" Kita tidak akan sempat sampai ke permukiman sebelum senja dalam keadaan begini.."
Aduka berbisik perlahan seraya mengerling dua bingkai wajah yang masing-masing pucat lesi seperti kertas di sampingnya.Melihat raut wajah Naufal yang jelas masih kelihatan terkejut dengan apa yang telah menimpanya,mereka diam.Memandang wajah Indah yang berbirat ungu dan sudut bibir yang terkoyak,tidak ada yang sampai hati untuk bertanya apa-apa kepadanya.
Baik Tun Indera mahupun Aduka- mereka berdua cukup arif Indah juga Naufal baru sahaja mengalami satu kejadian yang sangat mengerikan dan hampir tidak masuk akal sebenarnya.Naufal sendiri masih lemah dan sebentar-sebentar memuntahkan segala isi dalam perutnya berupa cairan berbau yang likat dan hitam kehijauan itu.
Mereka tahu.Cairan yang dimuntahkan Naufal bukan setakat cairan biasa melainkan seduhan herba yang diratibkan serapah pelupa dan melihat bagaimana Naufal memuntahkan cairan tersebut hampir tidak berhenti-henti,mereka tidak tahu sudah sebanyak mana dia disuguhkan minuman tersebut semasa dikurung dalam perkampungan Rawa Jejawi.Walaupun tidak terlalu lama,penunggu Rawa Jejawi pasti punya banyak cara agar pemuda itu meminum sebanyak-banyaknya seduhan jampi tersebut.
Indah hanya memerhatikan Naufal dengan rasa hati yang renyuk kerana setiap kali dia selesai memuntahkan cairan hitam begitu,sesekali kedengaran Naufal menggumamkan sesuatu lalu bersujud lama.Tersedu-sedu menahan rasa hatinya dan Indah tahu ada sesuatu yang telah berlaku kepada pemuda tersebut.
Pasti ada ibrah yang dikutip Naufal daripada pengalaman ngerinya membuatkan suasana hatinya rentan sekali pada ketika itu.
Sementara itu,Indah juga tidak berada dalam keadaan jauh lebih baik berbanding pemuda tersebut.Masih duduk membungkus tubuhnya dengan helaian kain yang diberikan Tun Indera,gadis tersebut senyap seribu bahasa.
Dari hujung mata,Tun Indera dapat melihat sesekali Indah tampaknya seperti ingin bertanya sesuatu tetapi entah apa yang hendak ditanyakannya membuatkan dia segera menyurutkan niat lalu mendiamkan diri semula.
Abu Zarr tidak kelihatan di mana-mana.Menyedari hakikat bahawa mereka tidak akan sempat sampai ke permukiman sebelum senja dengan berjalan kaki begitu,dia berpamitan kepada para sahabatnya dengan alasan untuk mendapatkan sampan daripada warga permukiman yang berdekatan.
Dalam keadaan Indah juga Naufal begitu,berjalan kaki akan jauh lebih lambat dan sukar.Hasil perbincangan singkat mereka,menggunakan jalan air lebih pantas tetapi mereka terpaksa menempuh selirat sungai yang berliku-liku ke hulu.
Selepas beberapa ketika,Abu Zarr muncul semula dari sebalik rimbunan pohon dan kelibatnya segera disambut oleh Aduka yang menghampirinya serta-merta.Menggamit Tun Indera agar segera menghampiri mereka berdua.Berbicara sebentar dalam nada yang rendah.
" Naufal.." Tun Indera menepuk bahu pemuda itu yang kelihatan rapuh jika ditatap dari belakang." Kita terpaksa meneruskan perjalalanan sekarang.Bolehkan?
Naufal tidak menyahut tetapi sebaliknya menganggukkan kepalanya sekali dan mengukirkan lorek senyum lemah pada ulas bibirnya.Bungkusan berisi makanan segera disandang dan Aduka pantas memaut bahu pemuda itu.Indah yang menyedari mereka perlu segera bertolak juga bangun dari tempat duduknya.
Hari semakin terang ketika mereka sampai ke tebing sebuah sungai yang landai dan pada pancang yang terpacak ,sebuah sampan terapung tenang dalam riak air yang mengalun perlahan.Ramping dengan lunas yang tidak besar.Sedang muat untuk dinaiki oleh tiga atau empat orang pada satu-satu masa.
Tun Indera menaiki sampan tersebut terlebih dahulu dengan pendayung pada tangannya lalu diikuti oleh Indah dan Naufal.Abu Zarr dan Aduka juga menaiki sampan tersebut setelah menanggalkan tali penambat pada pancang.
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...