" Walau di mana sahaja kalian berada,baliklah.Sedarilah bahawa ia bukanlah dunia kalian yang sebenarnya. Wahai Indah Nasuhah binti Siti Aminah. Kembalilah atas nama Tuhan mu yang menguasai langit dan bumi.. "
Indah mencengkam kedua-dua cuping telinganya sambil menahan rasa aneh yang terasa menyendat ke pangkal dada kerana setiap kali mendengar suara tersebut, bukan sahaja nafasnya tersengal-sengal malahan juga kepalanya mendadak pusing tidak tertanggungkan.
Dalam keadaan bersendirian begitu, dia tidak tahu hendak bertanyakan kepada siapa. Kelibat Tun Indera, Aduka, Abu Zarr, Naufal,Nik dan Tun Fatimah tidak kelihatan di mana-mana.
Gema suara tersebut begitu dekat bahkan sepertinya dilafazkan ke cuping telinga membuatkan Indah kebingungan sendiri. Bukan dunianya yang sebenar? Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh suara tersebut?
Pertemuannya dengan Penghulu Paduka Haji dan seluruh penduduk permukiman amat nyata untuk disangkal.Menunggangi cenderawasih begitu juga berlayar di atas Raja Segara untuk ke Pauh Janggi terlalu aneh jika dikatakan sebagai khayalan.
Begitu juga dengan pertarungan serta kejadian dia hampir menjadi tumbal persembahan kepada penguasa kegelapan tempoh hari. Gerusan kuku tajam pada pipinya masih belum sembuh sepenuhnya dan amat pasti akan meninggalkan parut.
Lalu maksud suara tersebut apa sebenarnya?
" Kalian akan terus berada di sana, Indah. Sedarlah!! "
Dalam kebingungan, Indah mengerjapkan matanya berkali-kali. Pohon-pohon tinggi menjulang langit tidak kelihatan di mana pucuknya. Bahkan saiz pohon tersebut sama sahaja.Hitam berlumut sebesar dua tiga pemeluk dengan akar yang bertimbulan dari permukaan tanah sementara daun yang luruh saling bertindihan di atas permukaan tanah yang becak dan berbau hanyir.
Sudah hampir lunas tenaganya menapakkan kaki untuk segera keluar dari hutan aneh tersebut namun segalanya tampak seperti tidak membuahkan hasil.Menambah bingungnya,pohon yang digerus menggunakan serpihan batu sebagai penanda telah ditemuinya semula sebanyak lima kali menandakan bahawa sebenarnya dia hanya bergerak rebah-rempah hanya untuk sampai ke tempat permulaan.
Dia sedang berjalan untuk kembali sekali lagi ke tempat dia bermula!
Keringat yang meleleh pada pelipis terasa pedih ketika memasuki mata diseka perlahan dan dalam masa yang sama dia cuba mengatur semula nafas yang menyendat leher.
Memandangi pucuk kayu yang sayup ke atas, sekali lagi Indah mengerahkan sisa kudratnya untuk melangkah namun kali ini kaki tidak beralasnya mendarat pada permukaan licin membuatkan dia tersembam ke hadapan.
Kohong lumpur diludahkan keluar dari dalam mulut sambil dia menyapu wajahnya yang turut dipaliti.Pakaiannya sudah lama coreng-moreng.
Rasa putus asa sangat jarang hadir dalam kosa kata hidup Indah tetapi dalam keadaan begitu,buat beberapa detik air matanya mulai bergenang perlahan-lahan. Letih, dahaga dan lapar membuatkan kakinya semakin lama semakin berat waima hanya untuk melangkah ke hadapan.
Menahan sedu yang menggetar bahu, dia merapatkan lututnya ke atas permukaan tanah lalu meletakkan dahinya perlahan-lahan. Sujud menyembahkan diri kepada yang menciptakan seluruh isi langit dan bumi. Menggantungkan harapan terakhirnya dengan segenap jiwa.
" Aku tidak berdaya lagi, Ya Allah... "
+ + +
Fahri memalingkan wajah.Enggan berlama-lama memandangi bingkai wajah bernuansa pucat yang sedang terbaring di atas katil dan berserkup selimut sehingga ke pangkal leher itu. Bukan sahaja rasa hatinya tidak nyaman bahkan seperti ada bilah-bilah tajam yang menujah belakangnya ketika itu membuatkan dia cepat-cepat menjauhi katil.
