-11-

358 51 15
                                    

TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI MEMPAWAH.
TIGA MINGGU SEBELUM

Lelaki dalam hujung usia 50-an itu masih juga belum terlelap walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Sedang khemah lain yang berselerak di sekitar tempat tersebut rata-rata sudah gelap kerana para penghuninya sudah lama larut dalam mimpi sendiri, khemah utama yang dijadikan markas projek itu masih pula terang-benderang.

Tepat di bawah lampu yang tergantung rendah di tengah khemah, terdapat satu meja panjang yang tidak beralas. Artifak berupa serpihan-serpihan batu ,pinggan-pinggan lama yang sumbing, potongan-pontongan tulang ataupun sebarang penemuan yang menjawab hipotesis mereka bahawa tempat tersebut pernah menjadi kawasan penempatan manusia purba tersusun kemas di atas meja tersebut dan ditandakan mengikut tag masing-masing berupa koordinat lokasi dan tarikh penemuan artifak tersebut.

Dia tidak memperdulikan bahang panas daripada lampu yang tergantung rendah hampir menyapu kepalanya itu kerana seluruh perhatiannya tertumpu kepada deretan penemuan arkeologi yang terhampar di atas permukaan meja sedangkan serangga-serangga malam berupa kelkatu itu berterbangan mengitari lampu dan ada pula yang hinggap di atas kepalanya.

Sementara di luar, malam semakin menghampiri dinihari dan sayup-sayup bunyi burung hantu saling bersahut-sahutan seperti merayu bulan pucat yang senyap di sebalik awan tinggi di langit barat.

Prof. Hussien mendekatkan kepalanya ke arah salah sebuah artifak yang ditemui pasukan C itu dan dengan menggunakan kanta pembesar di tangannya, tembikar berbentuk labu sayung itu ditatap dengan pandangan mata yang berbinar-binar.

Di bawah kanta pembesar, tangan kanannya menghilangkan sebarang partikel asing daripada tembikar tersebut dengan menggunakan berus kecil berbulu halus dan dia menggerakkan berus tersebut dengan amat teliti dan perlahan-lahan.

Artifak yang ditemui oleh pasukan Dr. Kumaran itu adalah antara barang tinggalan purba yang paling sempurna bentuknya pernah dilihat Prof. Hussien.Tidak  seperti kelaziman tembikar labu sayung yang lain, artifak di hadapannya itu lebih kecil dan tidak halus buatannya.

Saiznya hanya separuh daripada penumbuknya dan bahagian leher tembikar tersebut hanya mempunyai dua lok yang ramping menuju ke atas dan berakhir dengan satu penutup yang seakan-akan melekat terus di pisahkan oleh celah yang amat halus dan hampir tidak kelihatan jika tidak diperhatikan di bawah kanta pembesar.

Melalui data yang baru diterimanya daripada Jabatan Muzium  Dan Antikuiti menggunakan Ujian Pentarikhan Radiokarbon yang juga dikenali dengan  Ujian Radioisotop Karbon 14 ,Dr.Chung mengesahkan bahawa tembikar tersebut sudah berusia 650 tahun dan adalah suatu bentuk keberuntungan pasukan mereka menemui artifak tersebut dalam keadaan masih utuh dan sempurna.

Jika perkiraan mereka benar, ternyata tembikar tersebut dihasilkan lebih awal daripada kedatangan Parameswara ke Semenanjung Suvarnabumi kira-kira 1400 tahun yang silam.

Nanti.

Spontan mata Prof. Hussein menyepet apabila matanya menangkap alur-alur tenggelam yang merambati tembikar tersebut bermula daripada penutupnya. Masih menggunakan kanta pembesar, Prof. Hussein memerhatikan dengan saksama dan tiba-tiba sahaja kepalanya bagai menerima curahan ilham dari langit.

Memusingkan tembikar itu perlahan-lahan dan cuba membunyikan huruf bersambung itu di dalam hatinya dari atas ke bawah dan tatkala bacaannya terhenti pada huruf terakhir, Prof. Hussein terlonjak bangun dan menyentak tangannya kegembiraan. Sah. Tidak mungkin dia tersilap.

Surah Al-Baqarah ayat 255 dan diikuti oleh surah lazim Empat Qul yang diukir kemas lengkap dengan tanda-tanda bacaan !

" 16 Mei 2019 jam 0234 Hrs. Jurnal ke lapan pada hari keempat berada di tapak arkeologi Sungai Mempawah. "

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now