"CHAD. "
"Hmm...?"
"Tiba-tiba aku rasa..."
"Apanya?"
"Chad... aku rindu nak makan ayam percik la, Chad...."
Huh? Chad angkat muka daripada melipat baju yang baru diangkat. Baru lepas asar. "Hai... tak lalu aku nak layan anak manja macam hang ni haih." Chad geleng. "Merengek... hang ingat aku ni Tok ka?"
"Aku cakap je." Fend cebik.
"Tapi kan..."
"Hmm?"
"Boleh tahan jugak la teringat dengan Tok punya kerabu mangga. "
Heh! Dia pun dua kali lima. Fend sengih.
"Jom. "
"Pergi mana?"
"Kat sini punya ayam percik aku tak tau mana nak cari. Ayam golek aku tau. Jom. "
***
"AGAK-AGAK TOK tengah buat apa sekarang agaknya?" Tiba-tiba teringat pula kat Tok.
Orang lain kat Malaysia tu pun tengah buat apa la agaknya? Aidid, K², Azad, Pa'an, Erdi.... Garpu & Camca siang-siang mesti tak buka. Agak-agaknya Si Yani tu buat business kuih raya sekali ke dengan bakery dia tu? Tengok kedai bakery tepi jalan ni teringat pulakkat Garpu & Camca.
"Enjut pasu nak buat baulu kut. " Chad menjawab. Tok memang tradisional. Buat baulu masih lagi pakai enjut tangan tu untuk pukul telur, buat baulu. Lenguh tahap tak ingat. Langkah mereka menyusuri kaki lima kedai-kedai makanan di Punchbowl tu.
"Hmm... " Fend angguk. Ye la kut agaknya. Kira lumrah kut apabila dah nak dekat tengah Ramadan orang mula sibuk dengan persiapan raya.
Tapi tak payah sebut fasal persiapan raya pun. Memang betul la kata Akmal tempoh hari. Berapa banyak orang Islam kat luar sana yang hanya menjadikan puasa di bulan Ramadan tu hanya sekadar budaya aje zaman sekarang ni. Erti Ramadan tu tak terasa sangat.
Bukan nak kata orang la, dia sendiri pun macam tu juga. Apabila masuk bulan puasa, perubahan dalam rutin harian hanyalah tak makan dari subuh sampai senja. Malam pula join tarawih kalau rajin. Tapi moreh tu mesti ada. Ada ke pulak macam tu. Nak ketawa pada diri sendiri pun ada. Selain daripada tu, kehidupan macam biasa jugak. Solat ikut aci dan. Tengok wayang jalan jugak. Jamming jalan jugak. Main game jalan jugak. Lepak-lepak jalan jugak.
Tapi tu la kenyataan. Ramadan tu hanya diertikan oleh tak makan. Ramadan tu hanya diertikan dengan bazar Ramadhan. Ramadan tu hanya diertikan dengan tarawih dan moreh (walaupun tak semua orang yang moreh tu pergi tarawih). Ramadan tu hanya diertikan dengan jemputan berbuka puasa di sini-sana (walau sebenarnya orang yang tak puasa bukan kerana uzur pun join sama). Ramadan tu dah jadi budaya dan bukan lagi tuntutan agama.
Tengok kat KL tu pun cukup la. Waktu berbuka puasa, segala tempat makan yang ada mesti penuh. Tak kira la gerai ke, restoran ke, kedai mamak ke, hotel ke apa. Dan akan terus penuh sampai la nak masuk waktu isyak. Dan orang di situ tak surut-surut jugak sampai waktu moreh pulak. Maghribnya ke mana, isyaknya ke mana, tarawihnya ke mana? Entah. Ada makna ke berlapar seharian tapi benda yang paling asas tak buat?
"Dah sampai. "
"Hmm?" Fend tersedar daripada terus berbicara sendiri.
"Dah sampai." Chad mengulang sambil mengisyaratkan kepala ke arah kedai di hadapan mereka.
Fend mendongak mencari papan tanda.
Youseff's Charcoal Chicken.
"Beli untuk orang masjid berbuka sekali la. "
Angguk.
Mereka serentak melangkah masuk.
"Puasa ini, bukan hanya tahan lapar dahaga di perut aja, Nak Fendy. Puasa itu untuk bersihkan roh. "
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu menjadi bertakwa ~ (al-Baqarah: 183)
(excerpts from Contengan Jalanan - Fend : 34)
YOU ARE READING
Contengan Jalanan (Ramadhan Excerpts)
General FictionThe Ramadhan excerpts from Contengan Jalanan (published May 2011, ISBN ISBN: 978-967-5118-53-1) Goodreads : https://www.goodreads.com/book/show/11194664-contengan-jalanan