Kampung Kelarai
Tidak ada seorang pun penduduk Kampung Kelarai yang tidak mengenali siapa gerangan pemuda yang bernama Kasturi itu. Menjadi yatim piatu pada saat dia dilahirkan,anak malang tersebut dibesarkan dalam keadaan yang serba-serbi kurang.
Hanya kerana penghulu kampung tersebut tidak mahu dikatakan sebagai seorang penghulu yang tergamak membiarkan anak buahnya dalam suatu keadaan yang tidak terbela, maka penghulu Kampung Kelarai mengambil keputusan untuk membela Kasturi yang hidup sebatang kara .Simpai Keramat. Begitu mereka menggelarkan Kasturi yang menjadi keturunan terakhir dalam susur galur keluarganya itu.
Pondok ala kadar di kawasan belakang rumah megah sang penghulu adalah tempat Kasturi berteduh dari hujan dan panas. Melelapkan mata setelah tubuh redam dimamah jerih diatas timbunan jerami yang dialas sehelai tikar mengkuang lusuh itupun sudah sobek di mana-mana akibat terlalu reput dan dimakan gegat.
Dikhususkan untuk melakukan kerja-kerja paling kasar yang tidak mahu dilakukan oleh orang lain seperti menguruskan haiwan-haiwan ternakan kepunyaan penghulu seperti kuda dan kerbau, mencari kayu api serta memenuhi tempayan-tempayan besar di rumah tersebut dengan hanya diberikan imbalan berupa makanan itupun hanya dua kali sehari serta pakaian lama yang tidak lagi digunakan oleh sang tuan rumah.
Malahan, tubuh Kasturi juga tidak seperti orang lain dan sepertinya dia memang lahir dan ditakdirkan untuk mempunyai tampang sebagai budak suruhan dan sahaya kepada seluruh penduduk Kampung Kelarai.
Mungkin kerana membesar dalam keadaan amat daif dan tidak ada sesiapa yang memperdulikannya, Kasturi jika berjalan akan cenderung tempang mengheret tubuhnya sendiri dengan leher kaku yang teleng ke kiri serta wajah herot disebabkan demam panas yang menyerangnya semasa berusia lima tahun.
Penyakit kulit yang dihidapinya juga mengakibatkan dia dijauhi sesiapa sahaja dan membuatkan seluruh penduduk Kampung Kelarai akan memandang jijik kepadanya. Rambut Kasturi tebal, kasar dan bergulung-gulung tidak bersikat sementara kudis buta dengan kulit yang pecah dan menggelupas memenuhi wajahnya seperti puru pada belakang seekor katak pasti menyebabkan tiap anak kecil yang terserempak dengannya akan menangis ketakutan.
Dia membesar menjadi bahan tertawaan dan ejekan penduduk kampung bahkan ada dalam kalangan mereka yang terang-terangan mengejinya sebagai pembawa sial dan malapetaka kepada Kampung Kelarai dan seluruh warganya.Apa sahaja kejahatan yang berlaku, dia adalah orang pertama yang akan dicari dan dikerjakan separuh lunyai walaupun dia tidak pernah melakukan kesalahan tersebut.
Seperti menambahkan ketidakadilan dunia terhadap nasib malang yang menimpa Kasturi, jika dia adalah manusia buruk rupa-Megat Awira -putera tunggal sang majikan pula adalah sebaliknya. Sama seperti Kasturi, siapa pula yang tidak mengenali Megat Awira.
Pemuda tampan nan rupawan dengan persona yang bukan sebarangan. Jika sang pangeran lalu ditengah kampung,tidak kurang bilangan anak dara yang tunduk malu-malu di sebalik selubung kain batik di kepala masing-masing malahan berasak-asak pula mengintip dari celah jendela yang tertutup.
Anak tunggal Penghulu Deraman itu punya tampang rupawan bak putera bongsu pemilik takhta sebuah kerajaan yang mahsyur. Rambutnya hitam dan lebat sementara bingkai wajahnya juga bukan bingkai biasa yang dilihat pada orang kebanyakan.Bertubuh gagah dan kekar dengan raut wajah yang tenang.Ditambah dengan reputasinya sebagai anak tunggal penghulu Kampung Kelarai, bukan sukar untuknya mendapatkan apa sahaja yang diidamkan.
Namun bukan suatu hal yang mengejutkan apabila kenyataan bahawa pemuda seperti Megat Awira hanya akan bersahabat dalam lingkungan golongannya sahaja. Enggang hanya akan berteman dengan Enggang jua maka gagak seperti Kasturi langsung tidak mendapat tempat dalam kalangan mereka.
Jika Megat Awira adalah si tampan anak tunggal Penghulu Deraman, Kasturi pula hanyalah Si Buruk Rupa anak yatim piatu yang hidup sebatang kara menumpang ihsan dan belas daripada sang penghulu. Jika Megat Awira diumpamakan sehelai sutera,Kasturi pula tidak lebih daripada sehelai belacu yang lusuh dan tidak berharga sedikitpun. Begitu-begitu sahaja tanggapan penduduk Kampung Kelarai dan Kasturi pula sedar di ceruk mana dia berada.
