AHNAF mundar-mandir di hadapan televisyen. Telefon bimbit di meja, dikerling berulang kali. Dia meraup rambut perlahan. Setelah penat mundar-mandir sehingga mengganggu Balqis, akhirnya dia duduk di sofa.
Balqis memandang Ahnaf dengan reaksi aneh. Dia mendekati Ahnaf. Muka Ahnaf dipegang dengan tangannya yang kecil itu.
"Abang kenapa?"
"Takde apa-apa sayang... Abang cuma risaukan Abang Har. Ke mana pula Abang Har pergi ni? Menyusahkan orang betul," balas Ahnaf diakhiri rungutan. Nombor telefon Harys kembali didail. Namun tidak dijawab.
Lebih baik tak usah pakai telefon!
Telefon dicampakkan ke sebelah. Balqis melentokkan kepala ke atas bahu Ahnaf. Lengan Ahnaf dipeluk dijadikan bantal.
Ahnaf sekadar tertawa kecil.
"Aqish, abang nak tanya sikit boleh? "
"Boleh, tanyalah abang," jawab Balqis tatkala matanya fokus ke arah kartun yang bermain di kaca televisyen.
"Kak Lia tu... Dia ada cerita apa-apa tak kat Aqish?" tanya Ahnaf belan-belan mencungkil rahsia. Ini yang dinamakan, sambil menyelam minum air.
"Takde. Kenapa abang?"
"Eh. Takde apa-apa." Lantas Ahnaf menafikan, takut Balqis mengesyaki sesuatu.
"Hmm... Kak Lia selalu cerita, dia rindukan anak dia... Kesian kat dia tau, abang. Sebab tu dia selalu bagi Aqish lollipop. Sebab dia kata bila tengok Aqish, dia akan teringat kat anak dia..."
Ahnaf terkedu. Dia terdiam setagal. Sesudah perbualan itu, mereka sambung menonton televisyen sementara menunggu Harys pulang.
Mentang-mentang dah hampir sihat, merayap pula dia santak ke tengah malam.
Tanpa disedari, mata dua beradik itu terlelap. Pantulan cahaya dan suara televisyen sedikit pun tidak menganggu lena mereka.
Bunyi pintu dikuak hampir menyedarkan Ahnaf. Terdengar derapan tapak kaki berjalan perlahan.
Ahnaf mengangkat kelopak matanya. Dia berpusing menghadap belakang, ternyata Harys sedang menghendap naik ke bilik.
"Har."
Harys berhenti. Kakinya yang baru hendak mendaki satu anak tangga, diturunkan kembali.
"Apa dia? " soal Harys seraya menjungkitkan sebelah keningnya.
"Apa dia, kau tanya aku? Kau dari mana ni?" bebel Ahnaf lalu berjalan ke arah Harys.
"Kau tak payah menyibuk hal akulah bang!" Harys membentak lalu menolak kasar dada bidang Ahnaf.
"Kau kenapa ni?! Kena sampuk ke? Balik rumah je terus naik angin?!" bentak Ahnaf semula.
"Senyaplah bang! Aku dah sembuh! Kau tak payah nak sibuk hal aku!" jerkah Harys sambil mencengkam baju Ahnaf.
Seketika kemudian, baju itu dilepaskan. Ahnaf tergamam melihat tingkah laku adiknya.
"Aku... Tak sangka kau dah berubah Har. Kau adik aku, aku kenal kau. Ini bukan adik aku..." Berbaur hiba nada jejaka itu.
"Woi! Aku ni adik kaulah!" teriak Harys bagai orang gila.
"Aku dah banyak berkorban untuk kau, Har... Ini ke..."
"Tak payah nak mengungkitlah! Aku nak tidur!" Tangkas Harys memotong percakapan Ahnaf. Dia berlari naik ke bilik tidur.
Ahnaf melangkah longlai menuju ke sofa. Balqis tersedar oleh sebab pertelagahan dua pria itu. Dia hanya memerhati raut wajah Ahnaf yang sugul.
YOU ARE READING
Tragedi Trauma
Mystery / Thriller"Kerana tragedi, aku trauma. "-Harys Tragedi kemalangan yang menimpa ke atas diri Harys pada satu tahun yang lalu telah menyebabkan kesan yang buruk terhadap fizikal dan mentalnya.Trauma. Rasa takut membelenggu dirinya setiap saat.Dia tertekan denga...