- DIA DATANG -
( FINAL 1 )
Dharwisy memandang tajam ke arah ular itu. Ular itu menegakkan tubuhnya yang panjang, seakan mahu menerkam ke arahnya. Ular itu melingkari badannya di atas tanah dan cuba mengelilingi sekeliling Dharwisy. Ia berusaha untuk lebih dekat dengan lelaki di hadapannya itu. Namun Dharwisy langsung tidak menampakkan kegerunan pada tindakan ular jelmaan itu padanya. Dia cuba bersikap bersahaja. Tidak mahu terlalu melayan perasaan takut.
"Menyerahlah!" Laung Nadim, angkuh.
Dharwisy memandang sekilas. Tiada jawapan balas. Membiarkan Nadim dengan reaksi panas. Cuma akalnya sedang sarat mencari jalan bagaimana mahu melepaskan diri dari kawasan ini dan sekali gus mahu segera menuju pada Dasuki yang masih lagi berada di dalam hutan Lubuk Dalam.
"Buat kali terakhir aku pinta padamu Nadim, insaf dan bertaubatlah. Sebolehnya aku tidak mahu tangan ku menumpahkan darah sesiapa pun pada malam ini. Cukuplah darah yang telah engkau tumpahkan di tanah bertuah ini," pinta Dharwisy pada Nadim. Mengharapkan agar Nadim mengubah pendiriannya. Walaupun dia sendiri tahu, semuanya sudah terlambat jika satu nyawa sudah pun terkorban.
"Ah! Tak usah kau nak nasihatkan aku! Ini pilihan aku sendiri! Lagipun kau tak ada hak untuk menegah aku! Sedangkan dari bayi lagi aku sudah dijaga oleh abangku dan bentara guru! Kau takkan mampu menandingi ilmu aku Dharwisy. Ia sudah sebati dalam diriku," jelas Nadim lagi. Intonasi riak semakin menyerlah dalam dirinya.
Dharwisy menggeleng. Sememangnya dia sudah dapat mengagak jawapan itu. Satu jawapan munafik seorang narsis! Bangga dengan diri sendiri sebelum melihat lagi kehebatan orang lain.
Kata-kata Nadim itu sedikit pun tidak menjadi kudis buatnya. Bukan bermakna dia memandang rendah akan lawan, tetapi sebenarnya dia langsung tidak gentar akan momokan kata-kata dari Nadim itu. Memang itulah sifatnya.
"Baik! Sudah ku berikan amaran terakhir. Tetapi kamu sia-siakan peluang yang aku beri. Terserah..." ujar Dharwisy, tegas.
Ular yang sedang mengelilinginya mula memberi reaksi agresif. Ia mula menghampiri Dharwisy sambil menjelirkan lidahnya yang bercabang. Sebagaimana ular jelmaan itu, begitu jugalah tindakan Dharwisy pada ular berkenaan. Matanya tidak lepas dari merenung tepat ke arah ular itu bergerak. Lalu keris yang berada di tangan terus disarungkan kembali. Ya, dia menyarungkan semula kerisnya, kerana dia tidak perlukan keris itu buat masa ini. Kerana dia tahu berlawan dengan ular jelmaan dua perlu menyerang dari jarak jauh. Jika dia menyerang ular berkenaan dari jarak dekat pasti ular itu akan mematuk lengan atau di mana-mana bahagian tubuhnya memandangkan fizikal ular itu yang berlengkar dan memanjang di atas tanah.
Lantas kain pelikat yang dibuat sampin terus ditanggal. Bertujuan untuk dibuat sebagai senjata. Dalam pada itu dia melangkah setapak demi setapak mengelilingi akar-akar pokok hutan yang masih berselirat mengelilinginya. Dharwisy cuba menajamkan pandangannya pada ular jelmaan itu, memandangkan suasana sekeliling hutan yang gelap. Risau jika sekali tersilap langkah atau cuai pasti boleh mendatangkan musibah. Tumpuannya terarah pada haiwan berbisa itu. Angin, titisan embun jantan awal pagi itu dan lambaian daunan di setiap pokok-pokok hutan mulai terhenti, umpama memberi ruang pada tenaga dalaman yang terhasil dalam tubuh Dharwisy bersatu pada setiap sendi dan nadi.
Nadim yang melihat fenomena itu terkejut! Dia memandang suasana sekeliling dengan perasaan yang bercampur baur. Adrenalinnya semakin memuncak, dia teruja untuk mengetahui apa yang akan berlaku. Walaupun dia sendiri tahu untung nasibnya selepas ini.
Sesekali Dharwisy memandang ke arah langit. Dia mengharapkan satu keajaiban. Ya keajaiban, hujan. Namun tiada langsung tanda-tanda untuk hujan kelihatan. Hanya angin kencang sahaja sekali sekala menerjah kawasan lalu menampar tubuhnya. Dingin. Menurut kata-kata dari moyangnya, kelemahan makhluk itu satu sahaja, iaitu air. Ya, air. Kerana itu lelaki yang telan batu Api Iblis itu telah dikurung ke dalam lubuk itu.
YOU ARE READING
DIA DATANG
Misterio / SuspensoKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....