SUBHANALLAH... ui... lawanya... tak nak balik aku kalau macam ni gayanya.
"Muka ayan macam tengok marka. Haih!"
Fend tak berpaling dari arah pandangannya ke arah The Three Sisters. Masih terpaku.
"Ayan sungguh la budak ni...." Chad menggumam. Boleh dia buat tak layan je dengar aku cakap.
"Lawanya...." Fend menuturkan di bawah sedar.
Chad menjulingkan mata ke langit namun bibirnya mengukir senyum juga. Dia turut sama melontarkan pandangan ke arah hala mata Fend.
The Three Sisters.
Bukan perempuan, hatta orang pun bukan. Batu dan banjaran gunung kut ya.
Hari ni mereka buat trip ke Blue Mountains, salah satu tempat tumpuan pelancong yang agak berhampiran dengan Sydney. Dekat tak dekat, rasa kebas jugak la pinggang sebab duduk lama dalam kereta api nak ke sini dari Sydney subuh tadi. Malam tadi mereka study peta dan tourist guide yang dibawa oleh Akmal dan Brother Ahmad Senna.
Blue Mountains ni sebenarnya banjaran gunung. Pemandangan memang melaut-laut. Ada bus trip dengan Blue Mountains Explorer Bus yang singgah di stesen-stesen yang merupakan tempat-tempat menarik keliling kawasan ni. Lebih kurang macam bas hop on-hop off. Salah satu tempat perhentiannya, di Echo Point yang menempatkan gunung The Three Sisters ni la. Seronok berjalan tengah-tengah minggu ni sebab tak ramai orang. Tak payah nak bersesak-sesak.
Kalau di Malaysia ada Pulau Dayang Bunting yang dinamakan sempena bentuk gunung yang seperti wanita hamil, di Blue Mountains ni The Three Sisters dinamakan sempena bentuknya yang berupa tiga tugu adik-beradik perempuan yang dikatakan kena sumpah jadi batu. Terus jadi batu gunung.
Fend menggaru kepala sambil membaca plak di tempat lookout tu yang menceritakan mitos di sebalik nama. Macam-macam... cakap aje la Allah dah buat macam tu, kan senang?
Dia kembali melempar pandangan ke arah jajaran-jajaran gunung yang melaut-laut. Memang nampak biru. Sebab tu agaknya dipanggil Blue Mountains. Nikon yang tergantung di leher ni entah dah menyimpan berapa ribu gambar dah agaknya sejak mereka naik bas dari Station 1 di Katoomba tadi.
Paling lama masa di Scenic World di Station 12. Mananya tak lama. Kat situ turun aje bas, mula-mula naik Skyway, lepas tu naik Railway, lepas tu berjalan bushwalking di Walkway, dan akhirnya naik Cableway. Dah habis tu memang mencungap dan hanya boleh sebut 'adei'.
Skyway tu macam kereta kabel, panjangnya masya-Allah. Tujuh ratus dua puluh meter. Menyambungkan satu banjaran ke banjaran sebelah. Lantai lut sinar pulak tu! Dah la tinggi 270 meter dari segala jurang kat bawah tapak kaki. Gayat! Railway tu pula kereta api terbuka ala roller-coaster turun lereng curam gunung. Lepas tu berjalan di Walkway, merentas hutan Australia sambil tengok sisa tinggalan lombong arang batu. Dah jenuh berjalan, naik balik ke puncak gunung tempat stesen Railway tu dengan naik kereta kabel Cableway.
Penat. Tapi puas hati.
"Chad?"
"Hmm?"
"Aku rasa aku boleh buat dua portfolio terus dengan trip datang Australia ni." Fend membetulkan rambut yang ditiup angin gunung. Rambut dah berserabut macam sarang helang kena tiup dek ribut! "Satu fasal city, satu fasal nature. "
"Bagus la tu. Tak ada la cuti sia-sia. "
Fend angguk.
Angin yang bertiup di tengah banjaran tu memang kuat sungguh. Kalau badan sekeping memang boleh melayang agaknya tercampak masuk jurang kat bawah tu.
"Chad?'
"Hmm?"
"Thanks."
"Tara hal." Tangan kanannya memaut bahu Fend.
Pandangan mereka kembali dilontar ke arah The Three Sisters.
***
SEISI BILIK KECIL tu hanya diisi deru kipas yang berputar di siling dan dengung Dell yang terpasang. Hanya sesekali diselangi bunyi halaman buku yang diselak. Fend tertiarap di depan Dell dengan Nikon di sebelah.
"Kau sengih tengok apa?" Chad yang sedang membaca Hadith 40 renung Fend dengan kening terangkat sebelah. Tiba-tiba aje sengih sorang-sorang.
Mata dialih daripada skrin Dell. "The Three Sisters and The Two Brothers." Fend ketawa.
Huh? Chad muka kelam.
Ketawa Fend masih bersisa. Dia mengalihkan skrin Dell agar menghadap Chad.
Gambar mereka berdua dengan The Three Sisters di belakang. Bibir Chad turut mengukir sengih. "Patut kita angkut Aidid sekali datang sini. Baru kena The Three Sisters and The Three Brothers." Ujarnya sambil menggosok dagu.
"Macam la dia nak tinggal Nora tu. Orang baru kahwin la, bro." Fend menjulingkan mata ke langit. Skrin Dell dialih agar kembali menghadapnya.
"Orang tua-tua kata sayang isteri tinggal-tinggalkan apa...."
Fend cebik. "Kau tu cakap je lebih. Nanti kau dah kahwin, kau yang tak boleh berenggang dengan isteri agaknya."
Chad buat muka. "Walaupun aku ni berhati halus dan lembut, jiwa aku dibuat daripada aluminium kau tau?"
"Malas nak layan." Fend kembali pada kerjanya mengedit gambar.
Chad ketawa sambil menggeleng. Dia menyambung bacaan yang terhenti di syarah Hadis 10.
Tadi mereka naik kereta api untuk bertolak pulang dari Katoomba ke Sydney lebih kurang petang. Sampai ke Central Station lebih kurang lagi sejam sebelum masuk waktu maghrib. Naik pula kereta api ke stesen Punchbowl, dan kemudian Bapak Tono pick up dari stesen untuk pulang ke masjid. Sampai masjid terus mandi, lepas tu terus tolong menghidangkan juadah berbuka. Kemudian terus sambung dengan rutin maghrib, tadarus, isyak, tazkirah dan tarawih yang biasa. Bacaan Quran hari ni banyak cover waktu dalam kereta api Sydney-Katoomba dan Katoomba-Sydney aje. Jalan sehala dah dua jam. Pergi balik empat jam tu dapat juga la habis satu juzuk, alhamdulillah.
Dah habis segala urusan, sekarang ni dengan urusan kerja mengedit gambar pula. Kalau buat kerja ni siap cepat, submission lepas raya nanti tak payah pening-pening dah. Chad tengah sambung baca Hadith 40 untuk background reading sesi dengan Bapak Tono esok.
Masa 24 jam sehari tu cukup untuk buat segala macam urusan sebenarnya kalau diuruskan dengan betul.
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain ~ (al-Insyirah: 7)
(excerpts from Contengan Jalanan - Fend : 36)
YOU ARE READING
Contengan Jalanan (Ramadhan Excerpts)
Художественная прозаThe Ramadhan excerpts from Contengan Jalanan (published May 2011, ISBN ISBN: 978-967-5118-53-1) Goodreads : https://www.goodreads.com/book/show/11194664-contengan-jalanan