FEND DAH TERTIARAP. Macam katak kena gelek lori. Tergedang atas lantai berlapikkan sleeping bag yang dipinjamkan Akmal dari rumahnya. Haa... sendi-sendi dah rasa macam Playdoh aje. Siang tadi memang la berjalan macam tak cukup tanah.
Bertolak dari Masjid Punchbowl pagi tadi, mereka menuju ke rumah Akmal yang terletak berhampiran dengan UNSW. Naik kereta Akmal. Dari rumah Akmal mereka naik public transport, jadi tourist. Berjalan round kawasan kampus UNSW, lepas tu bertolak ke Darling Harbour. Pusing Darling Harbour, masuk Chinese Garden, masuk Paddy's Market, redah Chinatown. Lepas tu naik bas pula pergi Botanical Garden, baru jumpa Sydney Opera House dan Sydne Harbour Bridge yang famous seluruh alam tu.
Tangkap gambar bagai nak rak sampai dekat nak tengah hari. Akmal ajak solat kat garden tu aje. Kompas kiblat dia kata memang sentiasa kena bawa, sebab ni bukan Malaysia yang ada surau, masjid atau musala bersepah-sepah. Pertama kali la solat tengah-tengah tempat terbuka macam tu. Solat berjemaah pulak tu. Chad la jadi imam bidan terjun, sebab nak solat jamak. Cuak pun ada. Kut la kena baling dengan telur ke apa dek mat salih yang ramai-ramai kat situ. Tapi tadi okey tak ada apa jadi pun. Alhamdulillah.
Habis zuhur, pusing-pusing lagi dua tiga round, lepas tu balik rumah Akmal. Chad mintak Akmal tolong bawa ke Muslimtown lepas tu, Akmal angkut dia orang dengan kereta ke Lakemba. Merasa la tengok jalan yang kedai-kedai Arab bersepah di kiri kanan jalan kat situ. Banyak kedai makanan halal. Kedai buku-buku Islamik pun banyak. Lama juga duduk dalam kedai-kedai buku tu. Chad entah mencari apa. Dari situ mereka ke Masjid Lakemba yang dekat-dekat situ juga. Akmal nak solat asar. Habis solat asar baru bertolak balik ke Masjid Punchbowl. Sempat juga la sambar baklava sedozen dua, buat nak dijamu waktu berbuka di masjid nanti. Harga mereka kongsi tiga. Baklava tu, manisan orang Turki. Jenis pastri. Penuh dengan kacang.
"Banyak pahala ni, bagi makan orang berbuka puasa." Chad yang bersungguh-sungguh nak membeli. Mereka yang lagi dua ikut aje.
Sampai ke Masjid Punchbowl ada lagi setengah jam nak berbuka. Jemaah pun dah mula ramai yang sampai. Terus saja tolong menghidangkan makanan macam semalam. Rasa macam dah jadi ahli jawatankuasa masjid pun ada. Fend sengih sendiri. Lepas tu, rutin sama macam semalam. Masuk waktu, buka puasa dengan tamar, solat maghrib, buka puasa besar-besaran, kemas tempat makan, tadarus berkumpulan, solat isyak, tazkirah, lepas tu tarawih.
Lepas tu pengsan! Fend pejam mata.
Kira hari ni tahan la sikit banding dengan semalam dengan rakaat yang panjang-panjang tu. Badan dah mula nak biasa agaknya. Tapi masih letih juga. Ye la, dah siangnya jalan tak ingat dunia!
"Kut ye pun, cuba la baring elok sikit." Terdengar suara Chad membebel. Akmal dah balik rumah dia. Esok dah Isnin, ada kelas.
"Hmphf..." Mulut nak menjawab pun dah tak larat.
"Nanti bangun tidur sakit belakang, sakit tengkuk, sakit kepala ke apa jangan duk merengek kat aku." Chad mengugut.
Fend merengus perlahan. Chad ni betul la macam Tok. Dia menolak tubuh dari lantai dengan siku dengan mata tak dibuka pun. Tubuhnya ditelentangkan sambil membetulkan letak baring kepala. Chad merenungnya sambil geleng kepala. Manja!
"Kenapa kita tak tidur rumah Akmal je?" Fend menggumam.
"Bila lagi nak merasa tidur masjid?"
"Hmpf...."
"Manja."
"Esok kita ada pelan apa-apa ke?" Kembang suara Fend bertanya. Sebab bercakap tak berapa nak buka mulut. Mata pun tak dibuka.
"Nak jalan lagi?" Chad sengih.
Geleng.
"Ke dah nak balik?" Usikan Chad tak habis lagi.
Fend buka mata sikit. Tak berapa nak nampak sebenarnya sebab tak pakai cermin mana. Tapi boleh bayang la Chad tengah sengih gaya keji tu. Tak habis lagi nak menggiat orang la tu! Fend buat muka cemberut.
Chad ketawa. "Buat perangai budak tadika."
"Malas nak layan." Fend dah bungkus kepala dengan sleeping bag. "Jalan ke esok ni?"
"Kita recharge dulu. "
Angguk. Sebelum tubuh dibawa lena terdengar macam bunyi Chad memulakan bacaan al-Fatihah. Mengaji... kut?
Dialah yang menjadikan malam bagimu supaya kamu beristirahat padanya dan (menjadikan) siang terang-benderang (supaya kamu mencari kurnia Allah). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mendengar. ~ (Yunus: 67)
(excerpts from Contengan Jalanan - Fend : 31)
YOU ARE READING
Contengan Jalanan (Ramadhan Excerpts)
Ficción GeneralThe Ramadhan excerpts from Contengan Jalanan (published May 2011, ISBN ISBN: 978-967-5118-53-1) Goodreads : https://www.goodreads.com/book/show/11194664-contengan-jalanan