-debar menanti respons Ryan. Pelbagai andaian bermain di minda. Apakah Ryan menyukai air yang dia bancuh? Adakah Ryan minum air kopi itu kerana terpaksa?
YOU ARE READING
WANITA TERBAHAGIA
RomanceTajuk: WANITA TERBAHAGIA Penulis: NUREEN AHMAD Harga: RM23 / RM26 Arahan Encik Yusuf yang mahukan dia meneruskan perkahwinan yang telah dirancang, menjerat diri Zarina. Sudah berbuih mulut menolak cadangan papanya, namun satu apa pun tak jalan. "Bi...