- DIA DATANG -
( BAB 5 )
"Macam mana?" Soal Taha pada Jabar.
"Sudah siap! Tinggal tunggu 'pelanduk' masuk perangkap. Tapi..." tiba-tiba Jabar tidak dapat menghabiskan ayatnya.
"Tapi apa?" Soal Taha hairan.
"Perangkap yang aku buat ni, tidaklah seperti yang kau harapkan..."
"Tak apa Jabar. Itu pun dah cukup bagus. Dapat melengahkan mereka pun jadilah. Selebihnya terpaksa kita guna tangan sendiri. Hah! Kau dengar tak tu?!" Taha cuba memicing telinga. Pendengarannya dipusatkan ke arah bunyi itu.
"Dengar. Askar melayu kita dah sampai." Jabar turut memasang telinga.
"Mari!" Lalu Taha segera bangun mengajak Jabar untuk pergi ke laluan utama.
Kemudian berlari mereka meredah denai, semak belukar dan akar yang berselirat di atas tanah. Tanpa memperdulikan nasib mereka sendiri. Apa yang mereka fikir saat ini adalah nasib soldadu itu nanti jika pengganas komunis terlebih dahulu tiba di laluan utama.
"Nak hujan lagi nampaknya," ujar Jabar sebaik melihat awan kembali mendung.
"Tak apa, kita teruskan saja. Hujan turun, bermakna Allah sedang memberikan rahmatnya pada kita..." balas Taha lagi, tenang.
"Tapi bagaimana dengan Darus?" Jabar menyoal dalam nada risau.
"Darus? InsyaAllah semoga dia dalam lindungan Allah hendaknya. Aku dapat rasakan, ada pertempuran sengit antara dia dan Arman di sana. Sudahlah, mari! Kita selesaikan bahagian kita dulu." Sambung Taha lagi dengan penuh pengharapan.
Dalam pada itu, sempat mereka memerhatikan kalau-kalau kelibat pengganas komunis muncul di mana-mana. Berlari anak dengan penuh berhati-hati. Kaki yang memijak lecah langsung tidak dihiraukan. Asalkan sampai tempat yang ditujui dengan segera. Namun sebaik sahaja mereka sampai di laluan utama, lori yang membawa askar melayu itu sudah berada di hadapan meninggalkan mereka. Taha dan Jabar cuba sedaya upaya mengejar lori tersebut.
"TUNGGU! BERHENTI!"
Laung Taha sekuat hati. Mengharapkan agar askar melayu yang berada di dalam lori tersebut mendengar jeritannya. Namun jeritan mereka sukar didengari disebabkan deruman enjin lori dan ditambah pula bunyi guruh berdentum di dada langit.
Jabar terhenti seketika, tertunduk menahan lelah. Kepenatan. Namun Taha tetap terus mengejar lori berkenaan sehinggalah beberapa orang askar melayu yang berada di dalam lori berkenaan menyedari kehadirannya. Lalu mereka bangun. Ada yang terkejut dengan perlakuan Taha.
"BERHENTI!"
Sekali lagi Taha menjerit BERHENTI dan dalam masa yang sama lori itu semakin perlahan dan mula berhenti. Dua orang askar melayu yang mula-mula menyedari akan kehadirannya mulai turun dari lori berkenaan dengan tangan masih menggenggam senjata api. Reaksi spontan sebagai tentera pasti mereka akan berjaga-jaga, takut kalau-kalau lelaki melayu yang sedang menahan lori mereka itu adalah tali barut komunis. Dengan perlahan dan perasaan cuak mereka mendekati Taha.
"Ya, saudara. Ada apa?" Salah seorang askar melayu berpangkat sarjan datang menegurnya.
"Maaf. Kami dikhabarkan akan ada serangan hendap oleh pihak komunis jika lori yang membawa askar-askar melayu melalui kawasan ni. Lagipun kawasan ni tak selamat. Kawan saya seorang dah meninggal hari ni, dibunuh pengganas komunis," jelas Taha cuba meyakinkan sarjan berkenaan.
"Sebab itulah, kami dibawa ke sini. Kami dapat tahu di kawasan ini memang ada markas mereka," balas sarjan itu.
"Tapi, rasanya..."

ANDA SEDANG MEMBACA
DIA DATANG
Mystery / ThrillerKehadiran 'sejarah' lama mengundang ketakutan penduduk kampung Lubuk Dalam. Melangsaikan dendam yang sekian lama tertanam di dalam lubuk dalam....