Ingin mati sahaja rasanya Naufal dalam keadaan dia tidak lagi mampu untuk berteriak.Kerongkongnya perit sekali dan jika Aduka tidak mengasihaninya yang sudah lembik itu,maka Naufal juga tidak berasa kasihan sedikitpun apabila menyedari gegendang telinga Aduka mungkin boleh meledak mendengarnya terjerit-jerit ketakutan di belakang.
Tunggangan Aduka yang diberi nama Merah Jingga bersesuaian dengan warna bulu pada seluruh tubuh Cenderawasih itu yang berwarna jingga sementara warna surai belakangnya yang panjang menjulai merah darah itu terbang laju.
Sesekali mengepakkan sayap dalam keadaan menaik namun ada ketikanya burung tersebut menukik turun dengan kelajuan yang menyeramkan dan ketika itulah tanpa berfikir dua kali Naufal akan memaut hujung baju yang dipakai Aduka.
Jari-jemari kaki Naufal yang hanya bercapal itu terasa dingin dan capalnya yang tidak tetanggal dalam keadaan begitu sudah cukup mujur.Gumpalan awan tipis sesekali menghalang penglihatan Naufal tetapi tidak bagi si cenderawasih itu.
Dengan kelajuan yang tidak berkurangan sedikitpun,haiwan tersebut mengepak-ngepakkan sayapnya dan sesekali meluruskan sayapnya ke belakang jika sedang terbang menurun.Seluruh tubuh Naufal seperti kehabisan tenaga dan menghairankan juga bagaimana dia tidak terjatuh dalam keadaan seperti itu.
Hendak mendakap kejap batang tubuh Aduka yang tenang mengemudikan cenderawasih itu,pasti aneh jadinya.Ia akan mirip sekali seperti adegan drama purba Korea yang menjadi kegilaan teman-teman siswinya di fakulti sana.
Hero yang tampan tinggi lampai mengenakan Hanbok sutera sementara sang heroin pula cantik dengan wajah halus bak telur dikupas.Menunggang kuda dalam suasana berangin dan ada pula kelopak bunga sakura yang berguguran entah dari mana.
Naufal bergidik antara dingin dan ngeri.Geleman tepatnya.Geli .
Mati la nakk !
Dan demi memikirkan hal itu,Naufal tidak perduli jika cengkamannya pada helaian bulu cenderawasih itu terlalu kejap dan tidak mustahil boleh menyebabkan pelepah si Merah Jingga tercabut. Togel sekalipun Naufal tidak kisah ! Mujur juga si Merah Jingga tidak menggelupur kesakitan dengan cengkaman kejap Naufal pada pelepahnya.Jika tidak,dapat-dapat kejadian jadi lain.
Merah Jingga yang mengencangkan kepakan sayapnya membuatkan Aduka dan Naufal memintas cenderawasih tungganggan Tun Fatimah dan seketika Naufal menoleh.Sekali imbas begitu,Indah tampak persis sekali dengan susuk pesilat wanita yang pernah dilihatnya di dalam televisyen yang menyiarkan rancangan sukan.
Kerudung putih gadis itu dimasukkan ke dalam leher baju berleher cekak musang sama seperti apa yang dipakai Naufal dalam versi warna yang sama. Putih gading bertekat benang perak.Sementara baju luarnya berwarna hijau pucuk pisang dengan kepala pending yang lebih kecil dan bermotif sekuntum bunga.Tanjak yang membalut kepala bertudung Indah juga berwarna hijau dengan letak puncaknya jatuh ke sebelah kanan.
Berbeza daripada Naufal yang diberikan sebilah keris hitam tidak berpamur dengan nama Pengawak Raja itu,Indah pula dibekalkan dengan sebuah busur dan beberapa batang anak panah yang tersimpan di dalam sebuah bekas daripada kulit. Sang Sahmura.Begitu nama panah tersebut yang sempat membuatkan Naufal mengernyit aneh.Namun,perduli apalah dia tentang itu semua.Apa yang penting,dia mahu hidupnya menjadi normal lagi seperti sebelum ini.
Memikirkan semula kejadian awal pagi tadi di anjung rumah limas bertiang tinggi Penghulu Paduka Haji,ia tidak ubah bagaikan upacara penyerahan selempang kepada anak murid yang telah berjaya menamatkan pembelajaran mereka.
Naufal pernah menyaksikan peristiwa itu sekali dua ketika kunjungannya ke rumah datuknya lama dulu.Sekumpulan pemuda yang lengkap dengan pakaian silat berwarna hitam menerima pentauliahan daripada sang guru berupa bengkung ataupun selempang yang berlainan warna menggambarkan tingkat pencapaian yang berbeza.
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...