- DIA DATANG -
( BAB 10 )
ALLAHUAKBAR!"
"ALLAHUAKBAR!"
"ALLAHUAKBAR!"
Disaat kalimah agung itu dilaungkan, bergema laungan mereka sehingga memecah suasana hening pada malam itu. Mereka mulai berpecah kepada lima kumpulan, ini menjadikan satu kumpulan mempunyai tiga orang.
Perjalanan mereka pada malam itu hanya dibantu oleh cahaya api jamung. Itupun sudah cukup memadai dalam keadaan yang sangat serba kekurangan pada waktu itu.
Dalam keadaan resah, Bujang mengetuai kumpulannya yang terdiri daripada dua lagi pemuda kampung, Lela dan Mulia. Laluan mereka mudah, hanya berjalan sekitar kampung. Jarak antara rumah kampung ke rumah kampung yang lain lebih kurang 10 meter ataupun mungkin lebih.
"Aku dah rasa seram ni," ujar Lela dan dalam masa yang sama matanya melingas memandang sekeliling. Gelap, sepi.
Perjalanan mereka yang pada awalnya tiada masalah, kini mula mendatangkan resah. Hati bertambah rawan. Bujang cuba tidak terlalu mempamerkan reaksi takut pada dua sahabatnya itu. Dia cuba untuk bersikap tenang walaupun perasaannya tidak menyatakan begitu.
Mulia menghalakan jamungnya ke arah semak samun di sebelah kirinya. Dia cuba memasang telinga, seakan ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Seekor musang pandan sedang menyorok dibalik semak itu dan serta merta itu juga bauan pandan menerpa ke rongga hidungnya.
"Musang pandan!" Sahut Mulia pada Lela.
"Mana?"
"Tu!" Sambil jamungnya dihala ke arah semak itu.
Musang pandan yang berwarna kelabu kehitaman itu terus berlari masuk ke dalam hutan dek terperanjat dengan kehadiran manusia di hadapannya. Bujang terpinga-pinga melihat dua sahabatnya itu turut berlari masuk ke dalam hutan secara tiba-tiba. Dia menepuk dahi, lantas menggeleng buat beberapa kali dengan kealpaan kedua sahabatnya itu. Tanpa membuang masa Bujang terpaksa juga masuk ke dalam hutan untuk mencari mereka, walaupun dia sendiri tahu bahawa mereka tidak diarah atau dibenarkan masuk ke dalam hutan Lubuk Dalam.
Jamung yang semakin malap menyukarkan perjalanannya meredah laluan di dalam hutan itu yang sarat dengan semak dan belukar. Kehadiran angin deras yang bertiup secara mendadak juga menjejaskan pencarian Mulia dan Lela.
"MULIA! LELA!"
"MULIA! LELA!" Jeritnya berulang kali.
Bujang semakin rawan, hatinya tidak keruan mengenangkan nasib kawan di dalam hutan. Matanya meliar memandang sekeliling dengan dibantu cahaya jamung. Sunyi. Namun, ada bunyi yang menarik perhatiannya. Dia memasang telinga. Seakan bunyi pergerakan di atas tanah. Tetapi tidak dapat dipastikan, bunyi apakah itu. Malah bunyi itu semakin galak setelah mendapat perhatian dari Bujang yang kelihatan terlalu takut.
Bujang cuba untuk bertahan dan tidak lari. Dia tidak mahu orang lain mengatakan dia seorang penakut. Tetapi dia sedar, hanya ada ilmu persilatan sahaja tidak cukup untuk dia menentang ilmu hitam Azhar. Namun, sekurang-kurangnya dia sudah berusaha melindungi kampungnya dari terus dibelengu kuasa jahat.
"MULIA! LELA!"
"MULIA! LELA!" Sahutnya lagi, berkali-kali.
Dia berjalan lagi beberapa tapak ke hadapan. Laluan semakin sukar dek tunggul kayu dan akar-akar pokok berselirat di serata tempat, malah ditambah pula dengan waktu malam tanpa sebarang cahaya, melainkan jamung yang dipegangnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
DIA DATANG
Misteri / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....