-18-

332 45 25
                                    

" Ternyata"

Aduka tersenyum menyeluruhi wajah Naufal yang berjalan dalam langkah canggung menuju ke beranda.

" Walau setinggi mana sekalipun,buah pasti tidak akan jatuh terlalu jauh dari pohonnya."

Kata-kata Aduka yang jelas bernada mengusik membuatkan Tun Indera segera menoleh ke belakang dan hampir serta-merta pula dia turut tersenyum.

Naufal menapakkan kaki perlahan seraya membalas dengan bingkai senyum yang aneh dirasakan hatta kepada dirinya sendiri.Penghulu Paduka Haji juga mengembangkan senyum pada wajahnya melihat penampilan Naufal ketika itu.

Sepasang persalinan lengkap Melayu Patut yang menyarung tubuh anak muda itu menghantar biasan yang berlainan dirasakan apabila buat pertama kali Naufal mahu mencuba pakaian yang diberikan Tun Indera kepadanya.

Baju dalam tanpa lengan dengan leher Cekak Musang itu kelihatan sedang muat pada tubuhnya.Diperbuat daripada kain Cindai berwarna putih gading dengan corak tekat berupa awan larat dan sesulur daripada benang keemasan yang tampak berkilau jika terkena cahaya.Sekurang-kurangnya itulah yang dikatakan pemuda tersebut ketika mengeluarkan persalinan tersebut dari dalam sebuah peti dengan mangga tembaga.

Dijahit kemas daripada kain yang licin berkilat tetapi luar biasa nyaman dirasakan menyentuh kulitnya malahan dapat dihidunya baju tersebut memiliki suatu bauan khusus yang harum dan tidak pernah menyapa inderanya sebelum ini.Gabungan samar antara bau kudup Melati dan haruman Pandan dan Naufal tidak tahu bagaimana hendak menerangkannya.

Ia disisipkan kemas ke dalam seluar longgar berwarna sama yang berkibar setiap kali dia melangkah.Tidak terlalu panjang dan mencecah buku lali.Sama ada pakaian Melayu Patut yang dikenakan oleh orang kebanyakan ataupun Pakaian Melayu yang digunakan oleh para pembesar istana,semuanya harus dibuat tidak isbal yakni lengan baju harus berada pada paras satu jengkal dari pergelangan tangan dan sejengkal dari buku lali.

Demikian kata Tun Indera seraya menilik penampilan Naufal sebentar tadi. Setiap kali tangannya memegang helaian pakaian yang akan dipakai pemuda itu,Tun Indera dengan senyuman yang tidak lekang dari dua ulas bibirnya akan menerangkan satu persatu dengan penuh sabar dan perhatian sehinggakan tanpa sedar Naufal melongo takjub.

Sementara itu,tali pinggang pending perak melekap pada pinggang Naufal membuatkan tubuhnya tegak mendada dan barangkali itu merupakan salah satu daripada kegunaan tali pinggang tersebut .Menjaga postur tubuh dan membuatkan pemakainya tegak serta-merta kerana setiap kali Naufal membongkok sedikit,pending perak tali pinggang itu mengerat pada pinggangnya.

Manakala pada sisi kiri pinggangnya,sebilah keris berlok tujuh dengan hulu Jawa Demam tersisip kemas.Keris Keleng yang membawa maksud keris daripada besi hitam tanpa sebarang nuansa pamor ,begitu menurut kata Tun Indera tatkala mempersiapkan Naufal sebentar tadi.

Keris yang diberi nama Pengawak Waja yang diserahkan kepada pemuda itu dan tatkala Tun Indera mengatakan bahawa keris tersebut merupakan keris yang dimiliki oleh moyangnya dahulu,Naufal hanya termampu mengerdipkan matanya.Sungguh.Rupanya masih terlalu banyak hal yang tidak diketahui Naufal tentang sejarah keturunannya sendiri.

Lalu pada lapisan kedua sehelai lagi baju menindih lapisan baju pertama yang dipakainya.Hanya sahaja,pakaian luar tersebut lebih labuh melepasi paras punggung dan hanya dibiarkan tanpa dikancing sehingga memperlihatkan kepala pending perak dan juga hulu keris Pengawak Raja di pinggang kirinya serta samping yang diikat kemas oleh Tun Indera.

Sudah tentu sebelum ini Naufal memang pernah mengenakan samping terutama sekali ketika Hari Lebaran tetapi samping yang dipakainya hanya disarungkan dan telah siap dijahit sedemikian rupa.Samping segera jika boleh Naufal menamakannya begitu.Namun,ketelitian Tun Indera melilit samping tersebut ke pinggang Naufal perlahan-lahan menumbuhkan rasa hormatnya.

SAPTA ADHYASTAWhere stories live. Discover now