BAB 5

278 6 0
                                    

ZARINA panggung kepala saat sebentuk cincin tersarung indah di jarinya. Namun sayangnya, keindahan cincin tersebut tidak dapat dirasainya.

Argh! Dia benci semua ini. Mengapa papa memaksanya? Kenapa harus Ryan?

Zarina tersentak saat tangannya ditepuk kuat. Dia menoleh ke sisi. Kening dijongket tinggi.

Athirah memuncungkan bibir ke arah Ryan yang sudah duduk bersila di hadapannya. Namun, tingkahnya masih seperti tadi. Kejung tidak bergerak.

"Aku tahu kau tengah sedih, beb. Tapi janganlah tunjuk sangat muka tenuk kau tu. Ramai orang tengah pandang kau ni. Senyum sikit. Tu, cepat salam tangan suami kau. Jurukamera nak abadikan momen indah kau orang berdua ni," bisik Athirah di telinga Zarina.

Geram benar dia saat melihat wajah selamba badak si sahabat.

Bulat mata Zarina mendengar kata-kata Athirah. Suami? Tak semena-mena jantungnya berdebar.

Sungguh, dia tidak mampu menerima hakikat bahawa dia kini sudah bergelar seorang isteri. Dan yang menyedihkan, bukan Daniel yang menjadi pengantin lelakinya.

Lambat-lambat, Zarina menyambut juga huluran tangan Ryan. Lantas dia mencium tangan itu. Dia terpanar apabila memanggung kepala. Sebuah senyuman indah yang terukir di bibir Ryan, sedikit sebanyak membuatkan imannya goyah.

Zarina menelan liur. Mata dikalihkan ke arah lain. Bimbang ego yang disanjung tinggi lebur dek tergoda dengan suami yang baru sahaja melafazkan akad ijab kabul sebentar tadi.

"Terima kasih, sayang. Abang tahu sayang tak sukakan abang. Tapi, abang sanggup tunggu walau berapa lama masa yang sayang perlukan," bisik Ryan ke telinga Zarina.

Zarina buat memek muka hendak muntah. Perkataan abang dan sayang yang meniti di bibir Ryan membuatkan dia semakin membenci lelaki itu.

Baru saja dia hendak membuka mulut, Ryan memegang lembut dagunya. Saat matanya bertentang mata dengan Ryan, dia seakan terpukau. Melihat alis mata Ryan yang lentik itu membuatkan jantungnya berdegup kencang.

Bertambah kencang dadanya apabila Ryan merapatkan kedudukan mereka. Matanya terpejam rapat tatkala tangan Ryan diletakkan di atas kepalanya.

"Ya Allah, hamba memohon kepada-Mu daripada kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya dan hamba berlindung kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya."

Perlahan-lahan air jernih mengalir dari tubir mata Zarina. Entah mengapa dia merasa sebak tatkala mendengar doa itu. Begitu tulusnya hati Ryan terhadapnya.

Sedikit sebanyak, keegoannya mulai gugur. Namun, dengan pantas dia membina kembali tembok yang hampir roboh dek terbuai dengan sikap Ryan.

"Abang harap hubungan kita kekal hingga hujung nafas abang. Selagi abang bernyawa, abang akan jaga dan lindungi sayang. Takkan sesekali abang sakiti sayang. Abang akan sentiasa berada di sisi sayang. Insya-Allah," ucap Ryan perlahan.

Bibirnya tidak lekang daripada mengukir senyuman.

Sekali lagi Zarina bagaikan terpukau melihat senyuman indah Ryan. Setelah beberapa ketika, dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Hatinya berdebar tiba-tiba.

Perasaan ini. Ah! Inilah perasaannya saat dia jatuh cinta terhadap Daniel.

Daniel, Rina rindukan Daniel. Tak mudah untuk Rina melepaskan Daniel pergi. Tapi sekarang, Rina dah jadi isteri orang. Rina benci perkataan isteri tu. Sepatutnya Rina jadi isteri Daniel, bukannya Ryan.

Zarina meraung dalam hati. Sungguh, jiwanya terdera ketika ini. Segala momen indahnya dan Daniel harus dilepaskan pergi. Sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa Daniel sudah tiada.

WANITA TERBAHAGIAWhere stories live. Discover now