"KAU okey? Ada apa-apa masalah nak share dengan aku? Jangan pendamkan seorang. Kelak akan membuatkan jiwa kacau," pujuk Athirah, sahabat baik merangkap bakal adik ipar tidak jadi Zarina.
"Aku peliklah dengan Ryan."
"Kenapa kau cakap macam tu? Apa yang peliknya? Aku tengok dia biasa je. Sama je macam orang lain. Ada mata, ada dua lubang hidung dan sepasang mulut. Tak ada cacat cela pun."
Laju Athirah memberi jawapan.
Zarina memutar bebola mata ke atas. Sakit pula hati bercakap dengan sahabat nan seorang ini.
"Kau jangan buat lawak antarabangsa boleh tak? Ish!"
Athirah menyeringai. Pantas dia menyatukan kedua-dua belah telapak tangannya tanda memohon maaf.
"Ceritalah dekat aku. Apa yang kau hairan sangat dengan Ryan tu? Eh, tapi kan... Aku ada satu pendapat la tentang Ryan."
Zarina menarik nafas dalam-dalam. Buat masa sekarang, dia tidak mahu mendengar pendapat Athirah itu.
Pagi tadi dia menerima WhatsApp daripada Rosliza. Ada ke patut Rosliza katakan dia dan Ryan serasi bersama? Euuw! Aneh-aneh saja. Baru berjumpa sekali sudah pandai membuat andaian.
"Macam ni Athi. Sebelum kita ke kedai printing tu, aku ada tanya fasal keluarga Ryan. Yalah, aku tengok dia beria-ia untuk selesaikan semua benda. Semuanya dia buat seorang. Aku jadi peliklah. Mana ahli keluarga dia. Takkanlah sibuk dengan kerja kan?"
"Dah tu, dia jawab tak? Kau janganlah fikir sangat. Husnuzon beb."
"Dia tu misteri betul," komen Zarina, pantas menyedut iced lemon teanya sehingga habis.
Baginya, lelaki itu penuh dengan misteri.
"Kau rasa keputusan papa ni yang terbaik untuk aku ke?"
Tiba-tiba saja terpacul soalan itu dari mulut Zarina. Sukar untuk dia tafsir hatinya. Dalam pada dia tidak suka akan Ryan, entah mengapa bayangan wajah lelaki itu sentiasa terlayar di minda. Telinganya juga bagai terngiang-ngiang tutur kata lelaki itu yang penuh sopan.
Sungguh dia tidak mengerti perasaannya kini.
"Beb, aku tak ada jawapan untuk soalan kau tu. Tapi, ini pendapat aku saja. Kau jangan nak melenting pula."
Zarina mengangguk, memberi isyarat tangan untuk Athirah meneruskan bicaranya.
"Bagi aku, Ryan tu ada ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita. Aku perhati je bila kau marah dia, dia stay dengan sikap dia yang cool, and relax tu. Tak ada pun nak melenting kat kau semula."
Zarina hanya jeda.
"Kau perasan sesuatu tak?"
Zarina menjongket kening berulang kali.
"Walau dingin macam mana sekalipun layanan kau pada Ryan, dia tetap tenang. Zaman sekarang ni, nak cari lelaki yang cool macam Ryan tu susah Rina."
Athirah melihat reaksi Zarina. Dia menyungging senyum. Mulut Zarina terkumat-kamit seperti sedang mengata dirinya saja. Dia kenal sangatlah si sahabat.
"Memang aku baru kenal Ryan beb. Kenal sikap Ryan. Tapi aku rasa macam dah kenal dia lama. Tak salah kalau aku cakap, keputusan uncle tu adalah yang terbaik."
Zarina mencemik. Terbaik celah mana pun dia tak tahulah.
"Tak salah kau cakap Athi? Athi, kau sedar tak? Abang kau baru je meninggal. Kau bercakap seolah-olah tak ada perasaan. Kau tak sayangkan arwah ke?"
Suara Zarina mula meninggi. Langsung tidak dihiraukan setiap mata yang memandangnya. Dia tidak boleh terima apabila dirinya diasak dengan soal perkahwinan pada saat dia baru sahaja kehilangan Daniel.
Panas saja hati Athirah mendengar tuduhan Zarina. Mana mungkin dia tidak sayangkan Daniel. Mereka hanya dua beradik saja. Tentu-tentulah dia sayangkan Daniel. Hatinya merasa pedih dengan bicara Zarina itu.
"Mana kau tahu aku tak ada perasaan? Dia satu-satunya abang yang aku ada. Dah tentulah aku sayangkan dia. Tapi, takkanlah kita nak meratap pemergian dia. Yang dah pergi takkan kembali Rina. Kau jangan persoalkan sayang aku terhadap Abang Daniel. Hanya Allah yang tahu betapa aku sayangkan dia. Tapi aku reda dengan ketentuan-Nya. Dia lebih sayangkan abang."
