-8-

301 53 19
                                    

" Kasturi !! "

Suara bentakan kasar menerobos mimpi pemuda itu dan satu guyuran air yang kasar menyembur wajah membuatkan Kasturi bingkas bangun seperti orang kebakaran rumah.

Tubuh tegap lampai Megat Awira yang masih memegang sebuah bejana pada tangan kanannya tegak dalam penglihatan Kasturi memaksa dia segera bangkit dan terpincang-pincang mengheret tubuhnya menjauhi susuk tampan sang majikan.Bukan sahaja akal warasnya masih belum pulih sepenuhnya malahan dia ngeri membayangkan bejana tanah liat itu akan dibaling ke arahnya kerana bukan tidak pernah dia mengalami hal sedemikian sebelum ini.

" Pemalas!! "

Megat Awira menyeringai seraya menatap Kasturi dari hujung kepala ke hujung kaki dengan pandangan jijik. Kasturi yang menyedari makna tatapan begitu segera menundukkan kepalanya dan dalam masa yang sama menyeka wajahnya yang basah akibat dijirus air secara kasar oleh Megat Awira sekejap tadi.

" Ampun, Megat.. " Kasturi merapatkan kedua-dua tangannya ke paras dada dalam keadaan masih tunduk " Hamba sedikit kesiangan. Ada apa gerangan Megat datang ke teratak hamba? "

" Kesiangan? " Megat Awira menujah dahi Kasturi sambil mengetap gigi " Matahari sudah naik sepenggalah, kau masih lena? Untuk itukah ihsan ayahnda dan bonda selama ini? "

" Katakan saja gerangan hajat tuan. Akan hamba kerjakan secepatnya. "

" Ikut aku ke Pelabuhan Teluk Kumbah. Ada barang yang ingin aku dapatkan daripada Saudagar Hassan. " Megat Awira menyahut dan kemudiannya melempar sesuatu tepat mengenai wajah Kasturi " Pakai Ini. Aku tidak mahu Puspa Anggrani pengsan melihat wajah mu nanti! "

Kasturi hanya tunduk rendah melihat pemuda itu berpaling lalu mencari pintu bangsal renta itu sambil menggumam sesuatu entah apa.Dengan wajah yang masih basah,Kasturi mencapai sehelai kain yang dicampakkan Megat Awira kepadanya tetapi tidak dapat disambutnya menyebabkan kain tersebut berlonggok di hujung kaki.

Dengan mata masih terkebil-kebil dan bingung yang masih bersisa, Kasturi memerhatikan kain yang dicampakkan Megat Awira kepadanya. Ia adalah sehelai baju labuh daripada cantuman pelbagai saiz perca kain Belacu yang dijahit secara semberono malah jahitan kain tersebut amat jauh daripada perkataan kemas dan rapi. Hanya jahitan kasar dengan menggunakan benang jut yang tebal .

Selain itu, ia juga tidak berlengan dan apabila dibelek lama-lama- ternyata ia adalah baju labuh yang mempunyai sehelai kain pada bahagian leher dan Kasturi segera memahami kegunaan pakaian tersebut. Tidak lain tidak bukan adalah sehelai jubah labuh yang diikatkan ke leher dan kain yang disambungkan ke jubah tersebut adalah selubung longgar bagi menyembunyikan wajahnya daripada penglihatan orang ramai yang pastinya berpusu-pusu ke Pelabuhan Teluk Kumbah setiap kali ada kapal yang berlabuh.

Keriuhan pasar pagi menenggelamkan bunyi gemertak ladam kuda yang ditunggangi Megat Awira dengan Kasturi mengheret kaki capiknya berlari terpincang-pincang di belakang kuda tunggangan sang majikan. Dua tiga orang yang berselisih dengan mereka segera menepi bagi memberi laluan kepada anak tunggal Penghulu Deraman itu.

Laluan pejalan kaki bertanah liat dengan warna kekuningan itu separa becak dek kerana diguyuri hujan awal malam tadi menyebabkan hujung baju labuh yang di pakai Kasturi sudah berselut dan kaki tidak beralasnya juga dipenuhi lumpur. Sambil tunduk serendah yang mampu menyembunyikan wajahnya, dia sesekali berhenti apabila berpapasan dengan penduduk kampung dan seperti kelazimannya-tidak ada seorang pun yang hirau dengan kehadiran Kasturi disitu.

Dari kejauhan,Kasturi sudah dapat melihat kelibat sang panutan hatinya dan ia sudah cukup membuatkan dadanya berdebar dengan amat hebat. Sepertinya gadis itu tidak ubah seperti bongkah cahaya yang terasa membutakan seluruh pandangan matanya dan mengikat lidahnya sehingga kelu hanya dengan lorekan senyuman sekilas yang merambat wajah bujur sirih tersebut tatkala tatapan mereka bertembung.