Kejadian yang dialaminya sudah tentu tidak diceritakan kepada sesiapa selain Pakchu Deris.Lelaki berusia tersebut buat kesekian kalinya berlagak seakan dia sudah menjangka hal tersebut dan sedaya upaya untuk kelihatan bersahaja tetapi air mukanya berubah juga buat beberapa saat.
" Katakan apa sahaja, pakcik. Akan kita laksanakan.. "
Fahri tunduk menekuri hujung kakinya dan berat sekali untuk mengangkat wajah. Dia tahu dia tidak layak mendapat kemaafan namun dia juga sedar dia perlu melakukan hal tersebut demi kemaslahatan semua.
Seseorang perlu memutuskan lingkaran takdir aneh tersebut dan dia merasakan dia perlu memulakannya.
Aneh sebenarnya jika difikir-fikirkan bagaimana mereka saling berhubung kait antara satu sama lain.Dan yang lebih aneh daripada sekian banyak hal, mereka tidak bersalah langsung tetapi terpaksa menanggung beban akibat kesilapan yang sebenarnya boleh dielakkan jika berkeinginan.
" Jadi, semua yang berlaku disebabkan... "
" Sekali lagi maafkan kita, pakcik. "
Pakchu Deris diam seribu bahasa dan dalam masa yang sama pandangannya silih berganti antara wajah cucunya yang seakan-akan sedang terlelap dengan nyenyak itu lalu kepada Fahri yang tidak berani menentang pandangannya.
" Lalu, apa yang Fahri akan lakukan? "
" Apa sahaja, pakcik. Apa sahaja untuk mengakhiri semuanya. Akan kita
lakukan."Dia tahu pemuda itu tidak bergurau ketika mengatakan hal tersebut. Kesungguhannya ketika mengatakan hal tersebut tidak boleh dinafikan bahkan kerana itu dia sanggup mengakui hal yang boleh dianggap sebagai satu aib buat keluarganya sendiri.
Dan kini, tiba-tiba sahaja kemalangan yang berakibatkan cucunya terlantar berbulan-bulan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan sejarah hitam keluarga tersebut serta kaitannya dengan Sapta Adhyasta.
Cucunya-Indah Nasuhah- dipercayai terlempar ke alam sebelah dan disesatkan sehingga tidak mampu untuk membezakan antara realiti dan khayalan hanya kerana dia merupakan antara tiga susur galur nasab yang pernah memenjarakan Kasturi lama dulu.
Apa boleh diterima akalkah?
Sapta Adhyasta. Satu nama yang sayup-sayup pernah didengari oleh Pakchu Deris tetapi dia tidak pernah mengambil berat akan hal tersebut. Entah apa dan bagaimana asal muasal nama tersebut tidak ada sesiapa pun yang tahu.
Tentu sahaja dalam suasana masyarakat moden alaf 21,segala sesuatu yang berhubung dengan dunia mistik merupakan sisi gelap yang dipandang serong. Lalu, tanggapan apa yang akan dilekatkan kepada keluarga mereka apabila rahsia besar tentang bagaimana mereka berkaitan dengan persekongkolan gelap sebegitu?
Ikatan yang terlalu berakar umbi dan berdarah daging dalam keluarga mereka perlu diakhiri kerana lihatlah kejahatan tersebut telah membawa mereka sehingga ke mana. Ia bukan sahaja melibatkan keluarga mereka tetapi juga keluarga yang lain.
Dia-Ahmad Fahri Ahmad Hasyim -keturunan ketujuh Kasturi si simpai keramat yang tersilap memilih akibat keterpurukan hidupnya berazam untuk memutuskan ikatan gelap antara keturunan mereka dengan sang Marid walau apa sahaja halangannya!
+ + +
" Berani anak hingusan itu cuba menentang aku?! "
Wajah tanpa bingkai yang jelas itu mencerunkan penglihatannya sambil menyumpah seranah.
" Dasar tidak mengenang jasa!! "
+ + +
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...