"WHAT? Papa,are you out of your mind?"
Suara Zarina naik satu oktaf. Bukan niatnya hendak meninggikan suara terhadap papanya, Encik Yusuf. Namun, dek terperanjat dengan idea luar kotak ayahnya, darah Zarina mencanak naik.
Gila! Ini semua kerja gila!
Dia baru sahaja kehilangan tunangnya dua minggu yang lepas. Dan kini dia diminta meneruskan pernikahan yang telah dirancang. Siapa yang tidak melenting? Dia bukannya robot yang tak ada perasaan.
Hatinya sakit. Tak seorang pun mengerti akan perasaannya.
Dia sayangkan Daniel. Terlalu sayang. Biarpun Daniel bukanlah yang terbaik buatnya, namun dia tetap menyayangi lelaki itu seadanya.
Daniel, kenapa awak pergi tinggalkan saya? Saya tak nak kahwin dengan orang lain. Saya perlukan awak. Tapi sayangnya, awak dah tak ada. Hatinya merintih perih.
"Sayang, papa tak minta banyak daripada Rina. Papa cuma nak Rina teruskan majlis perkahwinan Rina. Itu saja. Lagipun, sebelum ni, kamu dan arwah Daniel dah beberapa kali merancang untuk berkahwin. Kad semua dah edar, khemah dan pelamin dah siap pasang, tapi sudahnya cancel last minute.
"Kamu tak ingat? Masa tu papa dah tak tahu nak letak mana muka papa ni. Papa malu. Semua orang dah bercakap-cakap hal ni. Takkan kamu nak sekali lagi majlis perkahwinan kamu dibatalkan?"
Encik Yusuf menarik nafas dalam-dalam.
Mengingatkan hal yang satu itu membuatkan dia tetap nekad untuk meneruskan perkahwinan Zarina ini. Dan di matanya, dia hanya melihat Ryan yang layak untuk bergandingan bersama anak kesayangannya.
Zarina mengetap bibir. Masih dia ingat riak hampa di wajah Encik Yusuf dan Puan Zulaikha saat Daniel meminta perkahwinan mereka ditangguhkan.
Bukan sekali, bukan juga dua kali. Tapi sudah empat kali perkahwinan yang dirancang dibatalkan di saat-saat akhir.
"Kali ni papa akan pastikan perkahwinan kamu tetap akan berlangsung. Sayang, papa ni semakin tua. Papa nak tengok kamu berkahwin sebelum papa menutup mata. Itulah satu-satunya impian papa."
Lembut nada Encik Yusuf memujuk.
Zarina tersentak mendengar kata-kata Encik Yusuf.
"Rina, mama dan papa bukanlah nak memaksa kamu. Cuma..."
"Cuma apa?" Segera Zarina mencaras kata-kata Puan Zulaikha.
"Mama, kalau bukan memaksa, maknanya apa eh? Susah sangat ke mama dan papa nak faham? Rina baru aje kehilangan tunang Rina, tapi papa dan mama sibuk suruh Rina kahwin. Ya, Rina tahu, sebelum ni dah banyak kali Rina tangguhkan perkahwinan. Tapi itu bukanlah modal untuk mama dan papa paksa Rina. Tolonglah ma, pa. Rina pe... perlukan masa untuk reda dengan semua ni. Semua yang berlaku ni, masih baru."
Zarina jeda seketika. Setelah itu dia kembali menyambung kata-katanya.
"Siapa calon yang mama dan papa nak sangat jadikan menantu tu? Bagus sangat ke dia? Nak juga Rina tahu. Apa kerjanya? CEO? Pilot? Interior designer?"
Sinis nada Zarina. Dia berpeluk tubuh. Matanya memandang wajah Encik Yusuf dan Puan Zulaikha silih berganti.
"Ryan." Serentak Encik Yusuf dan Puan Zulaikha bersuara.
Wajah Zarina jelas kaget saat nama Ryan meniti bibir Encik Yusuf dan Puan Zulaikha. Spontan bayangan wajah Ryan yang sentiasa tenang itu terlayar di ruang mata.
"Ryan? Lelaki yang selamatkan mama masa kena ragut dulu tu?" soal Zarina meminta kepastian.
Dia mengeluh kecil. Kepalanya sakit memikirkan perkara ini. Encik Yusuf dan Puan Zulaikha seakan nekad benar untuk bermenantukan Ryan.
YOU ARE READING
WANITA TERBAHAGIA
RomanceTajuk: WANITA TERBAHAGIA Penulis: NUREEN AHMAD Harga: RM23 / RM26 Arahan Encik Yusuf yang mahukan dia meneruskan perkahwinan yang telah dirancang, menjerat diri Zarina. Sudah berbuih mulut menolak cadangan papanya, namun satu apa pun tak jalan. "Bi...