- DIA DATANG -
( Bab 1)
Tahun 1961...
Kampung Lubuk Dalam
Sudah tiga minggu orang-orang kampung Lubuk Dalam berada dalam ketakutan. Maka sudah beberapa minggu jugalah, kampung itu menjadi sepi. Semuanya kerana desas desus mengenai kembalinya Arman ke kampung itu. Masing-masing tidak berani untuk keluar rumah sebaik sahaja mentari melabuhkan tirai siangnya.
"Perlu ke kita arahkan budak-budak kampung berkawal?" Ujar penghulu Taha.
Rahman serta beberapa orang kampung terdiam. Lalu pandangannya di hala ke arah Dasuki. "Kau bagaimana Dasuki? Dalam ramai-ramai kami ni, kau yang paling berpelajaran. Bagilah cadangan sikit."
Dasuki hanya tersenyum kelat. Bukan tidak mahu beri pendapat, tetapi...
"Bukan macam tu bang. Saya kalau pasal benda-benda ghaib dan misteri ni manalah saya tahu bagi pandangan. Lagipun, di sekolah mana ada di ajar benda ghaib ni." Balas Dasuki lagi.
Rahman mengangguk faham. Ada senyum di tubir bibirnya. Sesekali pandangan di hala pula ke arah tiga orang lagi pemuda di hadapannya. Mengharap satu lagi cadangan ataupun pandangan daripada mereka. Tidaklah semua perkara penting terlalu bergantung pada mereka yang lebih tua sepertinya dan juga penghulu Taha. Namun, masing-masing menunduk. Rahman menggeleng. Hampa dengan jawapan bisu dari mereka.
"Hai, malu aku nak mengaku kamu semua ni adik-beradik seperguruan," keluh Rahman hampa.
"Bang, perlu ke ada kawalan di kampung kita ni? Bahaya sangat ke si Arman tu?" Soal Dasuki ingin tahu.
Rahman dan penghulu Taha memandang sesama sendiri. Seakan berat benar soalan yang diajukan Dasuki itu. Bukan tidak mahu menceritakan hal yang sebenar, cuma masanya belum tiba.
"Aku belum bersedia nak ceritakan lagi. Tunggulah masa yang sesuai," ujar penghulu Taha.
"Nak tunggu bila? Sekarang tak sesuai ke? Si Arman tu hebat sangat ke, sampai langsung tak boleh cerita pasal dia!" Soal Nordin keras, salah seorang dari pemuda yang berada di situ yang lantas menyoal penghulu Taha kembali. Nada suaranya lebih pada tidak puas hati.
Penghulu Taha terdiam apabila diherdik begitu oleh pemuda tersebut. Bukan takut mahupun gentar, tetapi lebih kepada berhati-hati. Takut kalau kata-katanya itu boleh mengundang bahaya. Mungkin juga boleh memakan dirinya sendiri.
"Kamu Nordin jangan cakap sembarangan. Jaga sikit mulut tu. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Lagipun ini soal keselamatan. Kita tidak boleh cakap pasalnya di tempat terbuka begini. Tambahan sekarang sudah waktu malam. Bahaya," tegas penghulu Taha lagi.
Nordin pula yang terdiam saat ditegur oleh penghulu Taha.Tersipu menahan rasa malu. Lalu terus bangun, minta diri untuk pulang dengan wajah yang mencuka.
"Kau nak pulang sekarang?" Tegur Rahman.
"Yelah!" Balas Nordin ringkas. Keras jawapan yang diberi, seperti tidak berpuas hati lagaknya. Lalu basikal tua yang tersandar di tepi tangga terus diambil tanpa menoleh ke arah penghulu Taha, Rahman, Dasuki dan dua orang lagi sahabatnya yang hanya mampu melihatnya dengan wajah terkulat-kulat.
"Din, hati-hati!" Laung Rahman sambil memerhati Nordin yang sudah jauh mengayuh basikal tuanya membelah kepekatan malam itu.
......................................................
Nordin mengayuh basikalnya dengan berhati-hati, memandangkan laluan tanah merah dan kecil itu dipenuhi dengan batu-batu kerikil, ini menyukarkan perjalanannya pada malam itu. Tambahan perjalanannya itu hanya dibantu cahaya bulan yang tetap setia menyimbah ke bumi. Cahaya bukan itu mengelongsor terus ke tanah yang dipenuhi dengan air lecak sehingga terhasilnya biasan pada setiap lopak air.
YOU ARE READING
DIA DATANG
Mystery / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....