Tapi aku pernah sekali dulu melihat muka Uda kalut. Sarat berkerut dengan kerisauan kepadaku. Ianya sewaktu duniaku sudah mula berkecai.
Hari itu mamang hari yang sangat malang untuk aku.
Perkahwinanku dengan Ghaffar sudah sampai bulan yang ke enam, dan dia sudah tiga hari tidak pulang ke rumah. Beras pun sudah tiada dan peti ais hampir kosong. Biskut dalam tin pun dah habis. Aku cuma minum susu cokelat yang hanya tinggal separuh di dalam peti ais dan mee segera yang aku jumpa dalam kabinet dapur. Aku jarang-jarang pun keluar bilik apatah lagi keluar rumah, aku tak berani. Aku tak biasa dengan daerah ini.
Ghaffar bukanlah tidak berhati perut langsung. Dia belikan peti telivisyen kecil untuk aku, supaya aku tak bosan di dalam bilik. Peti ais di dapur dia isikan dengan makanan untuk aku selang beberapa hari. Ada juga sedikit rasa tanggungjawabnya, walaupun cuma setakat beras, ayam sepeket dua, telur, sayur-sayuran dan kadang kala buah epal atau oren. Dua, tiga minggu sekali dia akan belikan aku setin biskut dan suruh aku letakkannya dalam bilik. Jika dia di rumah, aku cuma akan keluar bila dia suruh. Jika tidak, aku cuma melingkar di dalam bilik menonton tv atau membaca majalah yang di bekalkannya. Selama enam bulan aku jadi seorang isteri, hidup aku sangat bosan.
Nombor-nombor dalam telefon bimbitku awal-awal sudah di padam, cuma tinggal nombor Uda dan nombor mak mertua aku. Dia buang aplikasi media sosial dan dia gantikan dengan aplikasi permainan. Kadang-kadang bila dia balik, dia akan buat serkap jarang. Dia ambil telefon aku untuk pastikan aku tak berhubungan dengan sesiapapun.
Bukan hanya sekali aku fikir untuk lari dari rumah. Malah berkali-kali. Tapi aku tak berani. Dan jika ada ada sedikit keberanian pun, kemana yang akan aku pergi? Pulang kepada Nenda dan Uda? Bagaimana pula dengan segala hutang sewa rumah yang berbulan-bulan tidak di bayar dulu? Aku yakin, jika aku lari dari Ghaffar tentu ibubapa mertua aku akan datang menuntut dan kemudian menghalau kami dari rumah itu. Aku tak nak susahkan Nenda.
Lagipun, dia selalu mengunci pintu gril bila di pergi bekerja. Dan aku tiada kuncinya. Kadang-kadang aku jadi terfikir, kalau lah bangunan ini terbakar ... Habislah aku. Sudahlah tinggal di tingkat tujuh, bagaimanalah aku hendak melepaskan diri?
Tengahari itu, aku dengar pintu rumah di buka. Aku pantas menutup tv dan menekup telingaku di pintu bilik. Aku sebenarnya lapar, manalah cukup setakat makan mee segera setiap hari. Dan aku mengharapkan Ghaffar pulang seorang diri supaya aku boleh keluar dan beritahunya aku perlukan makanan. Tapi aku dengar ada suara lain bersamanya bergelak ketawa, dan aku tau esok aku perlu mengemas rumah itu bersih dari kotoran Ghaffar dan kekasihnya. Atau kekasih-kekasihnya, entah, nafsunya memang tidak siuman. Mereka suka lakukannya di ruang tamu, di depan tv. Kemungkinan untuk aku keluar waktu itu akan hanya mencari nahas.
Dua jam kemudian, aku yang sedang menyorokkan diri kelaparan di dalam bilik terkejut bila pintu depan di ketuk dan mendengar suara orang kecuh-kecuh di depan rumah. Suara perempuan bersuara kuat pun jelas. Aku menggigil memikirkan mungkin rumah itu dah di serbu Jabatan Ugama Islam, dan sebab aku juga ada di situ, aku takut aku akan di sangka turut terlibat. Aku takut aku juga turut di tangkap!
Kemudian aku dengar ...
"Indah?" Ada orang panggil nama aku. "Indah mana?"
Aku terkejut, terus berlari ke dalam bilik air. Menikus di situ tanpa bergerak. Macam mana mereka tau nama aku? Macam mana mereka tau nama aku??
Kemudian pintu bilik di ketuk bertalu-talu. Kuat dan kerap.
"Indah!! Ni Mama!! Bukak pintu."
Aku berdengkit ke pintu. Aku cam suara itu. Suara mak mertua aku. Aku jarang berjumpa dia tapi bila kami bertemu, dia sangat baik terhadap aku. Membuat aku jadi berani buka pintu.
YOU ARE READING
Merpati
Ficción General"Hai, nama I Lily." Dia menyambut tanganku, seakan menarik aku untuk lebih rapat kepadanya. "Beer?" Dia menyoal, mendekatkan bibirnya ke telingaku. "Or something stronger?" "You minum apa?" Bibir aku di tepi telinganya pula. Dia senyum. "Just Coke...