Sementara itu, sebuah kapal dagang yang sarat dengan muatan ingin mampir ke Kuala Kumbah pada suatu hari untuk mengelak tiupan angin Barat yang membadai segera mengirimkan utusan kepada Penghulu Deraman dan hasrat itu disambut dengan sukacita oleh sang penghulu dan segera cerita kedatangan rombongan saudagar tersebut menjadi buah mulut penduduk kampung.
Benar sahaja. Tatkala rombongan pedagang yang dikhabarkan berlayar jauh dari Jazirah Arab dan telah singgah ke merata tempat itu tiba ke pangkalan dengan menaiki sampan yang lebih kecil, penduduk kampung berbondong-bondong memenuhi tebing sungai bagi melihat sendiri gerangan tetamu yang jarang-jarang dilihat itu.
Bukan sahaja kerana tarikan barang dagangan yang dibawa rombongan saudagar tersebut berupa kain-kain sutera, tembikar yang halus buatannya, kayu gaharu,kitab-kitab dan buku malahan juga barang hiasan yang amat disukai anak-anak gadis tetapi juga perihal puteri tunggal sang saudagar yang dikatakan memiliki paras rupa yang elok nian.
Dan ketika itulah buat pertama kali Kasturi melihat Puspa Anggrani !
Dari sebalik pohon di mana Kasturi menghendap dari kejauhan itu, Kasturi terpana buat beberapa detik melihat senyuman yang terbit dan merekah malu-malu dari sepasang ulas bibir gadis tersebut.Senyuman cerah itu terasa menyilaukan penglihatan Kasturi.Tidak.Bukan menyilaukan bahkan terasa membutakan penglihatannya. Jantungnya terasa berdegup dengan kencang dan jari-jemarinya terasa dingin tiba-tiba walaupun ada rasa hangat yang menerpa wajah.
Sungguh. Buat kali pertama dalam seumur hidupnya, hati Kasturi berdebar tidak keruan dengan gelojak-gelojak aneh yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Wajah gadis itu memenuhi mimpi-mimpinya pada malam hari dan menemani khayalannya pada siang berikutnya.Jadilah Kasturi seperti sang pungguk buta yang resah dibadai kasamaran seperti tergila-gilanya Majnun kepada Laila.
Namun, sungguhpun demikian Kasturi masih sedar siapa dirinya jika hendak dibandingkan dengan anak gadis Saudagar Hassan itu. Jika Puspa Anggrani diibaratkan sebagai bulan purnama di langit Timur, Kasturi pula adalah sang pungguk yang hanya mampu memandang sang pujaan hati dari kejauhan.Bukan sahaja taraf mereka jauh berbeza seperti langit dengan bumi malahan hendak menghampirinya pun Kasturi percaya Puspa Anggrani akan ketakutan dengan tampang serta wujud tubuhnya yang sebenar.
Tetapi amukan rasa hati Kasturi yang terasa semakin menyeksanya saban hari sesekali mengalahkan waras akal juga membuatkan kadang dia menjadi nekad sehingga berani meletakkan kuntum Bunga Ratu Malam yang berwarna putih dengan aroma manis, sejuk dan sangat khusus itu ke celah tingkap setiap malam di mana anak gadis Saudagar Hassan itu selalu menghabiskan masanya sebelum melelapkan mata.
Malahan memikirkan bahawa Puspa Anggrani akan meletakkan kuntum-kuntum bunga harum itu kedalam bejana berisi air dingin bagi memastikan kuntumnya bertahan beberapa hari sahaja sudah cukup membuatkan Kasturi terlelap dengan senyuman yang membingkai pada wajahnya.
Malahan Kasturi bukan tidak pernah berharap agar angin Barat bertiup sepanjang tahun supaya rombongan Saudagar Hassan terus sahaja menetap di Kampung Kelarai .
Tidak mengapa jika keberadaan Saudagar Hassan dan keluarganya di Kampung Kelarai itu atau lebih tepatnya di rumah Penghulu Deraman bermakna Kasturi terpaksa berkerja lebih daripada kebiasaannya untuk memenuhi keperluan sang tuan rumah yang sedang melayani tetamu begitu. Sedikitpun Kasturi tidak perduli.
Hanya dengan mengenangkan bahawa dengan air yang diangkutnya setiap pagi dan petang itulah Puspa Anggrani membasuh muka ataupun dengan kayu-kayan yang dikutipnya jauh ke dalam hutan itu digunakan untuk menanak nasi dan menjerang air ,Kasturi tidak mengendahkan lelahnya barang sedikitpun.
Puspa Anggrani. Sang rupawan yang menjadi panutan seluruh hati si buruk rupa yang bernama Kasturi!
+ + +
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...