-22-

327 42 26
                                    

Lancang berperut ramping dengan haluan tirus nan rapi itu seperti menjadi semakin perlahan membuatkan Naufal segera berdiri dan menapak perlahan menuju ke hadapan.

Di tengah sinar matahari yang mulai tergelincir ke ufuk Barat, sebuah daratan mencuar dari tengah laut. Ia adalah sebuah pulau dengan hamparan pasir yang berkilauan ditampan sinar matahari sementara barisan pohon kelapa yang berjejer rapat melambai-lambai dipuput angin. Lalu ada pula rimbun-rimbun pohon hijau saling berdesakan pada jalur jalan setapak yang bersih.

Paras air yang sedikit surut menyukarkan lancang tersebut untuk merapati pantai memaksa Aduka melemparkan sauh agak jauh dari hamparan pasir.Sauh berat dilempar dan lancang Raja Segara teroleng-oleng dibadai ombak yang menggulung ke pantai.

Tidak ada yang bersuara dan sempat Tun Indera mengerling Naufal juga Indah yang jelas tertoleh-toleh ke segenap arah manakala Tun Fatimah hanya menyandang bungkusan kain pada bahu kanannya dengan senyap.

Dalam kecipak air jernih seperti hamparan kaca yang memperlihatkan butiran pasir halus serta hidupan-hidupan kecil di dalam air itu, mereka berlima melangkah senyap tanpa berkata apa-apa. Air jernih yang beraroma garam itu membasahi kaki seluar masing-masing namun tidak ada cara lain mereka ke daratan melainkan dengan meranduk sahaja air laut. Bukan sahaja kerana paras air yang surut tetapi juga kerana tidak ada pun kolek kecil yang menjemput mereka walaupun kedatangan mereka ke Pulau Pauh Janggi itu telah dimaklumkan dengan lebih awal beberapa hari sebelumnya.

Capal yang basah terbenam ke dalam pasir yang kering sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari gigi air dan tebing-tebing landai pantai dengan rumput renek menyapa penglihatan mereka. Seperti sebuah pulau yang tidak berpenghuni, aneh sebenarnya apabila tidak ada seorang pun penduduk Pauh Janggi yang kelihatan.

Tun Indera mencapai hulu keris di pinggang kirinya apabila wajah Aduka dilihatnya berubah seketika sebaik sahaja dia mengendus sesuatu di udara namun dia mengisyaratkan kepada sang sahabat agar terus melangkah ke hadapan kerana tidak mahu mencetuskan keresahan kepada Naufal dan Indah.

Walaupun Tun Indera tahu pulau tersebut tidak didiami oleh bilangan penduduk yang terlalu ramai namun suasana jalan setapak yang dilewati mereka itu luar biasa sunyi bagaikan kawasan permukiman tersebut tidak pernah didiami sesiapa.

" Allahu akhbar!! "

Aduka yang berada paling hadapan itu spontan mematikan langkah lalu tanpa sedar menggumam Asma Allah apabila sepasang matanya menangkap sebuah imej yang cukup membuatkan dia kelu seketika.

Di hadapan mereka, tanah landai yang subur dan menjadi seperti pintu masuk ke kawasan permukiman dengan beberapa buah rumah itu tidak lagi berwajah sebuah perkampungan.

Tidak ada lagi rumah-rumah bertiang tinggi dengan beranda luas tanpa dinding yang menghadap ke arah laut melainkan hanya sisa tiang yang tidak habis dimamah api. Di mana-mana, berserakan potongan arang yang diyakini sebagai sisa daripada gelagar ataupun bendul kayu binaan rumah para warga Pauh Janggi. Hujan pasti telah turun membuatkan tidak ada lagi timbunan abu di antara longgokan arang begitu.

Potongan kayu dan atap nipah yang tidak disinggahi lidah api berhamburan sebarang arah. Berselerak tidak terurus. Ada pula pecahan tembikar sisa peralatan pinggan mangkuk dan longgokan kain baju yang bertaburan di atas permukaan tanah.

Sedang Indah dan Naufal masih tergamam, Tun Indera bersegera mengelilingi runtuhan rumah tersebut bagi mencari sebarang tanda keberadaan penghuni kawasan tersebut.

Tidak ada!

Dan yang jelas, rumah tersebut dan beberapa buah lagi rumah lain yang terletak berhampiran dengannya juga mengalami keadaan serupa. Musnah tidak bersisa. Malahan tidak langsung kelihatan seorang pun penduduk pulau yang dilihat mereka setakat itu.

Maka, teka-teki mengapa tidak ada kelibat penduduk yang menjemput mereka menggunakan kolek terjawab sudah. Ada sesuatu yang telah berlaku di situ. Melihat longgokan arang pasti pulau tersebut bukan dibadai taufan melainkan telah diserang dengan rumah para warganya di bakar sehingga tidak bersisa.

Dengan mata yang membola, Indah mencampak bungkusan yang dijinjitnya lalu berlari menghampiri Tun Fatimah yang juga amat terperanjat dengan keadaan ketika itu.

