-21-

371 44 46
                                    

Malam telah lama berlabuh,bahkan mulai menjelang dinihari namun Indah masih tidak dapat melelapkan matanya. Sesekali dia berkalih daripada kedudukan melentang lalu berbaring pada rusuk kanannya. Menyusupkan tangan kanan ke pipi dan menggumamkan doa tetapi rasa kantuknya tetap tidak kunjung tiba.

Tun Fatimah di sebelahnya sudah lama lelap. Sejujurnya, Indah masih belum terbiasa dengan keadaan begitu. Berbaring di atas papan tanpa alas masih tergolong hal yang boleh diterima oleh Indah.

Apa sangatlah setakat berbaring tanpa alas begitu tetapi bunyi derakan kain layar yang merentang megah di tengah lancang serta olengan yang sesekali terasa kuat tatkala lancang dengan nama Raja Segara itu merempuh gulungan ombak membuatkan Indah tidak mampu untuk melelapkan matanya  waima hanya sedetik dua.

Ada rasa pening yang bercampur dengan rasa mual. Samar-samar menggodak perut yang sedari tadi hanya diredakan rasa laparnya dengan memakan dua biji pisang.

Purnama tua nan pucat yang bergulir perlahan sudah lama condong ke langit barat. Tersembunyi di sebalik jaluran awan nipis menyisakan dada langit yang gelap dengan jutaan bintang mengerlip di antara kegelapan dinihari yang pekat.Sementara itu bunyi deburan perut lancang yang dihentam ombak dibawa oleh angin yang mendesau perlahan.

Bangkit terhuyung-hayang, Indah menapak seperti bertatih dengan tangannya berpaut pada tubir perut Raja Segara meninggalkan Tun Fatimah yang tidur pulas di dalam kabin.

Sementara itu, di atas geladak-tubuh Naufal berbaring mengerekot di sebelah Aduka yang tidur bersandar dalam keadaan berpeluk tubuh.

" Maafkan kita kerana melibatkan Indah. "

Langkahan kaki Indah yang telah dibuat sesenyap mungkin itu terpaku di atas lantai geladak lalu dia menoleh ke haluan lancang. Dalam simbahan cahaya bulan yang pucat, tubuh Tun Indera tegak dalam penglihatannya.Berdiri di hujung geladak dengan kedua-dua tangannya terpeluk di hadapan dada.Tidak mengendahkan terpaan angin dinihari yang sebenarnya semakin dingin.

" Bersangka baik sahaja dengan perancangan Tuhan, Indera. Saya percaya itu. "

" Lapar? "

" Cuma tidak boleh melelapkan mata." Indah menjawab jujur.

" Cubalah untuk lelap walaupun sebentar. Kita masih perlu untuk berjalan kelak. "

Indah tidak mengangguk tetapi tidak pula menggeleng.Senyap sahaja .Membiarkan kesenyapan merajai suasana.Bunyi layar yang berderak-derak dan debur ombak yang menghempas lambung Raja Segara.Haluan tirus lancang itu membelah angin ,laju menuju ke tempat yang dituju.

Jika sahaja Indah dapat melelapkan mata,mungkin masih terbilang mujur kerana apa yang mengganggunya hanyalah rasa terbuai-buai akibat olengan lancang tersebut tetapi tatkala hari menjelang siang kelak,kebiruan laut yang tidak bertepi dan saujana mata memandang semakin memburukkan keadaan Indah .

" Indah.."

" Usah perdulikan saya.Teruskan sahaja dengan pekerjaan Indera.Kerana saya tidak boleh melelapkan mata,saya tidak mahu pula mengganggu Fatimah yang letih.Saya akan cuba untuk tidak mengganggu .."

Demikian kata Indah dan dalam masa yang sama dia cuba untuk bangkit .Ketika lambung Raja Segara merempuh gulungan ombak,Indah terhuyung-hayang dan hampir tumbang jika tangannya tidak pantas mencengkam tiang seri di tengah geladak.

Melihat Indah seakan-akan hendak tumbang,Tun Indera pantas berdiri namun menyurutkan niatnya serta-merta.Sambil berdehem dan terbatuk-batuk kecil,dia melabuhkan semula letak punggungnya ke permukaan geladak haluan lancang tersebut.Membuang pandangannya ke dalam kegelapan malam yang semakin tipis.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now