FEND MENGGOSOK MATA yang kelat. Kemudian tubuhnya keras seketika apabila perasan yang dia sedang berbaring di atas lantai dan bukannya katil. Kepalanya beralas rucksack dan bukan bantal.
Aku kat mana ni?
Kepala terasa lambat sikit buat system loading. Apabila brain system dah habis reboot baru perasan yang mengejutkannya daripada lena tadi bukan bunyi alarm daripada phone, tapi bunyi azan. Bingkas dia bangun duduk daripada baringnya. Kalut dia memandang keliling, tapi nampak kabur aje. Ceh... patut la. Cermin mata tak pakai. Tangan meraba mencari cermin mata di sekitar tempat baring kepala tadi. Hah! Apabila tangan jumpa terus disarung ke muka.
Fend pandang kanan.
Chad terlentang tergedang di sebelahnya. Kalah gaya tidur atas tilam kekabu Tok. Sah tidur mati!
Chad? Otak tak habis loading lagi rupanya. Bila masa aku sampai Austin?
Fend pandang keliling pula. Ada rak buku penuh di dinding kiri, di dinding sebelahnya pula kerusi-kerusi dan meja-meja elok bersusun. Ada dua pintu. Satu di sebelah rak buku dan satu lagi di dinding bertentangan. Selain daripada tu bilik kecil dengan lantai berkarpet biru tua tu kosong.
Aku kena culik?
Tombol pintu di sebelah rak buku tu tiba-tiba dipulas dari luar. Lembaga berjubah melangkah masuk.
Badan terus terasa keras beku.
"Brother, you awake?" lembaga tu menegur. "It's 'asr. "
Perutusan daripada otak: Lokasi – Masjid Punchbowl.
Fend hanya mampu mengangguk. Otak punya pick up pun mangsa jetlag ke?
***
FEND MENGELAP RAMBUT yang basah dengan tuala. Bangun tidur tadi, lepas kejut Chad terus terkocoh-kocoh ambil air sembahyang. Nak kejar jemaah asar. Bukan nak sangat kejar jemaah tu sebenarnya, tapi sebab Tok 'Abdul Qadir tercongok aje tunggu kat situ. Mau tak segan dibuatnya. Habis solat baru balik ke ruang 'bilik tumpangan' ni. Mandi.
Fend memandang keliling. Memang la ni bukan hotel. Standard motel pun tak. Tapi cukup la buat tempat baring tempat berteduh daripada kena merempat tepi jalan. Masjid ni macam gabungan dua bangunan yang tersusun rapat-rapat. Bangunan utama yang besar tu tempat dewan solat. Bahagian depan untuk lelaki, bahagian belakang untuk perempuan. Ada dua tiga bilik kecil di bangunan utama tu juga. Ada yang berfungsi sebagai perpustakaan. Ada yang berfungsi sebagai bilik perbincangan untuk sesiapa yang memerlukan. Kata Imam Zakariyya tadi, kadangkala bilik-bilik tu digunakan untuk kelas mengaji, kelas Bahasa Arab, kelas fiqh atau Sunday school.
Bangunan lagi satu ni lebih kecil. Bahagian depannya diubahsuai jadi pejabat Australian Islamic Mission (AIM) dan pejabat masjid. Bahagian belakangnya pula ada beberapa bilik yang diubahsuai untuk tujuan kuliah juga. Bilik yang mereka duduki sekarang ni kadang-kadang digunakan untuk kuliah perbincangan. Tapi lebih kerap digunakan untuk penginapan sesiapa yang bermalam di masjid. Terbuka untuk siapa-siapa sahaja. Kata Imam Zakariyya, kadang-kadang ada orang tabligh yang datang untuk bermalam, kadang-kadang ada pelajar-pelajar sekolah sekitar atau universiti datang buat program dan bermalam, kadang-kadang ada musafir yang datang (macam dia orang!). Tak ada bayaran dikenakan, kata Imam Zakariyya lagi. Hanya sumbangan (atau kata Arabnya 'infaq') mengikut kemampuan boleh diberi pada tabung masjid.
Bersebelahan dengan bilik ni ada ruang dapur kecil yang berkembar dengan ruang belajar. Tak ada dapur untuk memasak pun. Hanya ada singki, ketuhar gelombang mikro, peti ais dan bekas-bekas untuk isi makanan. Dari ruang tu pula ada tangga turun ke bawah yang menghala ke arah tempat wuduk tambahan dan bilik mandi.
Fend berpaling ke arah pintu yang menghala ke ruang dapur apabila terdengar tombol pintu dipulas. Chad melangkah masuk sambil menggosok rambut dengan tuala.
"Cepatnya kau mandi." Tegur Fend. Tuala di tangan disangkut pada palang tingkap.
"Bulan puasa mana boleh mandi lama-lama. Makruh." Chad menjawab. Dia turut melangkah ke arah tingkap, nak menyidai tuala.
Fend hanya angkat bahu. Dia duduk di lantai. Belakang tubuh disandarkan ke dinding. Kaki dilunjurkan ke depan. Penat masih terasa berbaki sebenarnya. Kalau diikutkan memang dah nak lelap aje. Tapi karang terlajak pulak sampai waktu berbuka. Buat segan aje karang dengan Imam Zakariyya. Haih... penat!
"Chad?"
"Hmm?" Chad tengah menyelongkar Deuter entah mencari apa.
"Bila kita nak balik ni?"
Eh? Chad berpaling daripada Deuter. "Baru duduk sini tak sampai sekerat hari dah tanya bila nak balik?"
Fend kerut muka. Memang la lepas tengok The 11th Hour tu ada terasa nak ubah perangai jadi elok sikit. Tapi tak ada la pulak rasa nak jadi penunggu masjid!
"Kita duduk je la sini selagi lalu." Selamba je Chad menjawab. Dia terus kembali menyelongkar Deuter.
Fend melepas nafas panjang. Dah rasa tak tentu arah sebenarnya. Tangan dah gatal nak pegang Fender. Telinga dah rasa kosong sebab tak bersumbat dengan earbuds. Bosan pun ada sebenarnya. Benda apa sangat la pun yang boleh buat dekat masjid? Nak jamming menyanyi dah tentunya tak boleh. Nak tengok movie dekat Dell pun mesti la rasa malu-malu alah. Dalam kawasan masjid mana boleh buat benda bukan-bukan, benda sembarangan.
Dia memandang jam di tangan. Ada lagi lebih kurang sejam sebelum waktu masuk untuk berbuka puasa. Imam Zakariyya kata tadi tak payah susah-susah pergi ke luar. Berbuka di masjid aje. Biasanya orang bawa makanan macam-macam sampai tak terhabiskan, terpaksa dibawa balik agar tak membazir. Boleh dibuat makan sahur pun.
Akhirnya tali sandang rucksack ditarik. Beg sederhana besar tu diselongkar. Dua Puluh Empat Jam Dalam Kehidupan Seorang Muslim dibawa keluar.
Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang ~ (an-Nuur: 36)
(excerpts from Contengan Jalanan - Fend : 28)
PS:Punchbowl Mosque dah lain sekarang :')
YOU ARE READING
Contengan Jalanan (Ramadhan Excerpts)
General FictionThe Ramadhan excerpts from Contengan Jalanan (published May 2011, ISBN ISBN: 978-967-5118-53-1) Goodreads : https://www.goodreads.com/book/show/11194664-contengan-jalanan