"EH, DARI MALAYSIA YE?"
Fend angkat kepala daripada kerjanya menuang jus sejuk ke dalam cawan-cawan plastik. Dia yang volunteer nak buat dengan Imam Zakariyya tadi. Ye la.Dah datang tempat orang,kena la pandai-pandai bawak diri.Waktu berbuka ada lagi sepuluh minit nak masuk. Chad tengah tolong mengagihkan nasi Arab ke dalam dulang-dulang.
Tuan punya suara yang menegur tu berdiri di hadapannya dengan sengih lebar. "Malaysia ye?" Anak muda sederhana tinggi dengan kopiah putih di kepala tu mengulang sekali lagi.
Lambat-lambat Fend mengangguk.
"Akmal." Si kopiah menghulur tangan.
"Fend." Fend mengalih botol jus ke tangan kiri. Tangan kanan menyambut huluran salam. Bibirnya mengukir senyum. Hah! Boleh sembang cakap Melayu!
***
"FIRST TIME AKU MAKAN dalam dulang." Fend senyum segaris. "Makan nasi ambeng dalam dulang pun tak pernah, sekali datang sini makan nasi Arab yang pakai dulang."
"Bagus apa makan pakai dulang." Akmal yang bersila di kanannya menyambut mudah. "Bonding dia tight lebih. "
Fend ketawa. Memang betul pun. Tadi duduk satu dulang dengan Tok 'Abdul Qadir. Sungguh-sungguh atuk tu menyuruhnya makan. "Eat! Eat!" Kalau boleh nak disuapkan, dah disuapkan agaknya.
Mereka kini tengah duduk-duduk sementara menunggu tarawih bermula. Aktiviti tadarus al-Quran masjid baru habis. Chad pula entah sedang berbicara apa dengan salah seorang jemaah berbangsa Indonesia tak jauh daripada mereka.
Masuk aje waktu tadi terus semua jemaah yang ada ramai-ramai berbuka dengan buah tamar entah pemberian siapa, kemudian terus solat maghrib. Habis solat baru la ramai-ramai berbuka dengan makanan berat. Memang betul la kata Imam Zakariyya, makanan banyak sampai tak muat meja nak letak. Segala macam jenis makanan pula tu. Yang Arab, yang Lebanon, yang Algeria, yang India, yang Pakistan, yang Indonesia, yang Western, pendek kata segala benda la. Betul la rezeki Ramadan, alhamdulillah.
"Ni dah kali ke berapa kau puasa kat sini?"
"Kali keempat." Akmal menjawab. "Kira tahun last la, kalau aku tak sambung buat honours tahun depan."
Oh... Fend angguk. "Mesti rindu nak puasa kat Malaysia?" Lain suasana puasa kat tanah air orang dengan tanah air sendiri. Aku yang baru sehari puasa kat sini pun dah rasa tak senang duduk!
Tadi waktu sembang sekejap sambil makan tu sempat la juga nak kenal-kenal. Akmal kata dia asal dari Negeri Sembilan. Belajar kat sini. Kat UNSW; University of New South Wales. Dia pun jenis suka masjid-hopping juga kalau ada kelapangan.
"Aku lagi suka celebrate Ramadan kat sini sebenarnya." Dengan senyum tenang Akmal menjawab.
Huh?
Akmal membetulkan letak sandarnya ke dinding. "Ruh Ramadan tu lagi terasa kat sini sebenarnya. Erti Ramadan sebenar tu, baru betul-betul rasa kat sini. Kat Malaysia sekarang ni aku rasa Ramadan tu dah jadi lebih kepada benda budaya. "
"Maksud kau?" Kening Fend terangkat sebelah.
Akmal membetulkan letak kopiah di kepala. "Ramadan tu bukannya diertikan dengan bazar Ramadan. Bukan diertikan dengan Malam Tujuh Likur pasang pelita. Bukan diertikan dengan lawan meriam buluh antara kampung. Bukan diertikan dengan buka puasa di hotel-hotel. Bukan diertikan dengan rancangan masak-masak bulan puasa di TV. Tapi benda-benda tu la yang dah jadi definisi Ramadan kat Malaysia. "
Fend diam sejenak. Memikir. Memang betul pun apa yang Akmal cakap tu. Lambat-lambat kepala dianggukkan.
"Orang dah hilang erti Ramadan tu sendiri. Bagi aku Ramadan tu purification. Penyucian. Kira penyucian by all the means and senses of the word. " Akmal senyum segaris.
"Hmm?"
"Kalau kita tengok apa yang orang kita faham, banyak benda yang dah bercampur." Akmal menerangkan. "Contohnya kalau buat sambutan berbuka puasa. Memang la bagus nak meraikan buka puasa tu. Tapi cara nak meraikan tu pun kena la appropriate jugak. Yang kita tengok kebanyakan orang buat sambutan buka puasa ni campur je lelaki perempuan dah gaya orang buat catching up kat mapley pun ada. Pergaulan tak jaga, layan dengan sembang-sembang kosong... patutnya boleh buat pahala tapi dah tak jadi makna apa la kalau macam tu gayanya." Panjang lebar Akmal menuturkan pandangannya. "Mungkin la akan ada orang kata aku extreme ke kolot ke apa, tapi tu kenyataan. Siapa kita ni nak menolak hukum Tuhan?" Akmal angkat sebelah bahu.
Ada kebenarannya di situ. Fend mengangguk lagi. Akmal dipandangnya. "Kalau nak ikut jujur, selama ni aku tak pernah pulak terlintas nak fikir fasal Ramadan dengan cara kau fikir." Telus dia mengucapkan.
Akmal senyum senang. "Dan aku pun tak pernah terfikir dengan cara tu sebelum aku sampai tanah Australia ni." Mudah dia menjawab. "Mata aku pun dah naik kabur kelabu dengan apa yang dah biasa kat Malaysia kut. "
Fend angguk lagi. Sungguh. Memang selama ni tak pernah terfikir pula nak tengok situasi dari perspektif Akmal tu.
"Sebab tu aku kata kat Malaysia tu benda-benda agama banyak yang dah jadi benda budaya. " Akmal menyambung lagi. "Padahal yang hitam dengan putih tu dah jelas nyata. "
"Kalau selama ni tak tau macam mana..." Fend menggumam sendiri.
Imam Zakariyya melangkah ke arah tempat imam. Tanda tarawih dah hampir nak dimulakan.
"Jom. " Akmal dah bangun.
Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kejahilannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ~ (an-Nahl: 119)
(excerpts from Contengan Jalanan - Fend : 29)
YOU ARE READING
Contengan Jalanan (Ramadhan Excerpts)
Fiksi UmumThe Ramadhan excerpts from Contengan Jalanan (published May 2011, ISBN ISBN: 978-967-5118-53-1) Goodreads : https://www.goodreads.com/book/show/11194664-contengan-jalanan