Zarina mengetap bibir. Sedar bahawa dia sudah keterlanjuran kata. Dia menggengam kemas jemari Athirah.
"Err... aku minta maaf."
"Ermm..." gumam Athirah.
Athirah pantas menolak kerusi ke belakang. Lantas dia melabuhkan punggung di sebelah Zarina. Zarina melentokkan kepala di bahu Athirah.
"Aku masih sayangkan Daniel. Aku tak boleh nak lupakan dia macam tu je. Aku tetap cintakan dia sampai bila-bila!"
"Ya, aku faham. Tapi kau kau tak boleh fikirkan apa yang kau nak saja. Tak semestinya apa yang kau nak tu terbaik untuk kau."
Zarina meleraikan pelukan. Kelopak mata sudah terasa panas.
"Jadi kau nak cakap Daniel bukan terbaik untuk aku? Macam tu?"
Walaupun Daniel bukanlah yang terbaik, namun tetap saja hatinya tergores bila orang terdekatnya mengingatkan dia akan perkara tersebut.
"Bukan tu maksud aku. Allah tak beri apa yang kita mahukan. Tapi Allah beri kita apa yang kita perlu. Beb, percayalah. Setiap ibu bapa nakkan yang terbaik untuk anaknya. Cuba kau bukakan pintu hati kau. Siapa tahu Ryan benar-benar jodoh kau.
"Aku tahu kau terlalu sayangkan arwah. Tapi sampai bila kau nak macam ni? Kalau kau menangis air mata darah sekalipun, arwah takkan kembali pada kau. Kau kena reda Rina. Kau kena terima qadak dan qadar Allah."
Zarina hanya diam. Sesekali dia mengurut tengkuk. Sesekali pula dia memicit kepala yang terasa berdenyut.
"Kita hanya mampu merancang. Namun Allah jua yang menentukan. Percayalah cakap aku. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Kau tengoklah perubahan aku. Sejak arwah pergi, terlalu banyak perubahan yang berlaku pada aku. Daripada solat part time sekarang dah solat on time.
"Daripada pakaian mencolok mata, sekarang alhamdulillah dah mula berpakaian lebih sopan, walaupun terkadang aku alpa. Beb, mati itu pasti. Tak sesiapa pun boleh lari daripada kematian Rina," nasihat Athirah lembut.
Tubuh Zarina dibawa ke dalam dakapan.
"Aku sayangkan Daniel. Sukar untuk aku lupakan dia, Athi."
"Aku faham. Tapi kalau tak cuba, macam mana nak lupa? Rina, tak bermakna kau terima Ryan dalam hidup kau, kau harus lupakan arwah. Cuba kau beri dia ruang untuk bertakhta dalam hati kau. Kita ni wanita yang lemah. Kita perlukan seorang lelaki untuk melindungi kita."
Zarina terkesima mendengat tutur kata Athirah. Ada betulnya juga kata-kata Athirah. Namun entah mengapa hatinya seakan berdegil mahu melepaskan Daniel daripada relung hatinya.
"Lebih baik kau terima insan yang sayangkan kau, daripada insan yang kau sayang. Dan sandarkan cinta kau pada Dia, melebihi cinta kau pada manusia. Nescaya kau akan temui cinta sejati. Belajarlah untuk menyayangi insan lain Rina," sambung Athirah lagi.
Air mata yang ditahan sedari akhirnya turun membasahi pipi. Athirah menyeka perlahan air jernih di pipi Zarina. Dia menggeleng kepala tanda tidak mahu sahabatnya itu bersedih.
Zarina buntu. Hendak ditolak, papanya sudah awal-awal memberi amaran. Dia tidak mempunyai sebarang pilihan. Atau lebih tepat, dia langsung tak diberi pilihan.
Aci tak, kalau dia nak lari dari rumah? Menyembunyikan diri di tempat terpencil di mana tiada seorang pun yang mengenali dirinya?
Haih! Kalaulah boleh, sudah lama dia berbuat demikian. Masalahnya, dia tidak boleh.
Reda?
Entahlah. Dia tidak mempunyai jawapan bagipersoalannya.
YOU ARE READING
WANITA TERBAHAGIA
RomanceTajuk: WANITA TERBAHAGIA Penulis: NUREEN AHMAD Harga: RM23 / RM26 Arahan Encik Yusuf yang mahukan dia meneruskan perkahwinan yang telah dirancang, menjerat diri Zarina. Sudah berbuih mulut menolak cadangan papanya, namun satu apa pun tak jalan. "Bi...