Entah dari mana belasan batang tubuh berpakaian serba hitam dengan kain yang menutupi wajah dan hanya memperlihatkan mata sahaja muncul lalu mengelilingi mereka berlima.Malahan ada pula yang berterjunan dari rimbunan mempelam yang subur di sudut-sudut halaman.

Indah sudah bertemu belakang dengan Tun Fatimah dan siap siaga melilit selendang Cindai pada tangan kanannya sementara gadis yang seorang lagi pantas menghunus keris.

Tanpa sebarang isyarat, susuk-susuk tubuh itu menyerbu hampir serentak. Indah melonjakkan tubuhnya ke sebelah kanan lalu mendarat pada bahunya di atas permukaan pasir.Bingkas bangun lalu membuka kuda-kuda seraya sepasang matanya merayapi wajah tiga susuk tubuh yang mengerumuninya ketika itu.

Salah seorang daripada penyerang hendap itu meluru laju ke arah Indah namun tumbukannya hanya menyapu angin apabila Indah menepisnya dengan keras lalu mendaratkan satu penumbuk ke arah tulang rusuk lelaki itu membuatkan dia terdorong ke belakang. Kesempatan lelaki itu yang sedikit tergamam diambil Indah untuk menyebat wajah penyerang tersebut menggunakan kain cindai raja yang tercengkam kejap pada tangannya.

Menyedari bahawa gadis tersebut bukanlah seorang lawan yang mudah demi menyedari gerak tubuhnya yang siaga berupa langkah setapak demi setapak yang menyeret di atas permukaan pasir, lelaki berpakaian hitam itu mengetap gigi. Dengan tangan mencengkam sehelai cindai ,sepasang mata yang menyorot tajam bagaikan cuba membaca pergerakan mereka-langkah yang diatur itu bukan langkah sebarangan melainkan tapak dan bunga silat yang kemas dan padu.

Bagaikan mengerti isyarat daripadanya, salah seorang daripada lelaki itu menyerbu lagi namun kali ini menghayun sebilah parang yang berkilat matanya. Bersama bukaan langkah yang tegap dan yakin, Indah melilit cindai raja ke pinggangnya pantas lalu membawa kuda-kudanya ke hadapan sementara jari-jemarinya terkembang lentik seperti payung.

Tikaman parang panjang hampir sehasta lebih itu disambut oleh Indah dengan saukan tangan kanan bagi menepis mata tajam nan berkilat itu dan dalam masa yang sama mencengkam kejap pergelangan tangan lelaki tersebut membuatkan tubuh lelaki itu terlayah sedikit dan parangnya terlepas daripada genggaman.

Lalu pada ketika itu jugalah tumit kaki Indah menujah hulu hati dalam satu tendangan yang tepat dan berat. Sebaik sahaja penyerang tersebut terlentang ke permukaan tanah, giliran leher lelaki itu pula menerima hentakan kuat membuatkannya terkapar kesakitan.

Sementara itu, Naufal yang masih tergamam walaupun kaku tetapi akalnya tidak cepat mati. Dengan mengetap gigi, tangannya meraup segengggam penuh pasir lalu dihamburkan tepat ke wajah dua lelaki yang cuba menangkapnya ketika itu.Tatkala kedua-dua lelaki itu terundur-undur menggosok mata, ketika itulah tanpa berfikir dua kali Naufal melepaskan penendang yang hanya selalu dilihatnya dalam filem-filem kungfu aksi Hong Kong.Walaupun demikian, tujahan kaki Naufal berjaya juga membuatkan kedua-dua lelaki penyerang itu terjengkang ke belakang.

Tanpa sempat Naufal berbangga dengan tendangan serta serangannya yang sangat tidak disangka-sangka hatta kepada dirinya sendiri pun apatah lagi keinginannya untuk menepis hidung dan bertempik dengan tempikan khas ala Bruce Lee itu, seorang lagi penyerang menyerbu namun serangan tersebut sempat dilihat oleh Tun Fatimah.

Busur panah dan anak panah kepunyaan Indah yang tergeletak berhampiran kakinya segera diraih sepantas kilat. Tepat hanya beberapa detik sebelum badik pendek penyerang itu hinggap ke belakang Naufal, sebilah anak panah sudah tertancap pada lehernya membuatkan dia tumbang dengan mata terbeliak.

" Tuan hamba tidak apa-apa, Naufal? "

Dengan wajah berjejeran peluh dan pasir pada pakaiannya, Tun Fatimah berlari pantas ke arah Naufal yang tergamam seperti disambar petir itu.

" Ssayyyaaa ttaakkk appa-apa.. "

Belum sempat Tun Fatimah menghela nafas,telinganya menangkap satu bunyi yang nyaring dan tajam entah dari mana manakala Tun Indera, Indah dan Aduka yang tampaknya berjaya menumbangkan lawan masing-masing saling bertukar pandang dengan tatapan cuak bercampur gusar. Mereka kenal bunyi itu.

Isyarat untuk memanggil seseorang atau sekumpulan orang!

+ + +

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now