Rasanya belum beberapa minit Tun Indera benar-benar terlelap apabila bahunya digoncang dengan begitu kasar membuatkan dia serta-merta bingkas bangun.
Wajah Tun Fatimah yang pucat-lesi mengisi ruang penglihatannya.Bingkai wajah sang adik tidak keruan dengan tudung yang tidak kemas lilitannya membalut kepala.
" Kanda. "
Tun Fatimah berseru namun suaranya seperti tersangkut di kerongkong.Dengan ngeri, pandangan mata Tun Indera hinggap ke tempat di mana Naufal berbaring lalu ke tempat...
Indah juga Naufal tidak ada di situ!
Kain kapas yang dibentangkan sebagai alas tidur Indah bergumpal jauh daripada tempat asalnya. Begitu juga kain sampin yang melilit pinggang Naufal.Tergeletak sebarangan.
" Indah!! "
" Naufal!! "
+ + +
Tidak ada daya upaya sesama makhluk tanpa izin-Nya.Itu adalah hal pertama yang mengalun di dalam hati gadis tersebut sebaik sahaja netra menangkap imej di hadapannya.
Satu bingkai wajah menyeringai tepat di hadapan wajahnya.Dua ulas bibir hitam keunguan itu menguntum senyum sementara dari celah ulas bibir nan hitam dan menggelupas itu sesekali kelihatan gigi yang tajam tidak tersusun. Dek kerana terlalu dekatnya wajah itu seperti haiwan liar menghidu binatang buruannya, nafas yang dingin tetapi maung menyambar deria bau Indah.
Rasa cemas mulai menyerang hati Indah apabila melihat tidak ada satu pun wajah yang dikenalinya. Tidak ada wajah teduh Tun Indera, wajah menawan Tun Fatimah, raut wajah Naufal yang sentiasa cemas dan bingkai tegas Aduka mahupun Abu Zarr yang bermata hitam nan jeli itu.
Tidak ada!
Sebaliknya, puluhan wajah yang menyeramkan sedang menatapnya seperti dia merupakan hidangan paling berharga setelah lama sekali mereka tidak menjamah makanan.
Bingkai-bingkai wajah di hadapannya yang menatapnya seperti sekumpulan singa lapar itu rata-rata berselubung dengan kain dari kepala hingga ke mata kaki. Ada sepasang mata kemerahan yang menghendap dari sebalik juraian rambut di hadapan wajah.
Bagi yang tidak berselubung, jelas sekali Indah melihat rambut mereka panjang, tebal dan kusut. Sepasang telinga bercuping tirus mencuar dari celah rambut.Dengan kulit wajah yang menggerutu bahkan ada yang kelihatan seperti hendak tertanggal dari wajah, seringai mereka menakutkan. Lalu ada tangan berkulit kering dengan jari-jemari berkuku panjang.
Mendengar susuk-susuk tubuh itu menggeram dan saling bertolak-tarik dengan lagak menunggu masa sahaja hendak menerkam, Indah menguatkan asma Yang Maha Menciptakan di dalam hatinya. Dia meneguhkan sahaja keberanian yang sebenarnya mulai mengecut tatkala melihat juraian air liur makhluk tersebut yang berjejeran di sudut bibir.
Indah tidak tahu bagaimana dia boleh berada di tempat tersebut sedangkan sebelum melelapkan mata, dia sedang berbaring di atas hamparan kain tipis bersebelahan dengan Tun Fatimah serta unggun yang dinyalakan Tun Indera dan Abu Zarr.
Namun kini, dia bukan lagi berada di tebing sungai tersebut melainkan sebuah tempat yang amat asing dan terikat kaki juga tangan!
Bau pengap dan suhu panas membuatkan Indah serta-merta mengerti bahawa dia sedang berada di dalam sebuah gua. Atap gua yang berceranggah di bahagian atas tinggi sekali dan sayup-sayup ada gema bunyi air yang menitik memasuki relung pendengarannya.
Pada dinding-dinding gua, ada obor yang menyala membiaskan warna putih kekuningan serta haba yang panas.Tidak ada angin bertiup membuatkan bau pengap, busuk, hamis dan hangus bercampur-aduk.
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...