Kssturi yang buat beberapa detik merasakan kakinya tidak berpijak di atas permukaan tanah becak tersebut tiba-tiba sahaja menjadi tumpuan segenap pengunjung pasar pagi apabila tidak semena-mena jatuh tertiarap dan tempikan kasar Megat Awira kembali menghumban Kasturi ke dunia nyata dengan puluhan pasang mata menyorot aneh kepadanya.

Dengan wajah bermandi selut,Kasturi terlentang ke belakang dan melenguh kesakitan akibat menerima tujahan penumbuk dari sang majikan yang jelas berang.Dalam pandangan yang berpinar, Kasturi mengesat sudut bibirnya dan sekilas ada rasa payau dan hanyir bercampur dengan air liurnya ketika itu. Darah.

" Biadap!! "

Kasturi tergesa-gesa bangkit dan sambil tunduk mengheret kaki capiknya, dia mencapai tali kekang kuda tunggangan sang majikan.

" Ampunkan hamba, Megat." Kasturi tunduk lagi mengelakkan tikaman sinar mata Megat Awira yang menusuk penuh kebencian. " Hamba tidak sengaja. "

" Lain kali jangan biarkan penglihatan dan fikiran mu melantur ke mana-mana. Mengerti? "

Kasturi tunduk lagi tanpa mengiyakan kata-kata bernada kasar dari pemuda tersebut yang masih menatapnya dengan pandangan jijik seraya menyeka tompokan air berwarna kecokelatan yang sempat singgah pada hujung baju. Dari sebalik selubung yang menutupi wajahnya dapat dia merasakan tubuhnya menjadi tumpuan tatapan setiap pengunjung pasar pagi yang kedengaran mendadak senyap buat beberapa detik. Ada cemuhan dan suara-suara menghina yang tertangkap oleh indera pendengarannya.

" Puspa.. "

Nada suara Megat Awira sepertinya mendadak lembut dan dalam keadaan masih tunduk begitu, pandangan Kasturi menangkap sepasang kaki yang tersarung rapi didalam capal berwarna cokelat gelap dan barisan jari-jari kaki berkuku pendek yang kemas itu kelihatan terampil sekali.

" Tuan hamba tidak apa-apa? "

Suara halus nan gemersik itu menerjah gegendang telinga Kasturi dan ia membuatkan pemuda tersebut terundur beberapa langkah kebelakang.

" Hhhammbbaa... ttakk aaapa-aapa.. "

Kasturi tidak pernah merasakan gugup sedemikian rupa hatta hendak menyahut pun rahangnya terasa menggigil. Seumur hidup Kasturi, tidak pernah ada seorang pun yang berbicara dalam nada lembut begitu kepadanya. Kata-kata yang biasa memasuki relung pendengarannya hanyalah kata cemuhan, cacian dan makian dalam nada yang kasar.

" Angkat wajah tuan hamba." Sehelai sapu tangan berwarna putih dengan sulaman benang kehijauan yang timbul membentuk beberapa kuntum bunga mawar tergeletak kemas di atas tapak tangan gadis tersebut. " Bolehlah hamba memastikan yang tuan hamba tidak cedera. "

" Hhammbbaaa ttiddak aapa-aapa.."

" Kasturi tidak apa-apa, Puspa.." suara Megat Awira kedengaran " Janganlah Puspa khuatir akan perkara yang tidak-tidak. "

"Hamba yakin yang Kasturi tidak sengaja. Apa perlu tuan hamba memperlakukan Kasturi sehingga sedemikian rupa? "

Hampir serta-merta ada perasaan aneh yang mengembang di dalam dada Kasturi namun dalam masa yang sama juga dia tahu natijah yang bakal dihadapinya kelak kerana sudah pasti kejengkelan sang majikan akan dilampiaskan kepadanya tanpa teragak-agak sedikit pun.

" Sudahlah tuan hamba berdua. " Tergagap-gagap Kasturi menyahut demi merasakan ada keheningan yang mencengkam tiba-tiba " Hambba ttak apa-apa.."

" Ayahnda Saudagar Hassan ada? " Baru kedengaran suara Megat Awira setelah lama mendiamkan diri " Ada hal yang ingin hamba tanyakan. "

" Lanjutkan niat tuan hamba.Ayahnda ada di geladak ."

Dengan suara dingin Puspa Anggrani menyahut seraya berlalu meninggalkan Megat Awira dan juga Kasturi yang masih tertunduk-tunduk seakan berusaha untuk menyembunyikan wajahnya.

" Puih..!! " Suara rendah Megat Awira yang sempat meludah ke kanan membuatkan Kasturi serta-merta dipagut rasa bimbang kerana diam-diam suara begitu sudah sangat dikenalinya. " Puspa Anggrani!!  Tunggulah. Jangan panggil hamba Megat Awira! "

+              +            +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now