"RASULULLAH PERNAH KATA, kalau kita nak betul-betul kenal dengan seseorang tu, pergi bermusafir dengan dia tiga hari, khatam la kenal orang tu nanti." Akmal sengih. "Masa tu la kita baru tau, gaya tidur dia macam mana, dia suka makan apa, perangai dia macam mana segala benda."
"Kalau takat budak ni..." Chad menunjuk ke arah Fend. "... aku dah tak lalu dah haih nak kenal. Dari kecik sampai dah besar tagunperangai dia aku khatam dah semua. Naik cemuih dah ngadap muka dia."
Akmal ketawa. "Cemuih tu apa?"
"Dah tak lalu." Fend yang menjawab. Nada malas nak melayan. "Aku pun dah tak lalu la tengok muka kau tu." Ujarnya pada Chad.
"Aku kenal kau lagi lama, tau?Aku dah kenal kau dua puluh satu tahun."
"Aku pun dah kenal kau dua puluh satu tahun."
"Mana...." Tukas Chad. "Budak-budak umur masuk dua tahun baru kenal orang. Kira kau baru kenal aku sembilan belas tahun je."
"Ada pulak macam tu." Fend buat muka. "Tak lalu dah aku layan kau, Chad."
"Helleh... nanti aku dah tak ada, hang nak duk merengek dengan siapa?"
"Lagi aman kau tak ada." Selamba Fend menjawab. "Aidid dengan Nora. Tok aku sorang punya."
"Hampeh." Chad buat muka. Tau dia dah kalah mati.
Pagi tadi selepas solat subuh mereka bertolak ke Canberra dengan kereta Akmal. Sampai saja di bandar yang macam Putrajaya tu, terus mereka ke Pejabat Kedutaan Malaysia. Elok-elok je la pun waktu tu pejabat dah buka. Mujur juga tak ramai sangat orang dan segala urusan tak ada yang tersangkut.
Ketawa aje orang di kedutaan tu tadi apabila Fend tanya, "So betul la saya boleh balik Malaysia ni? Tak payah jadi pelarian?"
Habis aje berurusan di Pejabat Kedutaan, Chad kata alang-alang baik pusing Canberra. Maka sekali lagi entah berapa ribu keping gambar tersemadi dalam Nikon. Dari Parliament House dan Old Parliament House, ke National Gallery of Australia, The Australian National University, Australian War Memorial, National Zoo and Aquarium, National Museum of Australia sampai la ke Australian National Botanic Garden. Habis semuanya diredah.
Akmal kata memang rezeki Fend dan Chad untuk jalan di Canberra rupanya.
"Ada satu ayat dalam al-Baqarah. Allah kata Dia akan bagi cubaan, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, dan jiwa. Macam kau kena uji dengan hilang pasport ni la." Ujar Akmal. "Ayat tu sambung lagi, 'dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar'. Berita gembiranya, dapat pahala sabar dan dapat jugak la kau jalan sampai ke Canberra. "
Sekarang ni ketiga-tiganya dah terbaring di sudut belakang dewan solat Canberra Mosque. Baru habis solat jamak zuhur-asar, dan sekarang tengah berkira-kira sama ada nak bertolak balik ke Sydney hari ni juga atau tak.
"Esok kelas kau mula pukul berapa?" Chad berpaling pandang Akmal yang berbaring di sebelahnya.
"Tengah hari." Akmal membawa tangan ke mulut menahan kuap. Badan memang dah penat dan mengantuk. Lepas subuh tadi terus bertolak dan ke sana ke sini, mana ada rehat langsung.
"Kalau bertolak sekarang, sampai Sydney lebih kurang malam." Chad berkira-kira. "Kalau bertolak subuh esok, kesian kat kau la penat bila nak pergi kelas."
"Drive gilir-gilir okey kut. Tak ada la rasa teruk sangat drive tengah panas." Fend menggosok mata yang dah kelat.
"Ke nak bertolak lepas tarawih kat sini?" Akmal pula member usul. "Tapi sekarang kena tidur la."
"Aku takut kut kalau tumbang langsung tak bangun je lepas tarawih tu." Chad sengih.
"Hmm... macam mana ni?" Fend menggaru kepala. Otak tak berapa boleh nak pusing dah sebenarnya.
"Ke nak balik esok?" Chad tanya. "Biar aku dengan Fend je yang drive, Mal. Kau tidur je dalam kereta."
"Nak tidur mana malam ni?" Fend menahan kuap.
Chad ketawa kecil. "Kau ni pun... macam tak biasa tidur kat masjid."
Akmal dan Fend sengih.
"Boleh la kut balik esok." Akmal angguk pada siling masjid.
Sunyi. Tiga-tiga dah separa terlena.
"Eh? Ada kat sini lagi?"
Huh?
Fend buka mata. Chad secepat kilat bangun. Akmal angkat kepala. Tiga-tiga mencari suara yang menegur tu.
"Ada kat sini lagi?" Lelaki separuh umur yang menegur mereka tu mengulang dengan senyum lebar.
Oh... Encik Zahari yang kerja di Pejabat Kedutaan tadi. Dia la pun yang banyak tolong. Ye la, tengah tak ramai orang. Boleh la duduk sembang bergebang sakan.
Chad sengih sambil menghulur tangan bersalaman. "Baru habis mesyuarat nak putuskan bila nak bertolak balik." Ujarnya dengan ketawa kecil.
"Balik bila ni?" tanya Encik Zahari sambil bersila di sebelah Chad.
"Esok lepas subuh kut, insya-Allah. Dah melepek dah semua. Tak lalu nak bertolak hari ni." Chad memandang Fend dan Akmal yang dah bangun bersila. Dua-dua muka sememeh.
"Tidur mana malam ni?" Dahi Encik Zahari sedikit berkerut.
"Sini." Akmal sengih.
"Tidur masjid?" Lagi berkerut dahi Encik Zahari.
Tiga-tiga mengangguk.
"Apa ceritanya tidur masjid... macam la tak ada orang kenal kat sini yang boleh nak diminta tolong. Dah dah." Encik Zahari menepuk bahu Chad. "Tidur rumah saya saja malam ni. Jom kita balik rumah, boleh rehat dulu. Kita berbuka sama-sama. Lepas berbuka nanti kita datang sini balik, tarawih. Malam ni rehat betul-betul. Esok bertolak." Dia bangun. "Jom jom."
Eh?
"Mari." Encik Zahari berdiri memandang budak bertiga tu.
Alhamdulillah.
Dan tidakkah mereka mengetahui bahwa Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang dikehendaki-Nya? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman. ~ (az-Zumar: 52)
(excerpts from Contengan Jalanan - Fend : 40)
YOU ARE READING
Contengan Jalanan (Ramadhan Excerpts)
General FictionThe Ramadhan excerpts from Contengan Jalanan (published May 2011, ISBN ISBN: 978-967-5118-53-1) Goodreads : https://www.goodreads.com/book/show/11194664-contengan-jalanan