- DIA DATANG -
( BAB 3 )"Bang, tolong tutup tingkap tu. Tempias hujan masuk ke dalam rumah." Arah Cek Hasnah pada suaminya Taha yang sedari tadi menjahit jaring untuk dibuat jala. Salah satu upah kerja yang diambilnya apabila ada orang meminta untuk mengupahnya menjahit jala.
"Alahai cik Senah, tak boleh tengok orang senang..." rungut Taha, lalu bangun dan terus melangkah ke arah tingkap kayu yang sudah dilenjuni hujan.
Namun sebaik sahaja tingkap sudah mula dicapai, tidak semena-mena dia dapat melihat didalam kesamaran hujan yang lebat itu seorang lelaki sedang berjalan perlahan sambil tubuhnya ruyup ditimpa hujan yang lebat itu. Taha cuba menajamkan penglihatannya, cuba untuk memastikan siapa yang sedang berjalan ke arah rumahnya itu. Pelbagai persoalan yang timbul dibenaknya saat itu. Siapa lelaki yang sedang dilihatnya itu? Kenapa dia sanggup berjalan meredah hujan yang sangat lebat itu semata-mata hanya untuk datang ke rumàhnya sahaja? Dan kenapa dia berjalan seperti itu? Terlalu perlahan langkahnya, sedangkan hujan semakin menjadi-jadi di luar sana! Sesekali menyapu wajahnya yang terkena tempias hujan yang semakin menggila lebatnya itu.
"Tak boleh jadi ni!" Rungut Taha sendiri.
Lalu dia menuju ke muka pintu sambil matanya sekali lagi memerhatikan tingkah lelaki itu dari muka pintu. Tangisan hujan itu semakin membingitkan. Alam dan suasana sekeliling bergema dengan pekikan guruh dan halilintar saat itu. Taha mula berdebar-debar. Perasaannya semakin tidak keruan apabila melihat tubuh lelaki itu dipenuhi dengan darah. Bukan itu sahaja, setiap langkahan lelaki itu mulai merah dipenuhi dengan darah yang semakin deras keluar dari lubang pada baju yang dipakainya.
"Ya, Allah! Syarkawi!"
Taha terkejut! Terkejut kerana rupa-rupanya lelaki yang sedang dilihatnya itu adalah Syarkawi, sepupunya sendiri! Tanpa membuang masa dia terus turun dari muka pintu, lalu berlari mendapatkan Syarkawi yang sudah tidak berdaya untuk melangkah lagi.
Syarkawi rebah. Rebah kerana kudratnya tidak berdaya untuk berdiri dan melangkah lagi. Dia pasrah jika setakat itu sahaja penamat untuknya tidak terus berada di muka bumi Allah ini. Dia pasrah jika ajalnya saat itu saat sampai. Dia redha. Redha jika Izrail sudah bersedia untuk menjalankan tugasnya.
Matanya terpejam sehingga terlihat beberapa titisan mutiara air matanya mulai mengalir bersama basahnya hujan yang menimpa pada setiap rongga kulitnya. Taha yang kebuntuan terus mendakapnya erat. Terduduk dalam kepayahan dan kesedihan sambil tangannya memangku tubuh Syarkawi yang bermandikan darah.
Hujan semakin menggila lebatnya. Halilintar menjerit ke langit tanpa segan. Taha membungkam sendu memeluk erat Syarkawi. Tangisannya juga sama lebat dengan hujan yang sedang mencurah.
"LONG!" Jerit Taha pada Syarkawi, dengan panggilan biasa yang selalu disebut ketika memanggil nama satu-satunya sepupunya itu.
Syarkawi satu-satunya sepupunya yang dia ada, selepas dua lagi sepupu serta abangnya sendiri telah ditawan dan dibunuh oleh tentera Jepun tidak lama dahulu. Ia satu sejarah hitam buatnya dan Syarkawi. Kini, Syarkawi sendiri menjadi sebahagian sejarah hitam buatnya.
"Long, siapa yang punya angkara?" soal Taha pada Syarkawi.
Syarkawi mengerang kesakitan sambil tangannya memegang erat lukanya yang masih berdarah dek kerana terkena tujahan dari tikaman keris berluk 3 Arman. "Arman..." ucapnya lemah.
"Arman? Arman maksudmu?" Soal Taha lagi dalam nada tidak berpuas hati.
Syarkawi mengangguk lemah. "Cepat, Arman dan pihak komunis mahu menyerang hendap lori yang membawa askar melayu yang melalui kawasan berhampiran masuk ke tempat kita. Mungkin mereka sedang dalam perjalanan. Cepat Taha, biarkan saja aku..." ujarnya yang semakin lemah. Namun setiap dari kata-katanya yang lemah itu langsung tidak tersekat-sekat. Malah sedaya upaya Syarkawi menghabiskan setiap ayatnya agar Taha mendengar setiap butir bicaranya. Dia memaksa dirinya berbuat begitu disebabkan pekikan hujan yang lebat menyukarkan Taha untuk mendengar pada setiap butir bicaranya.
YOU ARE READING
DIA DATANG
Mystery / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....