Bunyi rapat gulir biji-biji tasbih daripada kayu Kokka cokelat tua yang saling bergeser sesama sendiri antara jari telunjuk kanan dengan ibu jari itu mendadak terhenti.Selajur dia membuka mata lantas mengenggam untaian tasbih tersebut kejap.
Bahang sisa terik matahari siang tadi yang lazimnya membuatkan serangga malam seperti cengkerik dan riang-riang itu betah mengepakkan sayap bagi memikat si betina itu entah mengapa mendadak dingin dan serangga malam pula senyap bagaikan tidak pernah ada. Malahan kelkatu yang mabuk cahaya mengitari lampu di tengah anjung pun entah ke mana. Tidak kelihatan seekor pun.
Sallehuddin menepuk hujung lutut Pakchu Deris.Lelaki sebaya ayahnya yang menutup mata dalam keadaan duduk bersila itu membuka mata pantas lalu mengangguk dengan satu anggukan yang hampir tidak kelihatan.
" Tujuh orang "
Pakchu Deris menggumam perlahan masih dengan mata yang tertutup. Angin yang bertiup dari arah Tenggara mulai bertukar kencang sehingga daun-daun kering di halaman hadapan ada yang bawa ke lantai beranda. Dia Menggerak-gerakkan kepalanya perlahan ke segenap arah. Mengesan sesuatu di antara gemersik angin yang menerobos anjung rumah.
Sejak Maghrib mulai melabuhkan tirai ke segenap permukiman, seperti yang telah disepakati-malam itu tiba giliran mereka untuk berjaga. Tidak ada bau harum Melati liar yang seakan-akan mengitari kawasan rumah tersebut seperti malam yang sudah menandakan keberadaan Penghulu Paduka Haji dan Tun Sura di situ. Hanya mampir sekali-sekala mengawasi rumah tersebut dari jauh sementara anak-anak buah mereka berjaga-jaga daripada sebarang gangguan.
Lelaki itu menggerakkan butir tasbih kayu Kokka tersebut perlahan-lahan sambil kembali menutup mata. Lidahnya menggumam nama Penguasa Langit dan Bumi tanpa berhenti-henti dan menumpukan segala perhatiannya sehingga merasakan pendengarannya mendadak kosong. Hilang dalam kegelapan dan kesunyian.
Namun dalam gema tasbih pada hujung lidah begitu,sesuatu yang berdesing menyambar indera pendengarannya dan sekilas ada kilatan keperakan memintas kelam penglihatannya ketika itu. Tepat ketika sambaran keperakan itu sipi mengenai rusuk kirinya, Pakchu Deris menggolekkan tubuhnya ke sebelah kanan lalu bangkit pantas separuh melutut. Masih menggenggam untaian tasbih dengan lutut kanan terlipat ke belakang sementara lutut kirinya tegak di hadapan manakala jari jemarinya terkembang separas telinga.
Mencerunkan penglihatan, wajah terperanjat Sallehuddin memenuhi ruang matanya lalu tatapan tajam lelaki itu tertuju kepada sebilah parang tajam berkilat yang terpacak ke dinding tepat di mana dia bersandar sebentar tadi. Malahan hulu kayu parang tersebut masih bergetar dengan matanya menancap dalam.
Sah. Serangan parang terbang tersebut memang ditujukan kepadanya!
" Salleh, jaga mereka. Jangan tinggalkan walau apa sahaja yang berlaku! "
Pakchu Deris bangun dengan pantas lalu menuju ke tangga. Melangkahi beberapa bilah anak tangga lalu melompat ke halaman diikuti oleh Haji Al-Attas yang berkejar ke anjung hadapan apabila mendengar bunyi berdetup tatkala mata parang tersebut mengenai dinding rumah.
Mengerti isyarat dan amanat tersebut, Sallehuddin menegapkan sila lantas merapatkan kitaran biji tasbih pada jari-jarinya. Dia tahu tidak seharusnya dia yang bersila di anjung tersebut dan dalam masa yang sama dua susuk tubuh yang hampir sebaya itu pula berdiri saling bahu membahu menghadapi serangan tiba-tiba begitu. Tetapi, dia juga akur malah tahu mungkin dia juga bukan sosok yang paling sesuai dalam menangkis ancaman tersebut.
Memang. Susuk Pakchu Deris tampak lebih berusia daripadanya namun dia mengerti lelaki tersebut jauh lebih unggul di atasnya dalam hal-hal sedemikian.
" Ilmu Parang Terbang dari Perguruan Remang Senja. "
YOU ARE READING
SAPTA ADHYASTA
FantasyTatkala kemurnian jiwa manusia hilang dek dendam dan serakah maka perjanjian dengan Sang Terkutuk pasti akan meminta imbalan. Walau apa sahaja taruhannya, pintu itu harus ditutup semula sebelum lebih ramai mangsa menjadi korban. Indah-Si Gadis Indi...