Alhamdulilah.. Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT kerana memberikan ilham untuk menyiapkan naskah maya yang tidak seberapa ini.
Secara jujur, saya mengakui naskah kali ini sangat jauh dari perkataan BAIK. Terlalu banyak kekurangan.Satu genre yang sangat berat dan terlalu banyak yang perlu diperhalusi. Namun demikian saya akui proses panjang untuk menoktahkan cerita ini satu pengalaman yang amat berharga.
Ceramah dan tulisan para guru dan ulama muktabar saya belek dan teliti. Walau tidak berguru secara bertalaqi,luapan semangat dan keinginan saya untuk menzahirkan interpretasi tentang cerita ini ke atas skrin maya sangat mengujakan.
Melalui Sapta Adhyasta saya belajar menggali akar umbi budaya yang selama ini sangat terabaikan.Siapa yang perduli tentang silat dan falsafahnya sedangkan kita boleh mengacu pistol atau memacak pencak seni bela diri seperti Taekwondo atau Judo untuk mempertahankan diri?
Ataupun siapa yang mahu ambil tahu tentang pakaian tradisional Melayu dan nusantara sedangkan berderet jenama terkenal dari luar negara yang diperagakan pula oleh para model bertampang rupawan? Yang menghantar mesej jelas bahawa jika kita memakai pakaian jenama mereka, kita akan mendadak tampan atau jelita beberapa kali ganda.
Lalu saya? Mengangkat genre cerita yang sangat jauh dari jalur arus kesukaan para pembaca. Lalu, jadilah lapak Sapta Adhyasta ini seperti adanya kini.
Tapi, kalau bukan kita-siapa lagi? Mereka dari Timur Jauhkah? Atau mereka dari arah Barat yang menjadi kiblat segala piawai manusia bertamadunkah? Tidak akan pernah!
Ketika jari asyik menekan butir aksara lalu aksara berubah menjadi potong demi potong ayat yang melukiskan sebaik mungkin plot, watak dan perwatakan,tenggelam dalam masyuk fana imaginasi
-pintasan perasaan rupanya menjadi asbab untuk saya terkedu seketika.Sesungguhnya, setiap inci anggota akan dipertanggungjawabkan di hadapan-Nya kelak !
Jujur. Ini bukan pengakhiran asal yang sudah lama saya rangka dalam draf dan kerana itulah bab-bab terakhir cerita ini hambar dan terlalu mendadak. Saya mengubahnya pada saat akhir.
Aduhai, khilafnya saya...
Akhir sekali untuk para pembaca.Saya sememangnya tidak mengenali tuan-tuan dan puan-puan yang budiman secara peribadi tetapi kata semangat dan komen-komen daripada anda merupakan satu terapi yang sangat menyenangkan.Mohon maaf jika sepanjang kebersamaan kita di beranda Sapta Adhyasta ini ada kata-kata yang mengguris hati.
Sesungguhnya yang baik-baik itu datangnya daripada Allah SWT sementara yang buruk datangnya daripada khilaf saya sebagai hamba yang lemah. Saya kongsikan sepotong ayat Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi ketika menyiapkan naskah maya ini.
Semoga kita akan sentiasa terlindung daripada perkara yang akan menjadi punca kemurkaan-Nya. Insha Allah.
Berlabuhnya sauh tinta Sapta Adhyasta:
16/03/2021
bersamaan dengan
2 Syaaban 1442 Hijrah
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...